Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berpidato di Tapak Ekspo, Seberang Jaya pada 5 Julai (esok) bermula jam 9.00 malam.
Program yang disusun itu adalah rangkaian pidato khas ekoran pertuduhan terbarunya oleh bekas Setiausaha Khasnya, Saiful Bahari Azlan baru-baru ini.
Beliau dijangka tiba ke Pulau Pinang pada 8.30 malam dan akan terus ke tapak ekspo untuk menyampaikan pidatonya manakala program asal untuk bersama rakyat sembahyang fardhu Magrib dan bertazkirah di Masjid Haji Saad, Tanah Liat terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan masa.
Di tapak ekspo selain beliau dijangka turut serta ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan pimpinan tertinggi PAS Pusat.
Beliau akan mendedahkan isu terbaru kepada keseluruhan rakyat Pulau Pinang bahawa tuduhan terhadapnya adalah ulangan peristiwa yang sengaja di rancang bagi melambatkan pembentukan kerajaan baru yang dijangkakan pertengahan Julai ini.
Sebagai seorang pemimpin yang cekal menempuh apa jua halangan Anwar telah berjaya berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk merengkok dalam penjara selama enam tahun.
Walaupun tidak dibenarkan menyertai politik untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke 12 lalu namun kini apabila had sekatan telah dilepasi untuk membolehkan menjadi Perdana Menteri ke enam Malaysia bila menang dalam pilihanraya kecil nanti.
Akibat peristiwa tersebut pengumumannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan pengumuman empat Ahli Parlimen daripada Umno untuk melompat parti menyertai KeAdiLan juga ditangguhkan.
Senario inilah yang sebenarnya yang menggangu senario Barisan Nasional (BN) sehinggakan kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah menjadi kucar kacir dengan berbagai isu melanda negara.
Laporan polis Dato' Seri Anwar terhadap Peguam Negara, Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berhubung mencipta fitnah pada tahun 1998 dulu turut menjadi ancaman terbaru kerajaan sekarang.