Kali ini agak lama saya tidak menulis dalam akhbar Siasah ini. Jika   saya menulis, tentu saya tidak akan lari dari menyentuh tentang   pemilihan PAS. Seingat saya, hanya satu artikel sahaja saya menulis   tentang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan Pemilihan PAS secara sepintas   lalu sahaja.
Sekarang   ini semua pihak termasuk semua parti-parti politik mula sibuk membuat   ramalan bilakah tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Malah   sesetengah parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang telah   menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing kecuali PKR   (akhir tahun 2010) dan PAS (pada 3-5 Jun, 2011) untuk membuat persiapan   menghadapi pilihanraya tersebut.
 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengiyakan atau   menafikan akan mengadakan PRU ke-13 pada 11.11.11 tapi masih berlegar   kepada permainan angka seolah-olah dia cuba bermain teka-teki   berdasarkan angka-angka tertentu mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU)   ke-13 nanti.
 Najib dalam temubual dengan sebuah rangkaian radio tempatan yang   disiarkan secara langsung baru-baru ini menceritakan signifikan angka 11   dalam hidupnya. Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa   penting dalam hidupnya.
 Diantaranya Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986)   dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11. Sementara,   ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah   Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada  11  haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
 Analisa Pemilihan PAS
 Pasca Pemilihan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang   memberitahu media ketika diminta mengulas tentang keputusan pemilihan   PAS 2011 bahawa beliau telah mendapat kabinet pilihanraya.  Kita akan   lihat sama ada kabinet PAS kali ini yang penuh dengan professional   menggantikan ulamak akan memaukau rakyat atau tidak untuk memilih PAS   menggantikan UMNO dalam PRU-13 nanti untuk menuju ke Putrajaya?
 Seperti dilaporkan dalam HarakahDaily, “Tengok kepada AJK PAS Pusat,   lapan di kalangan ulamak,  dua doktor, dan selebihnya jurutera dan   pemimpin masyarakat,” katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru,   Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam   Musa dan Salahuddin Ayub.
 Dalam pemilihan kali ini, satu kejutan telah dilakukan oleh   perwakilan PAS bilamana mereka menobatkan Hj. Mohamad Sabu sebagai   Timbalan Presiden PAS yang secara tidak langsung memecah rekod   kepimpinan PAS apabila beliau menjadi timbalan presiden pertama dari   kalangan bukan ulama selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan PAS   pada tahun 1983.
 Mohamad menang pada pemilihan kali ini apabila mendapat 420 undi   berbanding Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharudin Mat Isa   (224). Pada pemilihan 2009, Nasharudin mendapat 480 undi diikuti Husam   dengan 281 undi dan Mohamad 261 undi.
Jika dilihat pada kedua-dua  keputusan pertandingan Timbalan Presiden  ini, ternyata Husam seorang  strategis politik yang hebat, bila kawasan  Kubang Kerian yang  dipimpinnya mencalonkan Mohamad Sabu, saingannya  untuk kerusi Timbalan  Presiden pada 2009 sebagai calon Timbalan Presiden  pada kali ini dan  beliau hanya bertanding Naib Presiden di saat-saat  akhir.
 Ternyata percaturan Husam dan Mat Sabu berjaya kali ini berbanding   dengan pemilihan 2009. Pada saya tidak susah untuk perwakilan untuk   mengembalikan beliau semula kepada salah satu daripada 3 kerusi Naib   Presiden dan meletakkan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden, bila   perwakilan kerana mereka “keliru” sama ada untuk memilih Nasharuddin Mat   Isa atau Tuan Ibrahim untuk meneruskan tradisi yang dipegang sebelum   ini.
 Subky Latif, seorang pengamat politik terkenal tanahair ketika   mengulas perkara ini menyebut,  Mohamad Sabu umpama akar selepas rotan   (ulama yang sesuai) tidak ada tetapi ‘akar ini akar tunjang yang   menjalar merata’. Katanya, “Ulama tak menang kerana tidak ada yang   sesuai umpama rotan tidak ada, jadi akar yang menjadi pilihan…tetapi   Mohamad Sabu ini umpama akar tunjang yang cabangnya merayap merata,”
 Bagi kerusi Naib Presiden pula, Salahudin Ayub mendapat 753 undi,   Husam Musa (660), Mahfuz Omar (616), Idris Ahmad (491), Nik Mohd Amar   (321) dan Nizar Jamaluddin (217). Kehadiran Ustaz Idris Ahmad, Ketua   Penerangan PAS  dan Mohd Amar Nik  Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)   serta Mohd Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak)  tidak cukup   untuk menyakin perwakilan bagi meletakkannya sebagai Naib Presiden PAS.
 Mohd Amar juga tidak bernasib baik kerana masih ada Husam Musa juga   calon dari Kelantan. Beliau dilihat masih dibelakang Husam bagi politik   PAS peringkat nasional. Jika tiada Husam,yang turut bertanding kerusi   Naib Presiden, peluang beliau mungkin lebih baik.
 Walaupun Idris Ahmad seorang ulamak muda yang dinamik serta dilihat   seorang yang ‘perfom’ sebagai Ketua Penerangan PAS, beliau gagal untuk   mengikut jejak bekas Ketua Penerangan PAS apatah lagi bagi menyaingi   kewibawaan Datuk Mahfuz Omar, yang mempertahankan kedudukan Naib   Presiden bagi penggal kedua.
 Sementara Sallehuddin Ayub pula dilihat sebagai  ‘Mr nice guy’ yang   berjaya memukau perwakilan PAS setelah Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat   tidak dapat mempertahankan prinsip awalnya untuk tidak bertanding kerusi   Timbalan Presiden dan hanya mempertahankan kerusi Naib Presiden yang   telah disandangnya.
 Pemerhati politik melihat, Ir Nizar telah melepaskan peluang   keemasannya untuk mencuba kerusi menjadi Naib Presiden PAS ketika   popularitinya memuncak pada pemilihan 2009. Pada tahun itu, jika beliau   menyertainya, peluangnya adalah lebih baik dari pada 2011 ini ketika   ahli PAS telah melupai kehebatan bekas Menteri Besar Perak tersebut.
 Sementara bagi 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013   tiada muka baru kecuali Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala   Terengganu dan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam serta Ustazah   Nuridah Salleh, bekas Ketua Muslimat PAS. Keputusan penuh adalah seperti   berikut :1) Mazlan Aliman (804), 2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765), 3)   Datuk Kamarudin Jaafar (739), 4) Hanipa Maidin (735), 5) Datuk Seri   Azizan Abdul Razak (721), 6) Dr Zulkefly Ahmad (702), 7) Dr Mujahid   Yusof Rawa (651),   Khalid Samad (643), 9) Abdul Ghani Shamsuddin (579), 10) Amiruddin   Hamzah (576), 11) Abdul Wahid Endut (556), 12) Abu Bakar Chik (527), 13)   Datuk Mohd Amar Abdullah (470), 14) Dr Siti Mariah Mahmud (445), 15)   Datuk Mahfodz Mohamed (449), 16) Datuk Hassan Ali (437), 17) Abdul Ghani   Abd Rahman (430), 18) Nuridah Salleh (416) -BO