
Kalau
 kita menganggap isu Deepak dan Perdana Menteri serta isterinya ini 
secara ringan, ia merupakan satu isu yang sangat seronok dijadikan 
kajian semua kerana Deepak sudah jadikan isu ini sebagai satu isu 
politik besar untuk negara. Deepak bukannya seorang ahli politik tetapi 
apa yang dilakukan ke atas beliau oleh Rosmah dan suaminya Najib itu 
secara terus menjadikan Deepak menjadi orang penting dalam politik 
negara sekarang ini.
Secara terus terang Deepak mahukan Najib bersara dan digantikan 
dengan Muhyiddin Yassin untuk membina imej baru bagi BN sebelum 
pilihanraya kita tiba. Tetapi oleh kerana Deepak menjadi isu politik 
sekarang ini maka Deepak seolah-olah menjadi orang penting dalam politik
 atasan yang melibatkan Najib dan Muhyiddin. Isu Deepak dan Rosmah 
Mansor serta Najib ini diandaikan dilakukan oleh pihak pembangkang 
tetapi lama kelamaan ia menunjukkan kecenderungan yang isu ini datang 
dan diperbesarkan oleh UMNO sendiri dan yang menjadi ‘suspect’ nya ialah
 Muhyiddin Yassin sendiri.
Deepak mula merasakan jemu dan marah terhadap Najib dan isteri 
apabila beliau merasakan tertipu dengan segala urusan perniagaan beliau 
sehinggakan beliau mendapatkan kerugian besar. Isu ini telah diketahui 
umum dan ruang terlalu sempit untuk dimuatkan dalam posting ini. Orang 
ramai memahami keadaan yang menimpa Deepak apabila beliau diperguna oleh
 Najib dan isterinya ke tahap optima untuk menutup kejahatan yang 
dilakukan oleh Najib dan isteri.
Deepak telah menulis surat terbuka kepada Dr Mahathir yang beliau 
anggap mempunyai sama keturunan itu kerana saranan Dr Mahathir agar 
Najib hanya membiarkan dan tidak melayan tuduhan Deepak yang 
bermacam-macam terhadap Najib. Deepak bertanyakan jika Dr Mahathir 
berada di dalam situasi beliau apa yang Dr Mahathir akan lakukan dan 
lain-lain lagi. Deepak merasa tersentuh dengan komen Dr Mahathir itu 
kerana sememangnya Mahathir merupakan seorang yang terlalu biasa 
mengambil kesempatan di atas keadaan seperti sekarang ini.
Tidak ada siapa yang menyalahkan Deepak dalam isu ini kerana imej 
Najib itu sememangnya tidak mengejutkan jika perkara seperti yang 
dialami oleh Deepak itu dilakukan oleh Najib terhadap sesiapa termasuk 
Deepak.
Tetapi apa yang tidak betulnya Deepak memberikan ulasan politik dan 
beliau terjun dalam politik yang beliau tidak memahami latar belakangnya
 sekarang ini. Bagaimana Deepak boleh memberikan pandangan yang Najib 
mesti berhenti dan digantikan dengan Muhyiddin? Apakah Deepak sudah 
terlalu yakin yang Muhyiddin boleh memperbaiki imej parti sedangkan 
tiada siapa yang ada di dalam barisan majlis tertinggi parti UMNO itu 
layak untuk mengambil alih kepimpinan Najib.
Bagi pandangan saya dan ramai yang lain jika Muhyiddin menjadi 
pengganti kepada Najib elok dicadangkan supaya kekalkan Najib sahaja 
kerana Muhyiddin tidak mampu untuk membawa perbezaan dengan tadbiran dan
 politik Najib. Jauh sekali jika Najib digantikan dengan tiga orang Naib
 Presiden parti itu kerana mereka tidak mempunyai sisik untuk menjadi 
pemimpin utama negara.
Pendeknya Muhyiddin serta kesemua Naib-Naib Presiden UMNO tidak 
mempunyai kelayakan untuk mengambil alih kepimpinan Najib walau seburuk 
mana pun tahap kepimpinan Najib. Ini di sebabkan kerana semua mereka 
yang duduk di dalam Majlis Tertinggi itu merupakan mereka yang datang 
dari acuan yang sama sahaja. Jika Muhyiddin mengambil alih mungkin yang 
beruntung hanyalah Dr Mahathir kerana itu kehendak beliau sebenarnya. 
Mahathir tidak ada perasaan sayang kepada partinya dan apa yang beliau 
mahu hanyalah keuntungan untuk diri beliau dan kroni beliau semata-mata.
 Beliau hanya mahu dilihat sebagi orang penting dalam segala-galanya.
Saya bukan mengatakan yang Najib itu layak dan berkepimpinan. Malahan
 itulah sebabnya rakyat menolak UMNO dan BN sekarang ini. Yang saya 
katakan ialah tiada siapa yang ada di dalam Majlis Tertinggi UMNO 
sekarang ini termasuk Najib akan mampu mempertahankan arus perubahan 
yang sedang berlaku di kalangan rakyat dan Pakatan Rakyat akan menjadi 
pilihan rakyat dalam pilihanraya ini.
Pandangan ini tentu tidak akan diterima oleh penyokong membuta tuli 
UMNO atau pun Najib tetapi hakikatnya UMNO akan tumpas dengan kepimpinan
 yang ada sekarang ini. Blog ini telah berulang kali manyatakan yang 
rakyat tidak menghormati barisan kepimpinan UMNO itu lagi dan parti itu 
akan menjadi parti tunggal yang akan memenangi sedikit kerusi dalam BN 
di Semenanjung ini. Ia akan menjadikan BN itu UMNO, UMNO itu BN. Itu 
shaja. Parti-parti komponen yang lain boleh di anggap tiada lagi selepas
 pilihanraya nanti.
Saya memberikan reaksi ini kerana saya hanya mempunyai satu 
keyakinan. UMNO sudah begitu terlewat untuk memperbaiki diri kerana 
parti itu dikuasai oleh mereka yang tamak haloba yang sanggup melihat 
parti itu jatuh bergelimpangan dalam pilihanraya kali ini.
Pihak pembangkang dan penyokong-penyokongnya wajar berterima kasih 
kepada Dr Mahathir kerana beliau (Mahathir) telah lama melakukan kerja 
yang akhirnya memusnahkan parti yang ditubuhkan oleh beliau sendiri itu.
 Sehingga ke saat ini Mahathir masih lagi melakukan kerja yang 
membinasakan parti itu sehinggakan UMNO sudah tidak dikenali lagi oleh 
rakyat termasuk ahli-ahlinya sendiri.
Rakyat lebih mengenali Pakatan Rakyat. -
 aspanalias