Ikuti Blog ini

Dr Asri sedia berceramah di Kelantan


KOTA BHARU, 9 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin bersedia menyampaikan kuliah pada mana-mana majlis Ilmu di Kelantan termasuk pada kuliah tetap Tuan Guru Nik Abdul Aziz setiap Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darul Naim pagi tadi.

“Saya sanggup menjadi penceramah di Kelantan jika dijemput termasuk di Medan Ilmu.

"Walapun jaraknya agak jauh, namun tiada masalah bagi saya,” ujar beliau.

Dr. Asri ditahan oleh JAIS pada lewat malam 1 November lalu ketika sedang menyampaikan kuliah di sebuah banglow di Selangor kerana didakwa megajar tanpa tauliah.

Sewaktu penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nik Aziz antara individu yang mempertikaikan motif penahanan Dr Asri.

Dalam pada itu bekas mufti terbabit juga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Johor kerana memberi kebenaran kepadanya meneruskan kuliah di negeri tersebut.

“Ini menggambarkan keterbukaan intelektual kerajaan Johor dan diharapkan dapat dilakukan sama negeri-negeri lain,” katanya.

Kuliah Jumaat di Medan Ilmu merupakan kuliah tetap Menteri Besar Kelantan yang turut dihadiri ribuan rakyat dari seluruh negeri kelantan dan dari luar.

Dr Mohd Asri juga berkata, Kelantan sejak dari dahulu lagi mengamalkan keterbukaan di mana beliau pernah dijemput menyampaikan ceramah agama di negeri ini.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan kerana memahami suasana yang beliau alami.

Beliau juga sebelum ini pernah menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz selepas keluar dari Intitut Jantung Negara.

DS Anwar rakam terima kasih, puji cara PAS selesai masalah


GEORGETOWN, 9 Nov: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih dan memuji PAS kerana terus meletakkan komitmen memperkasa Pakatan Rakyat.

Berucap pada Konvensyen PKR Pulau Pinang semalam, Anwar kagum dengan sikap PAS yang matang membuat keputusan dan pandai menjaga setiakawan.

"PAS ternyata sebuah parti yang komited dengan Pakatan Rakyat, matang dan bijak menangani permasalahan yang timbul.

"Saya juga berterima kasih dengan kepimpinanya yang sedaya upaya memperkemaskan pemuafakatan yang sedia ada demi perjuangan memartabatkan Negara berkebajikan, " tegasnya.

Kepimpinan PKR katanya wajar mengambil tauladan sikap dan kebijaksanaan kepimpinan PAS agar parti itu terus kuat untuk masa hadapan.

Anwar turut memuji sikap ahli PAS yang berdisiplin tinggi, bersungguh-sungguh, sanggup berjuang bila-bila masa dan pandai membaca strategi musuh.

"Itulah kelebihan PAS, ia mampu mendidik ahli dengan displin yang tinggi, memupuk kesungguhan, istiqamah dalam perjuangan dan lainya. Ia adalah berkat kematangan kepimpinan parti yang mengutamakan perjuangan, " tambahnya.

Bagi memantapkan Pakatan Rakyat, beliau turut menasihatkan agar semua pihak dalam pakatan tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain kerana ia memberi ruang untuk musuh menyerang pakatan.

Sebaliknya mengeratkan jalinan permaufakatan untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyatt mampu menandingi BN yang kini semakin lemah dan sedang mengalami penyakit kronik yang sukar diubati.

Kepada kepimpinan Pakatan Rakyat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan dinasihatkan agar mengukuhkan perpaduan dan sering turun padang bertemu rakyat dengan mewujudkan program bersama mereka dan jangan bersikap ego atau sombong.

"Kita baru nak mula bertapak khusunya di pantai barat semenanjung mesti kerja kuat dan kepada kepimpinan PKR diingatkan tambahkan ahli serta perkuatkan jentera di akar umbi, " kata Anwar.

Sementara itu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul mahu semua parti dalam pakatan berusaha bersungguh sungguh ke arah persediaan menuju putrajaya.

"Untuk memenuhi hasrat kita ke Putrajaya apa yang penting ialah usaha gigih ke arah itu disamping mencipta kesungguhan ahli dan jentera di akar umbi.

"Kegigihan itu harus dilaksanakan oleh semua parti gabungan dalam Pakatan Rakyat, " tegas beliau seterusnya.

Cara PAS membawa diri ke alaf baru "Selamat Maju Jaya Pas"



SETELAH BERAKHIRNYA apa yang dipanggil Seminar Memperkasakan Parti semalam, PAS kini nampaknya berazam untuk memperbaiki dirinya demi untuk menjadi sebuah 'parti untuk semua'.

Natijah ini sebenarnya terserlah daripada awal lagi. Soal capai atau tidak itu soal lain. Mari kita lihat kemungkinan-kemungkinannya ke arah itu.

Pertama, belum pernah dalam sejarah parti itu, satu seminar untuk melihat kelemahan diri diadakan dalam suasana yang begitu terbuka sebagaimana yang ditunjukkan melalui seminar itu.

Saya katakan terbuka kerana seminar itu turut dihadiri wakil-wakil media tanpa ada unsur-unsur saringan terlebih dahulu.

Kedua, PAS menjemput dua orang ahli akademik yang dari segi keanggotaannya tiada kaitan langsung dengan mereka untuk membentangkan kertas kerja mengenai kemajuan dan kelemahan PAS walaupun kehadiran Aziz Bari lebih kepada untuk menjawab atau mempertahankan tulisan beliau sehingga mengundang kepada kontroversi kritikan pedas Nik Aziz Nik Mat yang selepas itu pula mendorong kepada terhasilnya seminar berkenaan.

PAS yang seperti ini tidak akan kelihatan di era 1980an mahupun 1990an.

Malah PAS diera 1980an masih dengan slogan 'Bakar Wartawan' atau 'bakar suratkhabar'.

Tapi kali ini, PAS bukan sahaja membuka pintunya kepada kritikan luar malah mengizinkan pihak media mendengar kandungan kritikan tersebut.

Jadi cara PAS membawa dirinya ke alaf baru ini serta keputusan sebulat suara bagi meluluskan lima resolusi yang dicapai pada seminar berkenaan pada dasarnya menggambarkan bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam PAS sejak akhir-akhir ini berjaya diselesaikan secara terbuka dan melalui kaedah musyawarah.

Pendek kata, PAS ingin menunjukkan kepada dunia bahawa ia benar-benar serius dalam menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia melalui dasar-dasar keterbukaan yang sedang ditunjukkannya masa kini.

Syabas PAS dan moga-moga apa yang ditunjukkannya ini tidak bermaksud satu gimik politik.

Bagaimanapun, apa yang diperkatakan ini hanyalah satu sudut pandang dari kacamata orang luar.

Seperkara lagi yang kelihatannya agak nyata hasil daripada seminar itu ialah betapa para perwakilan ke Seminar itu tidak lagi bersedia untuk duduk berbincang secara serius dengan UMNO berhubung kerajaan perpaduan.

Peluang mengikuti keseluruhan perjalan seminar berkenaan semalam menimbulkan satu persepsi bahawa pada dasarnya pemimpin dan ahli peringkat akar umbi sememangnya menolak idea kerjasama tersebut.

Rata-rata perwakilan yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan melahirkan persepsi yang negatif ke atas apa jua usaha sama ada yang tersirat mahupun tersurat berhubung cubaan menjalinkan kerjasama dengan Umno dan BN.

Dan menyedari akan sentimen inilah maka diakhir seminar itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa untuk kali yang terakhirnya menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan sudah berakhir dan parti itu menetapkan pendirian bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat 'dalam ribut mahupun dalam tenang'.

Malah Abdul Hadi juga memberi jaminan bahawa selepas berakhirnya seminar politik yang pertama kali dianjurkan itu, tidak akan ada lagi mana-mana pemimpin atau ahli parti itu yang akan membangkitkan lagi isu berkenaan yang dianggap telah menjadi punca berlakunya konflik dalaman PAS.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi (isu kerajaan perpaduan), ia dah tutup... ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di Markas Tarbiyah Pusat parti itu di Taman Melewar di sini sejurus selepas selesainya seminar berkenaan.

Nampaknya dari sudut ini, ketetapan PAS sudah jelas bahawa mereka menolak secara total sebarang kerjasama dengan Umno dan BN dan berikrar akan terus bersama Pakatan Rakyat yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dan PAS tidak mahu lagi isu ini menghantui mereka dan menghambat mereka buat selama-lamanya. Ia perlu dihentikan sekarang sebelum perpecahan terus berlaku di kalangan mereka sendiri. Hadi menyedari risiko politik itu dan beliau akur dengan kehendak akar umbi.

Namun begitu pada sudut yang lain pula, seminar itu turut memperlihatkan bahawa keputusan untuk 'menutup buku perpaduan' dengan UMNO tidak juga bermakna mereka memberi 'blank cheque' kepada pucuk pimpinan melakukan apa sahaja dengan Pakatan Rakyat.

Ini kerana masih terdapat suara-suara yang mempertikaikan batas kerjasama yang terjalin antara PAS dan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Secara rawak memang dapat dirumuskan bahawa ada dikalangan ahli PAS sendiri tidak merestui jika PAS bergabung secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apatah lagi menggunakan satu simbol parti mewakili pakatan itu.

Jika inilah sentimennya, usaha ke arah membentuk satu pakatan sepertimana BN yang kini sedang diusahakan oleh Zaid Ibrahim bukanlah satu pelayaran yang mudah.

Ini dapat dilihat daripada gesaan para peserta seminar yang mendesak agar pucuk pimpinan parti menggariskan batas persempadanan kerjasama yang hendak dijalinkan itu jika ianya menjadi realiti.

Malah gesaan sedemikian juga selari dengan hasil kajian yang dibentangkan oleh ahli akademik, Dr Abu Hassan Hasbullah yang hadir sebagai salah seorang ahli panel seminar itu.

Menerusi kajiannya yang bertajuk "Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk PRU ke 13 akan datang", Abu Hassan berkata sebilangan besar responden di kalangan golongan muda mahu PAS bertindak sebagai ahli bersekutu sahaja.

Dan Abdul Hadi dalam responnya kepada soal membentuk pakatan pembangkang yang lebih terikat sebagai satu pasukan menegaskan PAS sebagai satu badan politik mahu tidak mahu perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan.

Pada masa yang sama, Hadi berkata, persefahaman yang akan diwujudkan itu akan dilakukan tanpa mengorbankan dasar yang diperjuangkan PAS.

Dalam erti kata yang lain, ada sedikit kusyen politik di situ. Maknanya Hadi berhati-hati. Jika pakatan yang hendak dibentuk itu tidak jadi realiti ia bukan disebabkan oleh ketidaksepakatan pembangkang tetapi kerana PAS sejak awal-awal lagi telah berdiri teguh bahawa ia tidak bersedia mengadaikan dasarnya hanya kerana keperluan sebuah pakatan sepertimana BN.

PAS juga menurutnya adalah sebuah parti yang mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Tapi kenyataan ini lebih menjurus kepada ego Hadi dan ego PAS. Tidak lebih dari itu.

Tetapi apabila ego itu berlalu, maka Hadi pun terus berkata; "PAS bukan sahaja perlu memperkukuhkan kekuatan bagi memenangi undi di kalangan pengundi Islam namun dalam masa yang sama perlu lebih berusaha untuk meraih undi penyokong bukan Islam."

Soal keperluan kepada undi bukan Islam itu bukan ego tapi Hadi yang kembali berpijak kepada dunia realiti.

"Dalam masa yang sama kita hendaklah mendapatkan undi bukan Islam sebanyak mungkin kerana inilah pendekatan politik yang sebenarnya, asalkan kita mempelihara, akidah dan menjaga sempadan," katanya.

Dan berpijak di bumi yang nyata ini akhirnya diterjemahkan dalam bentuk resolusi yang dicapai semalam iaitu untuk meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong Pas di kawasan masing-masing serta membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

Walaupun pada akhirnya tidak semua yang akan setuju dengan dasar PAS tetapi keazamannya untuk menjadi parti untuk semua adalah satu langkah yang berani; --- berani kerana berazam untuk menjadi parti untuk semua tanpa bersedia mengorbankan dasarnya.

Selamat Maju Jaya PAS...

Royalti Jadi Ehsan; Perbuatan Khianat dan Jahat

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/dato%27wan.JPGKUALA TERENGGANU – Perbuatan mengubah pembayaran royalti minyak kepada wang ehsan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional kepada negeri Terengganu dan Kelantan adalah satu pengkhianatan yang jahat.

Penasihat Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

”Sepertimana apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib di Parlimen dua hari lepas,

”dia (Najib) kata, kita dah buat keputusan supaya hasil minyak yang dapat di perairan Kelantan itu di beri kepada rakyat Kelantan, tetapi cara dia kata, seperti mana kita beri kepada Terengganu iaitulah melalui wang ehsan,

”ini pengkhianatan dan jahat yang paling jahat!,”katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

Menurutnya, Dato’ Seri Najib juga sehingga kini tidak mengotakan janjinya untuk memulangkan royalti minyak Terengganu, sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya pemberian royalti bukan hak peribadi Najib, namun soal pemberian royalti adalah undang-undang menurut Akta Pembangunan Petroleum 1973.

”Bukan soal bagi (beri royalti), bukan soal hak ’tok’ dia, bukannya hak ’bapak’ dia, ini undang-undang, dalam undang-undang Akta Pembangunan Petroleum 1973,”tegasnya.

Menurutnya, akta tersebut memperuntukkan setiap penyerahan hasil minyak kepada kerajaan pusat mestilah dibalas dengan pemberian royalti sebanyak 5% dan perkataan ’lima peratus’ itu ditulis dengan terang dan jelas.





GEMPAR: Sejadah Berdiri Ketika Usrah

Gombak - Fenomena sejadah berdiri berlaku ketika usrah Pemuda PAS Batu Caves malam tadi.

Kejadian tersebut menggemparkan seluruh ahli usrah berkenaan yang masing-masing sedang khusyuk mendengar pengisian usrah.

Kedudukan sejadah tersebut betul-betul menghadap kiblat di tempat usrah, yang dirahsiakan lokasinya bagi mengelakkan salah tanggap masyarakat.

Dua sejadah terbabit menyerupai kedudukan orang yang sedang duduk bersimpuh.

Ia disedari oleh salah seorang ahli usrah kira-kira jam 11 malam sewaktu usrah sedang berlangsung.

Beliau menyedari perkara itu berlaku kerana beliaulah yang mem”berdiri”kan sejadah berkenaan.

Kejadian ini memberi iktibar kepada seluruh ahli usrah tersebut dan juga seluruh ahli PAS agar hadir ke usrah kerana jika sejadah pun boleh menghadiri usrah, apatah lagi manusia terutama ahli-ahli PAS.

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk

SHAH ALAM : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.

Resolusi Seminar Memperkasakan PAS

Seminar Politik Memperkasakan Parti menyedari dan memahami bahawa:

1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini.

Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/seminar11.jpg2. PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.

3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.

Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:

1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti dalam semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.

2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.

3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.

4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".

Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:

1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.

2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.

4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS.
Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.

5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.

Resolusi Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .