KUALA LUMPUR, 9 Sept: PAS mengecam Tun Dr Mahathir  Mohamad yang menuduh parti itu menjual agama untuk kepentingan politik  sedangkan hakikat yang berlaku Umno yang perkudakan Islam untuk mencapai  cita-cita politik.
 “Tun Mahathir melahirkan kemarahan kepada PAS kerana insya Allah PAS  akan mengganti Umno sedikit masa lagi,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat,  Ustaz Idris Ahmad.
 Katanya, Mahathir sedar generasi baru hari ini mual dengan Umno, dan  telah menjadikan PAS pilihan mereka dalam perjuangan walaupun bapa  mereka ‘berkarat biru’ macam bekas perdana menteri itu.
 “Kenapa PAS menjadi pilihan mereka, tidak lain dan tidak bukan kerana  dasar Islam yang menjadi teras perjuangan PAS yang sentiasa segar,  berbanding dengan dasar Umno yang sudah lapuk dan berkulat,” ujarnya.
 Menurutnya, mereka yang menyokong Umno termasuk anak-anak Mahathir  adalah mereka yang hanya berkepentingan untuk memenuhi tembolok dan  perut sahaja sementara perjuangan untuk membela agama dan bangsa memang  jauh ke belakang.
 Justeru, tegasnya PAS menyangkal tuduhan Mahathir yang menyamakan PAS  bekerjasama dengan bukan Islam sama seperti Umno dalam Barisan  Nasional.
 “Untuk maklumat Tun, PAS bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam bentuk tahalluf yang tidak menggadaikan prinsip Islam yang PAS bawa sejak ditubuhkan.
 “Umno berkawan dengan orang bukan Islam sehingga menggadaikan prinsip  Islam. Selama 53 tahun Umno dalam kerajaan BN gagal mempertahankan  Islam, malah imej Islam semakin buruk pada pandangan orang bukan Islam,  rakan-rakan dalam parti komponen,” jelasnya.
 BN, katanya semakin keliru pemahaman Islam mereka walaupun mereka  lihat setiap tahun musabaqah al-Quran diadakan di negara ini tetapi  isteri pemimpin Umno daripada muda sampai tua tidak menutup aurat.
 Tambahnya, kalau perkara yang kecil macam itu pun Umno gagal memahamkan rakan-rakan BN, apakah lagi perkara yang lebih besar. 
 PAS, ujarnya ingin menegaskan dalam kerjasama politik yang pernah  dilalui oleh PAS sejak kerajaan campuran Barisan Nasional, Angkatan  Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, semuanya  mengangkat martabat Islam.
 Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat telah berlaku proses Islamisasi  yang lebih baik walaupun usia tidak sampai 3 tahun berbanding dengan  Umno yang berkuasa lebih 53 tahun.
 Justeru, tambahnya PAS mengharapkan Tun Mahathir masih normal dalam  membuat penilaian dan perbandingan kejayaan PAS berbanding dengan Umno.
 “Apakah Tun Mahathir sakit hati apabila masjid di bawah kerajaan  Pakatan Rakyat penuh dengan majlis ilmu sedangkan masjid di bawah  kerajaan Umno sudah menjadi kubur?
 “Bukankah masjid zaman Tun berkuasa dahulu masjid dibelenggu, ahli  jawatankuasa yang aktif dipecat dan diganti dengan AJK yang bukan ahli  masjid yang rendah  moral dan akhlak?” soalnya.
 Katanya, bekas perdana menteri itu bertindak kerana masjid telah  menjadi medan penyebaran ilmu yang merugikan Umno terutama selepas  keputusan pilihan raya umum 1999.
 Katanya lagi, Tun Mahathir juga pertikai kenapa PAS menyokong orang bukan Islam masuk ke masjid dan surau.
 Jelasnya, PAS berpendirian demikian bukan kerana PAS membelakangkan  hukum agama di mana sebelum satu keputusan hendak dibuat, PAS merujuk  pada hukum dahulu, bukan menyatakan secara membuta tuli sahaja.
 Pendirian itu, katanya selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 1 Mac 2010.
 “Tun perlu jujur, apakah tidak ada wakil rakyat BN yang masuk ke masjid?
 “ Apakah hukum menjadi halal kalau wakil rakyat bukan Islam daripada  BN masuk ke masjid dan berubah menjadi haram kalau daripada DAP, feqah  mana yang Tun rujuk?” tanya beliau.
 Secara sinis, katanya memanglah ‘feqah Umno’ bukan sahaja orang bukan  Islam daripada DAP tidak boleh masuk, malahan ustaz PAS seperti Datuk  Dr Haron Din, almarhum Datuk Ishak Baharom, Datuk Ismail Kamus pun tidak  boleh masuk ke masjid atau surau untuk memberi ilmu kerana mereka  ‘ulamak politik’.
 “Kalau ustaz Umno bercakap supaya sokong Umno itu tidak politik, kalau cakap sokong Islam, maka ini politik,” ujarnya lagi.
 Mengenai Mahathir membangkitkan PAS sudah tidak mahu kepada hudud  sejak berkawan dengan DAP, beliau mempersoalkan adakah sekarang bekas  perdana menteri itu pula menyokong hudud.
 Katanya, mungkin Mahathir sudah lupa surat amaran yang pernah beliau  hantar kepada kerajaan Kelantan supaya jangan melaksanakan kanun jenayah  syariah di negeri itu.
 “Malahan menuduh ini hudud PAS, bila dicabar pula mana hudud Umno  sampai hari ini tidak timbul-timbul. Bukankah sebagai seorang Islam  semacam Tun yang sudah meningkat umur tidak sepatut berfikiran begitu,”  ujarnya lagi. -Hrkh