Ikuti Blog ini

PKR teruskan laporan polis terhadap Najib



KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Balai Polis Dang Wangi di sini berhubung akuan bersumpah P. Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri itu dengan Altantuya Shariibuu.

Shamsul berkata, beliau meneruskan laporan polis terhadap Najib walaupun Balasubramaniam menarik balik seluruh isi kandungan akuan bersumpah itu hari ini kerana penarikbalikan akuan bersumpah yang kurang daripada 24 jam itu sebenarnya membangkitkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan berhubung kesahihan penafian Najib semalam.

"Penarikbalikan akuan bersumpah yang dikatakan berlaku hari ini dalam masa kurang 24 jam telah membangkitkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan mengenai kesahihan penafian (Datuk Seri) Najib Razak bahawa beliau tidak kenal Altantuya.

"Keengganan isteri Najib, (Datin Seri) Rosmah Mansor untuk mengheret Raja Petra Kamaruddin ke mahkamah atas akuan bersumpah Raja Petra mengenai penglibatan Rosmah juga mewujudkan spekulasi yang sangat serius," katanya selepas membuat laporan polis pada pukul 3 petang tadi.

Menurutnya, laporan polis yang sama turut dibuat oleh Ketua Angkatan Muda setiap negeri mengikut daerah masing-masing.

Beliau berkata, pengakuan Najib semalam yang mendakwa beliau turut bertemu Mohd. Saiful Bukhari Azlan beberapa hari sebelum laporan polis bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga membenarkan dakwaan Angkatan Muda sebelum ini bahawa wujud konspirasi untuk menghancurkan karier politik Pensihat Parti Keadilan Rakyat.

Ketika ditanya sama ada akuan bersumpah Balasubramaniam masih boleh dijadikan bukti memandangkan beliau telah menarik balik seluruh kandungannya, Shamsul yang juga seorang peguam berkata, dalam konteks undang-undang, akuan bersumpah itu tetap sah.

"Dalam konteks undang-undang, bila sudah wujud satu pengakuan bersumpah dan keterangan telah melalui proses yang sempurna, dibuat sendiri oleh Balasubramaniam setelah mendapat nasihat peguam dan ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah yang berdaftar, ia adalah sah.

"Justeru, jika wujud satu lagi pengakuan bersumpah yang mendakwa sebaliknya, pihak polis harus melakukan siasatan sepenuhnya kerana ini bukan kes sivil, ini kes jenayah yang melibatkan nyawa orang lain," katanya.

Shamsul berkata, beliau percaya penarikbalikan akuan bersumpah yang dilakukan Balasubramaniam itu dilakukan atas dasar paksaan.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) juga menggesa Najib meletak jawatan kerana integriti dan kewibawaan beliau kini dipertikaikan berikutan kenyataan akuan bersumpah Balasubramaniam.

Jelas Shamsul, pihaknya turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggantung tugas Najib sebagai timbalannya dan Menteri Pertahanan agar beliau boleh disiasat dan didakwa jika terbukti bersalah.

“Selain itu, ketika saya berjumpa dengan Setiusaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Yaakob, di Putrajaya semalam, saya sudah nyatakan kepada beliau meminta Perdana Menteri menggantung tugas (Tan Sri) Musa Hassan dan (Tan Sri) Abdul Gani Patail.

“Kita ada precedent. Di Selangor, ada laporan terhadap pegawai khas Menteri Besar, kita minta pegawai itu digantung daripada tugas. Itu (perkara) biasa.

“Dalam kes ini, Musa dan Gani terlibat, justeru ini sewajarnya membuka mata Perdana Menteri untuk menggantung (tugas) mereka daripada memberi arahan dan melaksanakan tugas kerana mereka adalah subjek dalam pertuduhan,” katanya.

Shamsul berkata, pihaknya mendesak supaya tindakan itu diambil segera agar imej negara tidak terus terpalit dengan pelbagai masalah kerana kepimpinan yang lemah dan bankrap moral.

“Hal ini juga akan memberi implikasi negatif kepada imej negara di mata dunia dan pelabur-pelabur asing,” katanya.

PAS tidak akan gadaikan prinsipnya



Nampaknya konsert yang membariskan ratu rock Ella dan artis dangdut Mas Idayu akan diteruskan juga Ahad ini di Stadium Shah Alam sempena kejohanan bolasepak persahabatan Piala Sultan antara Selangor dan Singapura.
Kerajaan negeri yang sepatutnya mengaturkan pertemuan antara Pemuda PAS Selangor (yang menghantar memorandum bantahan) dengan pihak istana berkenaan isu ini rupanya sehingga hari ini gagal mengaturkan pertemuan tersebut.

Menurut kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi: Kami bersedia untuk merafak sembah Tuanku Sultan bagi memberi pandangan dan menjelaskan keadaan sebenar, tetapi tidak diuruskan oleh pihak kerajaan Negeri.


Sebagai jalan terakhir beliau telah mengarahkan semua Pemuda PAS Kawasan dan Negeri supaya menunaikan solat Hajat selama dua malam supaya Allah menghindarkan bala atau kemurkaan terhadap seluruh rakyat negeri Selangor.

Adalah difahamkan Pemuda PAS tidak akan berdemo pada hari berkenaan sebaliknya akan hadir mengedarkan risalah bagi menyedarkan anak-anak muda yang hadir di Stadium Shah Alam bermula petang Ahad, 6 Julai ini.
Saya secara peribadi mahu mengucapkan syabas kepada Pemuda PAS Selangor kerana konsisten di dalam kerja-kerja amar makruf nahi mungkar mereka.

Walaupun kita parti politik tetapi hakikatnya kita sebuah jemaah dan gerakan Islam, prinsip perjuangan tidak boleh sekali-kali digadaikan dalam apa siatuasi sekalipun, samada dalam keadaan senang mahupun susah. Saya mengharapkan selepas ini PAS Selangor mengemukakan cadangan yang menggariskan perkara-perkara yang PAS rasakan perlu diterima pakai dan dilaksana oleh kerajaan negeri khasnya yang membabitkan masyarakat Islam di Selangor.

Benar kita bukan dominan di Selangor, tetapi pakatan bersama antara PAS, PKR dan DAP lah yang menyokong penubuhan kerajaan negeri ini. Oleh itu pandangan dan sikap PAS perlu juga dihormati dan diraikan khasnya yang berkenaan dan berkaitan urusan umat Islam.

PAS adalah parti yang berpegang teguh pada prinsipnya kerana matlamat perjuangannya jelas digariskan dalam perlembagaannya. Tiada siapa berhak mengarahkan PAS diam dan senyap dalam perkara-perkara pokok hatta Presidennya sekalipun (dan saya tahu Presiden tidak pernah begitu), apa yang ditunjukkan oleh Pemuda PAS Selangor dalam kes ini adalah satu contoh sikap PAS yang jelas dan tegas. Kita boleh kendur dan berunding dalam perkara-perkara cabang dan yang dibenarkan, tetapi atas bab prinsip, as syahid Ibrahim Libya adalah contohnya...

Bekas timbalan menteri Umno umum sertai PAS minggu depan?


KEDUDUKAN dan keyakinan Pas untuk muncul sebagai parti alternatif menggantikan Umno semakin teguh lagi apabila seorang tokoh Umno akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

Tokoh berkenaan seorang bekas ahli jemaah menteri di era Mahathir Mohamad dikatakan akan membuat pengumuman rasmi pada minggu depan di hadapan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Tokoh berkenaan yang mendiamkan diri ekoran krisis pemecatan Anwar Ibrahim melanda pada tahun 1998 dikatakan memilih Pas kerana yakin dengan Pas.

Penyertaan ke dalam Pas menunjukkan tokoh berasal dari negeri di Pantai Timur itu yakin dengan Pas dewasa ini.

Mari berhimpun beramai-ramai di Stadium MPPJ Kelana Jaya, Ahad ini



"Pakatan Rakyat berpandangan rakyat perlu diberikan ruang untuk mengeluarkan pendapat dan berkumpul bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dengan begitu drastik tanpa alasan kukuh," kata pemimpin Pakatan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu rakyat diseru menyertai perhimpunan aman memprotes kenaikan harga minyak pada Ahad, 6 Julai ini dan dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan provokasi pihak luar.

Pakatan Rakyat juga memaklumkan bahawa perubahan lokasi perhimpunan membantah kenaikan harga minyak dari Petaling Jaya ke Stadium MPPJ Kelana Jaya (berhampiran Kolam Renang MPPJ dan Pusat Latihan MAS), dibuat atas nasihat pimpinan Pakatan Rakyat, yang diputuskan selepas mesyuarat di rumah Anwar Ibrahim, semalam.

Menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung parti komponen Pakatan Rakyat, pertukaran lokasi tersebut dilihat berdasarkan perkembangan suasana politik semasa.

Kenyataan media itu ditandatangani Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; dan Setiausaha Agung KeADILan, Datuk Salehudin Hashim.

Sementara itu, jurucakap Protes, Moon Hoi, ketika dihubungi mengesahkan pertukaran tersebut, bagaimanapun pengisian program tersebut tidak berubah.

Pelbagai program akan diadakan, termasuk solat hajat perdana selepas Isyak yang bakal diimamkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat.

Difahamkan, selain Anwar, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah mengesahkan turut serta dalam perhimpunan itu.

Kaitan dengan Amerika, Anwar cadang saman Syed Hamid

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Tindakan ini dicadangkan Anwar berikutan kenyataan Syed Hamid berhubung isu hubungan Anwar dengan Amerika Syarikat terutama apabila negara itu membuat kenyatan mengenai isu liwat tersebut.

"Kita cadang ambil tindakan undang-undang.Saya secara rasmi tidak pernah ada hubungan dengan pentadbiran Amerika sekarang ini.

"Dalam kes ini (kes liwat) tak ada pernah sekali pun saya beri maklumat dengan kedutaan atau rasmi.

"Memang ada individu-individu dari seluruh dunia yang telefon saya tanya perkembangan saya tetapi yang ituduh olehs yed hamid saya kesal," katanya ketika diwawancara Harakahdaily di Pejabat KeADILan di Mercant Square, Damansara hari ini.

Anwar juga hairan mengapa Syed Hamid membuat kenyataan sedemikian sedangkan beliau tidak pernah ada permusuhan peribadi dengan Menteri Dalam Negeri itu.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa sememangnya beliau tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan pentadbiran Amerika hari ini.

Sementara itu dalam sesi wawancara yang sama Anwar turut menyatakan bahawa isu tuduhan liwat dan serangan kerajaan Bn terhadapnya hanyalah usaha untuk menyekat apa yang telah dirancang Pakatan Rakyat.

Begitupun ujar beliau, rancangan yang telah dibuat berhubung peralihan kuasa pemerintahan tetap difokuskan malah isu-isu kenaikan harga minyak dan barangan tetap diutamakan.

Bagi beliau, walaupun sibuk dengan soal perundangan berhubung dakwaan kes liwat terbaru yang dihadapinya, beliau mahu fokus pakatan tidak lari dari yang dirancangkan.

Dengan nada yang cukup yakin Anwar yang memakai baju putih berseluar cokelat terang memberi penegasan kali ini beliau sedia tanpa rasa gentar terhadap tuduhan itu.

Pada 28 Jun lalu, seorang pembantu di pejabat Anwar, Saiful Bukhari Azlan telah membuat satu laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur di bawah seliaan Balai Polis Jalan Travers berhubung dakwaan beliau diliwat Anwar.

Laporan itu mencetus suasana tegang namun Anwar menafikan bahawa beliau terbabit dengan tuduhan yang dikatakan satu konspirasi itu.

Anwar kemudiannya memfailkan saman terhadap pemuda itu di Mahkamah Jalan Duta pada 30 Jun lalu.

"Ada alibi kuat, tidak mahu bukti dipinda" kata Anwar


Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berhajat mendedahkan bukti dan alibinya lebih awal kepada umum kerana tidak mahu pihak tertentu yang terlibat dengan 'konspirasi jahat' ini akan meminda bukti.

Beliau bimbang peristiwa pada tahun 1998 iaitu pindaan kepada keterangan oleh pihak tertentu berlaku.

Katanya beliau mempunyai alibi dan bukti yang kuat dalam dakwaan bekas pembantunya itu namun sehingga kini pihak berkuasa belum lagi mengambil keterangannya.

"Kita telah meminta salinan report pengadu (pemuda) itu tetapi dinafikan pihak polis yang mana ini bertentangan dengan 'prosedure' biasa. Kita nak tahu apa sebenarnya yang dilaporkan," katanya ketika ditemubual oleh Harakah secara esklusif pagi tadi.

Beliau juga menjawab kegelisahan rakyat tentang kunjungan beliau ke kondo mewah tersebut dan memberi jaminan agar rakyat tidak perlu bimbang kerana mempunyai keterangan yang cukup untuk menyanggah dakwaan mereka berhubung kes tersebut.

"Peguam tegur saya bila saya buat pengakuan itu (kunjungan ke kondo) kerana perlu memberi bukti ialah pengadu. It is a criminal charge. Jadi mereka kena kemukakan bukti terlebih dahulu. Dia bukti dulu, kemudian kita jawab.

"Because kalau kita beri (dedahkan) awal, ianya akan membantu mereka. Dan mereka boleh pinda bukti atau laporan terhadap saya sama seperti dulu.Buat apa kita 'declare' , biar dia proof dulu," katanya

Beliau juga bersetuju sekiranya siasatan turut melibatkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di kondo mewah itu supaya pertuduhan terhadapnya boleh dijawab sebaiknya.

"Biar dia 'confirm' ada cctv, saya lagi suka, sebab orang tidak boleh mainkan masa dan tarikhnya itu.

"Kepada rakyat jangan bimbang. Insya-Allah kita ada bukti dan keterangan yaang cukup," katanya kepada Harakah.

(Ikuti penjelasan dan kupasan Anwar lebih lanjut berkaitan dakwaan tersebut , penglibatan Saiful bekas pembantunya, pandangan Syeikh Qardawi tentang isu terbabit, isu membabitkan Najib, Syed Hamid dalam keluaran Harakah 9 Julai minggu hadapan)

Anwar temui rakyat di Seberang Jaya 5 Julai ini

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berpidato di Tapak Ekspo, Seberang Jaya pada 5 Julai (esok) bermula jam 9.00 malam.

Program yang disusun itu adalah rangkaian pidato khas ekoran pertuduhan terbarunya oleh bekas Setiausaha Khasnya, Saiful Bahari Azlan baru-baru ini.

Beliau dijangka tiba ke Pulau Pinang pada 8.30 malam dan akan terus ke tapak ekspo untuk menyampaikan pidatonya manakala program asal untuk bersama rakyat sembahyang fardhu Magrib dan bertazkirah di Masjid Haji Saad, Tanah Liat terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan masa.

Di tapak ekspo selain beliau dijangka turut serta ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan pimpinan tertinggi PAS Pusat.

Beliau akan mendedahkan isu terbaru kepada keseluruhan rakyat Pulau Pinang bahawa tuduhan terhadapnya adalah ulangan peristiwa yang sengaja di rancang bagi melambatkan pembentukan kerajaan baru yang dijangkakan pertengahan Julai ini.

Sebagai seorang pemimpin yang cekal menempuh apa jua halangan Anwar telah berjaya berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk merengkok dalam penjara selama enam tahun.

Walaupun tidak dibenarkan menyertai politik untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke 12 lalu namun kini apabila had sekatan telah dilepasi untuk membolehkan menjadi Perdana Menteri ke enam Malaysia bila menang dalam pilihanraya kecil nanti.

Akibat peristiwa tersebut pengumumannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan pengumuman empat Ahli Parlimen daripada Umno untuk melompat parti menyertai KeAdiLan juga ditangguhkan.

Senario inilah yang sebenarnya yang menggangu senario Barisan Nasional (BN) sehinggakan kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah menjadi kucar kacir dengan berbagai isu melanda negara.

Laporan polis Dato' Seri Anwar terhadap Peguam Negara, Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berhubung mencipta fitnah pada tahun 1998 dulu turut menjadi ancaman terbaru kerajaan sekarang.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .