Ikuti Blog ini

Terima kasih di atas dokongan dan sokongan dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak 2011 - Presiden PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera pilihanraya PAS dari perlbagai peringkat serta orang perseorangan yang bertungkus-lumus dan menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan negeri Sarawak yang baru sahaja berakhir. Tahniah juga kepada semua calon PAS yang mampu berhadapan dengan segala bentuk cabaran dan rintangan tanpa penat dan lelah sepanjang tempoh berkempen itu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Izan Yaakob, yang juga merupakan petugas PAS dari Kelantan yang telah kembali ke rahmatullah di bilik gerakan DUN Beting Maro pada hari pengundian dijalankan. Semoga Allah merahmati roh beliau dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Kepada semua calon PAS, teruskanlah urusan anda bersama dengan masyarakat di sekeliling anda dengan membawa mesej yang jelas tanpa mengira waktu dan ketika. Sesungguhnya Allah jualah yang mampu membalas segala kerja buat kita dalam membawa suara Islam yang menjadi asas perjuangan PAS sejak sekalian lama itu.

Sesungguhnya keputusan pilihanraya itu adalah merupakan satu muhasabah terhadap langkah dan strategi dalam kita memugar gerombolan lawan kita dalam pilihan raya itu. Tentunya masih banyak yang perlu ditambah baik oleh kita semua supaya pendekatan kita akan menjadi lebih efektif, dan mampu untuk merobohkan tembok besar yang masih berlegar dalam ruang pemikiran pengundi yang ada di depan kita. Apapun, sekali-kali setiap anggota jentera parti tidak seharusnya merasa lemah dan kecewa dengan keputusan pilihan raya yang sama-sama kita ketahui itu.

PAS juga ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang memilih PAS dalam pilihan raya ini. Kami semua tidak akan mengecewakan tuan-puan sekalian, insyaAllah kami akan terus berkhidmat kepada semua menerusi calon dan jawatankuasa PAS di peringkat masing-masing.

Saya juga telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Sarawak untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat bagi menentukan masa, kaedah dan tempat yang sesuai untuk meraikan calon dan seluruh petugas pilihanraya PAS di Sarawak menerusi satu majlis khusus yang akan diadakan nanti.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

13 Jamadil Awal / 17 April 2011

Kalau SPR telus: Pakatan Rakyat akan berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional


KUCHING: Persaingan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak tidak dilakukan di atas padang yang rata, apabila agensi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia terus diperalat untuk kepentingan parti pemerintah.
Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau yakin sekiranya proses pilihan raya dijalankan secara telus, Pakatan Rakyat mampu mencatatkan keputusan yang lebih baik.

“Sekiranya persaingan pilihan raya kali ini diadakan di atas ‘padang permainan yang rata’, Pakatan Rakyat akan berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional,” jelasnya pada sidang media di Bilik Gerakan KEADILAN di Satok malam tadi.

Beliau mengutuk tindakan SPR, yang tidak mengeluarkan Borang 14, iaitu borang pengesahan undi di setiap saluran mengundi, kepada pegawai-pegawai KEADILAN. Malah katanya, kejadian tersebut berlaku di hampir seluruh kawasan yang ditandingi parti itu.

“Pegawai pilihan raya tidak membenarkan wakil parti atau ejen pengundian untuk mendapatkan borang 14, sedangkan di bawah undang-undang pilihan raya (12 B) jelas menunjukkan bahawa SPR wajib untuk mengeluarkan borang 14, kepada wakil yang bertanding, tetapi ia tidak dilakukan.

“Ini menimbulkan keraguan kerana angka-angka yang tercatat di dalam borang tersebut boleh dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya juga menghubungi SPR berulangkali untuk mendapatkan penjelasan, tetapi sehingga selesai proses pengundian kita tidak mendapat sebarang maklum balas,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN.

Beliau memaklumkan KEADILAN akan meneliti perkara tersebut dan akan mendapatkan maklumat daripada ejen pengiraan sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Saya sangkakan ia hanya kes terpencil yang bermula di DUN Asajaya. Tetapi, selepas jam 2 petang, kami mendapat maklumat bahawa arahan diberikan kepada semua pegawai SPR untuk tidak memberikan Borang 14 kepada ejen pengundian KEADILAN.

Berhubung keengganan SPR untuk melakukan kiraan semula undi di DUN N65 Senadin yang hanya berbeza dengan 58 undian, Azmin berkata, pihaknya bercadang untuk membuat bantahan rasmi.

“Kita akan dapatkan maklumat daripada ejen pengundian dan membuat bantahan rasmi dalam masa terdekat,” ujarnya.
Azmin tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan ‘imbuhan’ pada saat-saat terakhir yang dilakukan oleh Barisan Nasional.

“Contohnya di rumah panjang Juman, Sungai Assap dalam DUN Belaga yang terdiri daripada mereka yang dipindahlan dari Ulu Bakun. Mereka telah menetap di rumah panjang dan menunggu selama 12 tahun untuk mendapatkan pampasan tanah.

“Selepas satu hari lawaatan saya, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing datang dan menyerahkan cek kepada penduduk kampung. Mungkin itulah sebab utama keputusan di kawasan tersebut berubah,” katanya.

Kesan PRN Sarawak: Harga Minyak Bakal Naik, Anwar Dalam Video Seks

Kemenangan BN di dalam pilihanraya negeri Sarawak semalam akan membuka laluan yang luas untuk Najib dan kerajaan BN melakukan apa yang tertangguh.

Pertama, harga minyak RON95 akan dinaikkan. Sebelum pilihanraya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak dapat menjamin harga minyak RON95 kekal ketika diminta mengulas kenaikan harga petrol RON 97 sebanyak 20 sen seliter awal bulan ini.

Itu sebelum pilihanraya.

Kini pilihanraya sudah berakhir dan BN diberikan semula mandat untuk menerajui negeri Sarawak.

Riak untuk kenaikan harga minyak sudah jelas apabila menteri berkenaan menyatakan:

Pada masa yang sama beliau turut meminta masyarakat mengubah sikap terlalu bergantung kepada subsidi kerana tindakan sedemikian mampu membantutkan usaha kerajaan membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

"Rakyat juga perlu tanya pada diri sendiri adakah perlu RM4 bilion itu kita nak tanggung subsidi minyak atau nak gunakan untuk pembangunan lain," katanya.


Kedua: Isu video seks. Nampaknya kini perancangan untuk mengenakan Anwar akan bertambah hebat.

Esok atau lusa, tidak mustahil akan diisytiharkan "lelaki bertetek labuh" itu Anwar.

Kemudian akan berlakulah lagi satu tangkapan. Untuk mendakwanya. Bukan untuk mendakwa Datuk T yang telah terang-terang melakukan kesalahan undang-undang, memiliki dan menyiarkan video seks kepada ornagramai.

Demikian keadilan ala Malaysia yang diamalkan oleh PDRM.

Pegawai Kastam, Ahmad Sarbini akan dikatakan terjun membunuh diri dari bangunan SPRM.

Lebih mengejutkan lagi nanti, kesan dari keputusan pilihanraya Sarawak semalam akan memberikan endorsement kepada kerajaan Najib untuk melakukan apa saja yang menekan rakyat.

Apa ada hairan untuk melakukan itu semua? Rakyat tetap sokong BN... katanya.

Kezaliman UMNO Jelas - Suami Cikgu Mala Diarahkan Bertukar

Suami calon PAS Tenang diarah tukar sekolah

BATU PAHAT: Maarof Abd Mutalib, suami calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Normala Sudirman, diarah bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi berkuatkuasa 1 April lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pertukaran itu sebagai tindakan tatatertib terhadap Maarof, 45, yang sebelum ini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen, Segamat, berikutan menyalahgunakan sijil sakit bagi menemani isterinya, berkempen pada pilihan raya kecil DUN Tenang, Januari lalu.

“Pertukaran itu dibuat selepas kita meneliti jawapan surat tunjuk sebab Maarof berhubung isu beliau menyalah guna sijil sakit untuk bercuti daripada tugasnya sebagai guru dan sebaliknya berkempen di Tenang.

“Kita dapati Maarof melakukan kesalahan serius secara nyata iaitu menyalahguna sijil sakit itu bagi menemani isterinya berkempen sedangkan jika sekiranya benar sakit, beliau seharusnya berehat di rumah.

“Ia juga kesalahan tatatertib untuknya menyertai kempen politik pada pilihan raya kecil itu kerana beliau tidak mendapatkan kebenaran rasmi untuk berbuat demikian.

Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk menukarkan Maarof ke sekolah lain,” katanya selepas Program Juara Rakyat di Taman Sri Penggaram, di sini, semalam.

Januari lalu, Maarof mencetuskan kontroversi apabila tindakannya mengambil cuti sakit selama dua minggu daripada tugasnya sebagai guru dan disahkan menghadapi masalah kemurungan serius tetapi dilihat menemani isterinya berkempen pada pilihan raya kecil DUN Tenang. Maarof dilaporkan memberitahu media beliau memohon cuti semata-mata menemani isterinya, Normala untuk berkempen sehingga selesai pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran ketika dihubungi berkata, surat pertukaran itu sudah diserahkan kepada pihak berkenaan tetapi pihaknya tidak pasti sama ada Maarof sudah mula mengajar di SMK Tanjung Pengelih seperti diarahkan.

“Perkara ini perlu dikemukakan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Segamat atau Kota Tinggi bagi mendapat kesahihan. Bagaimanapun, jika Maarof tidak menurut arahan pertukaran itu, surat ingkar perintah akan dikeluarkan menyebabkan gajinya boleh ditahan atau tindakan lebih berat termasuk dibuang kerja,” katanya. -BH

Kepada UMNO BN terutama menteri & timbalan menteri pelajaran, saya tegaskan teruskan kezaliman anda, semuga cepat anda akan menerima balasan terhadap perbuatan zalim anda.

Suami kepada Normala Shamsuddin telah menyatakan dengan jelas sijil cuti sakit murung itu adalah tulen dan para doktor juga mengesahkan sakitnya bukan sakit yang memerlukan beliau terlantar di atas katil. Sakit murung juga bukan sakit yang dibuat-buat.

Tetapi kerana sakit hati, benci, dendam maka pihak kementerian mengambil tindakan menukarkan sekolah dan memisahkan beliau dengan isteri & keluarga beliau.

Berapa ramai guru-guru & pegawai/petugas awam dari kalangan UMNO/BN yang melakukan kesalahan yang lebih terang dan nyata berkempen semasa pilihanraya tetapi tidka dikenakan tindakan apa-apa malah ada diantaranya dinaikkan pangkat dan diberi habuan?

Hanya semata-mata Maarof berkempen untuk PAS, kamu-kamu mengambil tindakan malah dengan mengugut untuk menahan gaji dan membuang kerja jika tidak segera berpindah.

Kami menyatakan kamu boleh berlaku zalim semasa kamu berkuasa, sedangkan Allah tetap menjaga sekalian hambaNya.

Kita berdoa agar kamu-kamu yang berlaku zalim itu akan menerima pembalasan Allah jua satu hari nanti. -GB

Kuasai 15 kerusi beri Pakatan harapan baru, kata penganalisis

KUALA LUMPUR, 17 April — Walaupun hanya menang 15 kerusi, namun penganalisis politik berpendapat ia adalah satu keputusan yang tidak dijangkakan dan menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan kedudukan di Sarawak.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, penganalisis berkata hanya DAP yang menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan berbanding PKR dan PAS.

Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihan raya negeri 2006 — yang mana ketika itu BN memperoleh 62 kerusi.

“Bagi Pakatan Rakyat mereka mengukuhkan lagi kedudukan terutamanya DAP yang mana mereka telah dapat 12 kerusi berbanding sebelum ini enam dan ini menunjukkan pengundi masih bersama Pakatan di kawasan bandar.

“Peningkatan sokongan ini menunjukkan BN perlu melakukan sesuatu untuk menyekat sokongan kepada Pakatan Rakyat,” kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Kata beliau, walaupun Pakatan Rakyat merupakan parti dari Semenanjung, namun jumlah kerusi yang dimenangi perikatan tiga parti itu menunjukkan perubahan sudah berlaku.

“Bagi Pakatan Rakyat walaupun berasal dari Semenanjung Malaysia, namun mereka nampaknya sudah mula diterima, malah kita boleh lihat bagaimana DAP yang sebelum ini menang enam kerusi kini sudah bertambah.

“Peningkatan ini juga mungkin menunjukkan pengundi mahukan keseimbangan ke atas DUN Sarawak, namun begitu nampaknya bukan semua pengundi masih boleh terima parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jelas Sivamurugan, faktor utama kemenangan besar BN adalah sumbangan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu jentera parti itu.

Beliau juga berkata, BN perlu melaksanakan setiap janji yang dibuat agar momentum kemenangan akan dapat diteruskan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Bagi saya faktor kemenangan BN adalah Najib dan Muhyiddin yang telah lakukan kempen yang hebat untuk pastikan Sarawak kekal menjadi simpanan hayat BN.

“Tapi cabarannya adalah untuk pastikan apa yang dijanjikan semasa kempen dilaksanakan supaya momentum itu dapat dikekalkan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Mungkin pengundi di Sarawak mahu memberikan satu lagi peluang kepada BN supaya jurang antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan terutamanya jurang antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri selain mahu melihat Najib melakukan lebih banyak perubahan,” katanya.

Malam tadi Najib memberi isyarat jelas bahawa kemenangan selesa BN dalam pilihan raya negeri Sarawak akan dijadikan kayu ukur dan jambatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kata Najib, kemenangan besar BN itu akan diterjemahkan pada pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagi Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat, DAP menunjukkan parti itu berjaya mendapatkan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jelas beliau, keputusan yang diperoleh Pakatan Rakyat itu masih belum dapat untuk bersaing dengan BN yang mempunyai pengaruh yang kuat di Sarawak.

“Saya melihat keputusan itu secara keseluruhannya kita lihat memang BN dapat majoriti dua pertiga dan ini menunjukkan kemenangan besar BN.

“Namun kalau kita lihat kawasan yang dimenangi DAP menunjukkan peningkatan DAP, begitu juga PKR yang meningkat kepada DAP.

“Ini menunjukkan peningkatan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Sarawak tapi secara keseluruhan BN masih berada dalam keadaan cukup selesa,” katanya.

Menurut Samsul Adabi lagi, banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di 15 kerusi itu termasuk kegagalan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang “tewas” besar kepada DAP.

“Terlalu awal untuk ulas kerana kawasan BN yang merosot angka tidak besar... begitu juga kerana penerimaan Pakatan Rakyat yang mana kalau kita lihat banyak faktor lain terutamanya faktu undi masyarakat Cina yang kita lihat banyak beri kemenangan kepada DAP.

“Kalau nak kata keseluruhan rakyat Sarawak sudah menerima Pakatan Rakyat, masih tidak boleh katakan, tapi kalau undi masyarakat Cina kepada DAP boleh kita lihat.

“Ini kerana SUPP yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak gagal menyelesaikan masalah kepimpinan dalam parti itu dan telah mengalami kekalahan besar menyebabkan pengundi Cina telah pergi kepada DAP dan bukan BN,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata kemenangan dua pertiga BN memang sudah dijangkakan, namun Pakatan Rakyat berjaya menang lebih kerusi.

“Saya ingat ia (kemenangan BN) sudah dijangkakan dan kerusi yang diperoleh sudah dijangka, awal cuma rasa risau dan bimbang.

“Dan yang saya lihat DAP berjaya menang 12 kerusi... saya juga tidak jangka PKR boleh dapat tiga kerusi, saya ingat ia adalah kerana faktor protes kerana tidak berpuas hati dengan BN bukan kerana minat kepada PKR,” katanya.

Selain itu, beliau percaya BN akan memperoleh kemenangan lebih besar sekiranya SUPP tidak tewas banyak kerusi.

“Sepatutnya BN boleh menang dengan lebih besar, kemenangan DAP sudah dijangka sebab trend pengundi Cina memang nampak begitu tegas kepada DAP, ia bukan undi protes bagi DAP, PKR mungkin.

“Kemenangan Pakatan Rakyat bergantung kepada DAP, yang saya rasa PAS dan PKR gagal terangkan manifesto Pakatan Rakyat, isu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga memberi sumbangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Datuk Dr Zainal Kling pula menjelaskan kemenangan 15 kerusi itu masih belum menggambarkan majoriti besar pengundi Sarawak menerima Pakatan Rakyat.

“Saya fikir pilihan raya kali ini beri harapan kepada Pakatan Rakyat terutamanya sekali DAP dan PKR, yang mana DAP berjaya jatuhkan SUPP.

“Namun Pakatan Rakyat secara seluruh belum (diterima) tapi DAP dan PKR sudah mula bertapak di sana sudah ada tapak untuk bergerak lebih menyakinkan mereka,” katanya.

PKR cabar keputusan kerusi Senadin

Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) bercadang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi N65 Senadin setelah calonnya Dr Michael Teo Yu Keng (bawah) kalah dengan majoriti tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin daripada Barisan Nasional (BN).

NONENaib Presiden PKR Tian Chua menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi malam tadi.

"Kami tidak puas hati, beliau (Chai) tidak memberi kami sebarang alasan yang kukuh berikutan keengganannya itu," kata beliau kepada pemberita.

Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi dan mengalahkan Dr Teo yang meraih 7,276 undi.

Penyokong PKR, termasuk anggota Exco Selangor Elizabeth Wong, yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, enggan meninggal stadium tiga jam selepas keputusan diumumkan untuk mendesak Chai melakukan kiraan semula.

- Bernama

Perjuangan PAS Kini Membunga di Sarawak

1. Keputusan pilihanraya umum peringkat negeri Sarawak bagi edisi ke 10 telah selesai dengan menyaksikan penyertaan PAS di 5 kerusi Dewan Undangan Negeri belum membuahkan hasil namun ianya sedang mekar membunga. Realitinya amat sukar bagi PAS untuk menembusi negeri Sarawak yang dianggap sebagai kubu kuat BN sejak lama dulu. Sungguhpun begitu, penerokaan PAS sejak tahun 2000 yang lalu ke bumi Kenyalang, kini cukup membanggakan.

2. Tahun 2000, PAS menabur benih perjuangannya di tanah subur bumi Sarawak, pucuknya mula bercambah pada tahun 2006 dan pada tahun 2011 ini, pohonnya telah mekar berbunga. Insyaallah, saya optimis bahawa masa depan perjuangan PAS tetap akan membuahkan hasilnya. Saya mensasarkan 5 tahun dari sekarang, pohon yang sedang membunga kini akan berbuah dan tentunya buah yang dihasilkan kelak adalah buah yang manis dan berkualiti insyaallah.

3. Dewan Undangan Negeri Beting Maro hampir membuahkan hasil apabila menyaksikan BN hanya mampu menang tipis dengan majoriti 391 undi setelah PAS yang diwakili oleh Abang Ahmad Kardee berjaya meraih sebanyak 2678 undi. Sementara Abang Addy Alyani Ketua DPP Negeri Sarawak yang mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya meraih sebanyak 1074 undi setelah tewas dengan majoriti 2934 undi. Demikian juga Tuan Hj Adam Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak meraih sebanyak 1769 undi di Dewan Undangan Negeri Sebuyau setelah tewas dengan 2276 majoriti undi.

4. Lebih menarik ialah dua Dewan Undangan Negeri yang julung kali disertai oleh PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum negeri Sarawak edisi ini [ pula diwakili oleh calon muslimat ], turut memaparkan keputusan yang sungguh memberangsangkan sekaligus menunjukkan bahawa masa depan PAS di bumi Sarawak semakin cerah. DUN Muara Tuang, PAS meraih sebanyak 3196 undi meskipun tewas dengan majoriti undi yang besar iaitu 7843 undi. DUN Tanjung Datu pula PAS meraih sebanyak 1002 undi setelah tewas dengan majoriti 3216 undi.

5. Apa yang ingin saya tegaskan ialah PAS mula meraih undi popular di bumi Sarawak berbanding lebih 10 tahun yang lalu, usahkan mahu meraih sokongan seramai itu, malah kehadhiran kami tidak diterima, dipandang sinis penuh curiga bahkan ada dikalangan pimpinan PAS dihalau dan diherdik oleh penduduk setempat sementara parang ditangan mereka.

6. Hari ini, penubuhan cawangan PAS kian rancak berlaku di negeri Sarawak dan ia adalah signal yang sangat jelas bahawa PAS bukan sahaja bertapak kukuh malah semakin marak berkembang. Rakyat Sarawak juga tidak lagi takut dan bimbang untuk menyokong PAS. Berasaskan pengalaman saya menemui pengundi, tiada lagi muka masam yang ditunjukkan kepada PAS dan tiada lagi rasa curiga terhadap perjuangan PAS.

7. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama rakan - rakan exco yang lain bertekad untuk terus melangsungkan perjuangan PAS ke bumi Sarawak [ begitu juga Sabah ] dengan memanfaatkan semaksima mungkin modal sokongan yang telah diperolehi melalui pilihanraya umum negeri Sarawak ini. Bermula dengan penubuhan DPP kawasan - kawasan, aneka aktiviti dan pelbagai program akan digerakkan insyaallah.

8. Saya sekali lagi mewakili DPP Malaysia merakamkan tahniah buat semua petugas PAS khasnya pemuda yang turun melalui kontijen negeri masing - masing untuk menyemarakkan lagi gerakkerja perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Sesungguhnya perjuangan kita tidak sekadar untuk meraih undi dan menawan kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi jauh lebih murni dari itu ialah membawa sinar hidayah Allah swt buat rakyat Sarawak yang telah diabaikan perkembangan agama mereka sejak sekian lama.

9. Al Faatihah, buat al marhum Muhamad Izan Yaakob, petugas PAS yang gigih bertugas dan berjuang di Beting Maro telah kembali kerahmatillah jam 1.30 tengahari kelmarin. Takziah buat seluruh anggota keluarga al marhum, semoga ruh al marhum dicucuri rahmat oleh Allah swt dan digolongkan dari kalangan hambaNya yang soleh.

10. Insyaallah, DPP Malaysia akan memberi sumbangan tenaga dan buah fikir untuk memastikan pohon yang sedang mengeluarkan bunga mekarnya tidak rosak dan dimusnahkan oleh anasir - anasir yang tidak mahu melihat buahnya masak ranum di musim depan. Selamat berjuang buat semua.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

PAS Kalah Undi Tapi Menang Da'awah

Kita ucapkan tahniah kepada BN di atas kemenangan mereka di dalam Pilihan Raya Negeri ke 10. Berbagai isu dipentaskan dan berbagai teknik dan cara berkempen digunakan oleh semua pihak. PAS buat pertama kalinya meletakkan 5 calonnya. Setakat ini pukul 9.10mlm BN telah diishtiharkan menang majoriti mudah.

Sheikh Sambal talk mahu membahaskan kenapa dan mengapa keputusan PRN begitu. Apa yang SS hendak luahkan di sini adalah pencapaian PAS di Sarawak dalam PRN kali ini. PAS masuk ke PRN ini dengan berbekalkan kalah 860 undi semasa PRN 2006 lalu.
An Image Slideshow

Nampak di mata memang seperti PAS kalah tapi hakikatnya PAS sudah mengorak langkah jauh ke dalam masyarakat Sarawak. 5 Kerusi yang PAS tandingi memberikan PAS peluang untuk mendekati masyarakat di tempat ini termasuk kampung-kampung, pekan kecil dan rumah-rumah panjuang.

Di kampung-kampung Melayu PAS berjaya membina beberapa cawangan penaja. Di rumah-rumah panjang pula PAS berjaya memperkenalkan diri dan Islam kepada mereka. Di pekan-pekan pula PAS semakin dikenali.oleh masyarakat Cina. Dewan Himpunan Penyokong PAS senang-senang sahaja boleh dibuka.

Petugas-petugas PAS sanggup meredah sungai dan hutan utk mendekati masyarakat Iban. Swing masyarakat tidak cukup untuk menolong memenangkan PAS tetapi mereka dengan senang hati menerima PAS di rumah mereka. Ini memberikan peluang kepada PAS untuk berdakwah di sana. Masyarakat Melayu pula semakin mengenali dan mahukan PAS. Ini dibuktikan dengan beberapa cawangan penaja PAS di Beting Maro, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu. Walaupun ada tempat yang menghalang PAS masuk, kebanyakan mereka mahukan PAS cuma belum bersedia untuk mengundi PAS.

Dari segi kerja kemasyarakatan PAS sangat disukai tetapi oleh kerana kedudukan Melayu yang terancam jika PBB kalah menyebabkan orang-orang Melayu takut untuk mengundi PAS. Takut mengundi PAS bukan takut kepada PAS. Ini harus difahami.

PAS mungkin kalah untuk mendapatkan undi yang cukup TETAPI menang dalam da'awah. Konsep PAS for All jelas terterjemah di PRN Sarawak kali ini. Dengan usaha da'awah yang berterusan, insyaAllah masa depan PAS adalah cerah. Allah tidak melihat kemenangan atau kekalahan kita tetapi apa usaha kita untuk memenangkan Islam.

Allahuakbar!Allahuakbar!Allahuakbar!

Sheikh Sambal

PAS Hormati Keputusan Rakyat, Sokongan Terhadap PAS Meningkat

PAS menghormati keputusan yang telah diumumkan dan akur dengan keputusan itu, walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak Ke-10 tahun ini, termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya.

Namun PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang telah diperolehi yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda masa depan PAS yang cukup baik di Sarawak.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pengarah pilihan raya ini, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, peningkatan baik yang diterima oleh PAS amat ketara di Dun Beting Maro yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, apabila hanya kalah dengan majoriti sekitar 400 undi kepada BN, berbanding PRN Sarawak tahun 2006 sebanyak 800 undi.

Menurut beliau, begitu juga di Dun Tanjung Datu yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubung dan Dun Muara Tuang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan yang baru pertama kali ditandingi, tetapi turut memperlihatkan sokongan yang amat baik di kalangan pengundi di kawasan itu terhadap PAS.

Katanya, namun PAS amat kesal dengan laporan dan analisis yang dibuat oleh Astro Awani awal malam ini yang amat jauh menyimpang dari kebenaran dengan mengatakan PAS mengalami kekalahan sebanyak 2,000 undi di Beting Maro.

"Laporan dan analisis Astro Awani itu ternyata tak betul. Malah sebenarnya sokongan para pengundi di Beting Maro terhadap PAS ternyata semakin meningkat sehingga hanya kalah dengan majoriti undi yang amat kecil sebanyak 391 undi sahaja," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Walaupun kalah bagi kesemua kawasan yang ditandingi, menurut beliau, perkembangan dari PRN Sarawak Ke-10 ternyata semakin memberikan sinar kepada PAS untuk menempa kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

"Dengan perkembangan yang baik ini, PAS tidak akan patah semangat untuk melakukan gerak kerja yang lebih baik di Sarawak sama ada dari sudut politik dan sudut-sudut lain.

"Malah, PAS pasti akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha di Sarawak dari semasa ke semasa bagi menghadapi pilihanraya akan datang demi kepentingan rakyat Sarawak termasuk dalam politik dan bidang-bidang lain," tegasnya.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pengundi di Sarawak yang telah memilih PAS dalam pilihanraya tahun ini.

"Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada jentera PAS di semua peringkat, sama ada dari kalangan jentera tempatan dan juga jentera-jentera PAS dari luar, yang telah bertungkus lumus berusaha membantu PAS untuk mencapai kemenangan sejak awal kempen hingga hari pengundian.

"Inilah semangat yang PAS mahu dan inilah semangat yang cukup baik yang telah ditunjukkan oleh jentera-jentera PAS dari semua peringkat termasuk dari kalangan jentera tempatan dan jentera-jentera PAS dari luar Sarawak," tegasnya. -HD
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .