Isnin, September 12, 2011

TG Hj. Hadi: Jangan tutup fakta sejarah



Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Umno agar tidak menutup fakta sejarah kemerdekaan negara semata-mata demi kepentingan sendiri.

Justeru, Presiden PAS menegaskan, sejarah kemerdekaan perlu didedahkan secara telus kepada rakyat.

“Perjuangan menentang penjajah bermula sejak 1511 ketika kedatangan Portugis... ingat, bukan perjuangan menuntut kemerdekaan bermula dengan Umno pada 1946.

“Jangan nafikan sejarah, sepatutnya ahli-ahli sejarah jangan tutup fakta ini, parti-parti yang ditubuhkan di Tanah Melayu diharamkan oleh British,” katanya pada ceramah Negara Berkebajikan: Tawaran PAS di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar di sini malam tadi.

Tambah beliau (gambar), ramai pemimpin perjuangan kemerdekaan yang telah dihukum di zaman penjajah menambah penjajahan secara moden sedang berlaku di negara ini.

“Pemimpin-pemimpin yang berjuang dihukum, ada yang dihukum gantung, dibuang daerah, dibuang ke Mekah pun ada... namun perjuangan menuntut kemerdekaan tidak boleh dihapuskan. Perjuangan ini berterusan dan kita perlu sedar bahawa penjajahan termasuk melalui pemikiran.

“Manusia tidak akan merdeka selagi wujudnya penghambaan, pemerintah yang zalim, pemerintah yang tipu... inilah perjuangan Islam. Walaupun penjajah asing sudah tiada tapi pemikiran mereka, amalan, kejahatan mereka masih wujud. Perjuangan kemerdekaan belum selesai... walaupun penjajah British sudah balik, tetapi penjajahan pemikiran masih wujud,” katanya.

Isu sejarah kemerdekaan negara muncul ekoran kenyataan konroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam ceramahnya pada 21 Ogos lalu di Pulau Pinang.

Mohamad mengatakan pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan di balai polis Bukit Kepong - membunuh 25 orang - semasa pemberontakan komunis pada 1950, yang mengundang kritikan banyak pihak terutamanya pemimpin Umno.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah itu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan.

Tambah Hadi, PAS menerima secara terbuka kehadiran masyarakat berbilang kaum di negara ini sambil menyifatkan mereka sebagai “mangsa penjajah” yang dibawa sebagai hamba.

“Pada masa sama, PAS menerima kenyataan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia, kaum Cina, kaum India dan kaum bukan Islam yang ada adalah mangsa mereka (penjajah), mereka diangkut oleh penjajah ke sini, jadi pekerja di ladang, bukan sahaja penjajah memperhambakan orang Melayu tetapi memperhambakan orang Cina, orang India dan hanya segelintir sahaja orang Melayu yang senang, orang Cina yang senang dan orang India yang senang.

“Islam mengajar kita wajib menerima masyarakat majmuk. Islam adalah agama rahmat untuk keseluruhan manusia, Islam mewajibkan kita adil kepada masyarakat majmuk,” katanya. TMI