Ikuti Blog ini

Tenang: PAS umum calon 16 Jan



KOTA BHARU, 4 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu tetap akan ‘bertarung’ menentang calon Umno pada pilihan raya kecil Dun Tenang.

Menurutnya, walaupun ianya kubu kuat Umno, namun demokrasi dapat merubah segala-galanya.

“Dalam Islam tidak ada yang kekal melainkan Allah dan kita diajar berhubung perkara itu, jadi kita tidak perlu takut dan akan meneruskan perjuangan ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut mengesahkan, calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Dun Tenang akan diumumkan pada 16 Januari ini.

Bagaimanapun katanya, calon yang bakal bertanding akan diputuskan pada mesyuarat khas 9 Januari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, di JKR 10, di sini tengah hari tadi.

Menurutnya lagi, senarai calon sudah ada bagaimanapun ianya belum diteliti sepenuhnya.

“Tidak kiralah sama ada muslimat ke siapapun, mana yang baik kita akan terima. Lagipun kita telah mempunyai wakil rakyat di peringkat Dun dan Parlimen,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dun Tenang pada 22 Januari dan hari 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .