oleh AHMAD LUTFI OTHMAN 
Seorang   penerbit berita TV menyarankan kepada saya agar Harakah memberikan   tumpuan kepada dua isu besar yang timbul dalam Konvensyen Kedua Pakatan   Rakyat, 19 Disember lalu.Pertama, kenyataan Pe
ngerusi   DAP, Karpal Singh yang dilihat berlembut dan positif terhadap   perjuangan Negara Islam PAS. Kedua, 10 program Pakatan Rakyat untuk   melaksanakan reformasi menyeluruh dalam masa 100 hari sekiranya   diberikan mandat dalam pilihan raya umum akan datang. 
"Bagi   saya, politik tahun 2010 ditutup dengan dua isu besar itu. Harakah   harus membuat penjelasan yang sepatutnya. Pemimpin dan media BN pasti   akan menyanggah keupayaan Pakatan untuk melaksanakan 10 tawaran Pakatan   Rakyat dengan alasan yang sudah boleh dijangka," tambahnya.
Sementara   saya dan rakan-rakan di Harakah cuba memberikan perincian terhadap   tawaran realistik dalam Buku Jingga itu, saya masih tertarik dengan   pujian terbuka Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu. Beliau   menyifatkan  "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan   Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak   keluar parti". 
Memang saya telah menyinggungnya   dalam tulisan terdahulu tetapi saya tetap merasakan ia perlu  dilanjutkan  sedikit. Bukan untuk berbangga dengan komitmen tinggi  wakil-wakil  rakyat PAS (lebih-lebih lagi ahli-ahli biasa Parti Islam  yang tetap  istiqamah dan tidak berubah kehidupan mereka selepas menang)  seperti  disanjung Karpal, tetapi saya ingin mengaitkannya dengan  ideologi  perjuangan Islam itu sendiri.
Ia juga  selaras  dengan kesediaan Karpal mendengar pandangan dan penjelasan dua  tok guru  PAS (Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat dan  Presiden,  Tuan Guru Abdul Hadi Awang) mengenai agenda Negara Islam.  Bagi saya,  polemik Negara Islam -- dan apa jua isu sensitif lain pun --  sekiranya  dibahaskan dalam suasana tradisi keilmuan yang sihat, tanpa  sebarang  prejudis, pasti mendatang manfaat bersama.
Penegasan   Karpal yang menerima peruntukan dalam Perlembagaan bahawa Islam  sebagai  agama rasmi (lebih tepat lagi "agama bagi Persekutuan", seperti   dirakamkan Perkara 3 Perlembagaan) juga wajar dilihat daripada sudut   lebih luas. 
Pentafsiran pakar perlembagaan   seperti Almarhum Prof Ahmad Ibrahim dan Prof Dr Abd Aziz Bari mengenai   kedudukan dan implikasi "Islam sebagai agama Persekutuan" wajar disorot   secara mendalam. 
Bukan tidak ada pimpinan PAS   yang melompat parti. Yang Dipertua Agungnya (jawatan sekarang, presiden)   turut tergelincir, malah ada calon PAS yang sanggup "menjual kerusi"   sebelum pilihan raya berlangsung. Namun keseluruhannya, komitmen   ahli-ahli PAS berbanding parti pembangkang yang lain boleh dianggap   tinggi dan teruji. 
Di Kelantan, semasa penggal   2004-2008, Umno-BN hanya perlu "membeli" seorang Adun PAS bagi mengambil   alih kerajaan negeri. Dipercayai Umno cuba menggunakan kesempatan itu   sebagai jalan pintas untuk kembali berkuasa selepas kalah semua kerusi   Dun dan Parlimen dalam pilihan raya umum 1990. Namun, segalanya  terbukti  gagal.
Ramai melihat "keistimewaan" ini  daripada  sudut pegangan ahli-ahli parti terhadap ideologi perjuangan  PAS. Bagi  sebahagian besar aktivis, PAS sebenarnya bukan satu pilihan,  tetapi  kemestian. Kewajiban memilih dan mempertahankan PAS adalah  disebabkan  dorongan agama. 
Justeru, apa jua  tawaran untuk  meninggalkan PAS -- tentunya tidak dapat diyakinkan  dengan hujah-hujah  agama, pasti ditolak mentah-mentah. Mungkin ada  wakil rakyat yang  terpesona dengan pujukan, tetapi mereka harus  memikirkan puluhan kali  tentang natijah "pengkhianatan" itu, terutama  apabila membayangkan  reaksi ahli-ahli parti nanti.
Islam  sebagai sistem  hidup menyeluruh, seperti diungguli PAS, mampu memupuk  amalan integriti  dan akauntabiliti yang tinggi. Prinsip ehsan yang  diutamakan dalam  Islam,secara semulajadi dapat mengawal seseorang  pemimpin untuk bersikap  jujur, amanah dan ikhlas walaupun tiada siapa  yang memantaunya. Dengan  itu, perbuatan rasuah dan sikap mementingkan  diri-kerabat dapat  dihindari.
Tok Guru Nik Aziz  kerap mengingatkan  ahli-ahli PAS tentang proses kehidupan selepas mati,  azab kubur, syurga  neraka. Ia cukup berkesan bagi membentengi diri  daripada terjebak dengan  "penyakit orang berkuasa". 
Kesederhanaan  hidup  beliau, walaupun selepas 20 tahun menjadi MB Kelantan, cukup  dikagumi,  terutama oleh masyarakat bukan Islam. Sepatutnya pimpinan PAS  lain (yang  turut menerima tempias "nikmat kuasa") turut mewarisi gaya  hidup sama. 
Amat malang jika "wabak Umno" sudah menjangkiti PAS, misalnya hidup mewah dan korupsi. 
"Apabila   diadakan seminar 'PAS Sedia Ganti Umno', saya cukup bimbang jika  segala  perangai buruk Umno akan diamalkan PAS bila berkuasa nanti,"  kata  seorang pemimpin kanan PAS. 
"Bukankah elok  jika  kerajaan negeri PAS mendahului amalan baik dalam pemerintahan  seperti  hisbah dan tender terbuka? Juga, kekallah hidup sederhana tanpa  perlu  sibuk mengejar peluang kuasa, daripada peringkat atas hinggalah  yang  kecil-kecil di kampung," tambahnya.
DAP juga  boleh  dilihat sebagai sebuah parti ideologi. Ada yang mengaitkannya  dengan  perjuangan sosial demokrat. Prinsip-prinsip keadilan sosial,  demokrasi,  ketelusan, integriti dan hak asasi dipandang tinggi. 
Jika   terbukti wakil rakyat PAS bukan saja mempunyai ketahanan diri daripada   melompat parti, malah anggotanya dalam kerajaan negeri Pakatan   menunjukkan teladan unggul dalam semua dimensi, Islam akan dipandang   tinggi dan mulia oleh seluruh rakyat Malaysia. 
Maka,   yang disanjung kerana hidup sederhana bukan sahaja Tok Guru Nik Aziz   dan segelintir pemimpin PAS termasuk Tuan Guru Abd Hadi Awang khususnya   semasa menerajui kerajaan Terengganu, tetapi semua yang dipilih di atas   tiket parti Islam itu.