KUALA LUMPUR, 20 Mac:  Penderaan dari segi ekonomi dan keperitan hidup adalah  balasan yang  disediakan oleh Barisan Nasional (BN) kepada rakyat jika ia menang   dalam pilihan raya akan datang, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad   Sabu.
"Hari ini, semua kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan apa sahaja  bebanan ke atas rakyat ditangguhkan.
"Semuanya  akan dihempuk ke atas  kepala rakyat sebagai balasan kepada rakyat  selepas BN menang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan  datang.
"Bersedialah  untuk menahan diri anda dihempuk dengan penderitaan  demi penderitaan  akibat penyiksaaan BN selepas ia menang dalam pilihan raya akan   datang," katanya.
Sejak lebih setahun lalu, kata Mohamad, rakyat   didendangkan betapa kerajaan kononnya menanggung beban akibat pelbagai  subsidi  untuk rakyat.
"Itu sahaja lagu yang didendangkan kepada  rakyat supaya  mereka bersedia menahan diri menanggung penderitaan  akibat penyiksaan BN selepas  pilihan raya akan datang," katanya.
Walaupun  bersetuju dengan jangkaan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk  Seri Idris Jala yang menyatakan negara  akan bankrap seperti Greece  kira-kira pada tahun 2019, tetapi Mohamad yakin  bukan subsidi kepada  rakyat yang menyebabkan negara bankrap.
"Penyakit  yang sebenarnya menyebabkan negara bankrap ialah rasuah.
"Pasukan  Petugas  Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) menganggarkan bahawa  rasuah boleh  mengakibatkan negara menanggung kerugian kira-kira RM10  bilion  setahun.
"Itu jangkaan institusi kerajaan. Saya yakin kerugian yang  ditanggung oleh negara jauh lebih besar lagi," kata Mohamad.
Rakyat,   katanya, mestilah mempersoalkan dakwaan kerajaan yang meletakkan  subsidi kepada  mereka sebagai punca utama yang mengakibatkan kemelut  ekonomi negara  ini.
"Benarkah subsidi merupakan punca utama masalah ekonomi yang bakal  dihadapi oleh negara sehingga negara dijangka bankrap?
"Adakah  salah  urus, salah tadbir dan penyelewengan wang rakyat untuk  kepentingan  pemimpin-pemimpin parti pemerintah dan kroni-kroni mereka  bukan punca utama  masalah ekonomi yang bakal dihadapi oleh negara?"  beliau  mempersoalkan.
Sebagai contoh, kata beliau, keluarga  Ketua Wanita Umno  sahaja mendapat pinjaman mudah sebesar RM250 juta  dari Kementerian Kewangan yang  hakikatnya seperti diberikan begitu  sahaja.
"Itu keluarga Ketua Wanita  Umno yang akan tamat tempoh jawatan menterinya April ini.
"Bagaimana   dengan keluarga pembesar Umno yang lain? Adakah mereka berdiam diri  dan melihat  begitu sahaja keluarga (Datuk Seri) Sharizat (Abdul Jalil)  mendapat nikmat  sehingga RM250 juta?" kata Mohamad.
Beliau  yakin, jika dibuat kajian yang  telus dan bertanggungjawab, negara  sebenarnya lebih banyak menanggung beban  akibat penyelewengan dan  rasuah berbanding pemberian subsidi kepada  rakyat.
Semalam, Unit  Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu)  dilaporkan berkata,  keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi telah  ditangguhkan  memandangkan kos sara hidup yang meningkat.
Menurut akhbar  harian Cina Nanyang Siang Pau, Pemandu berkata, langkah itu adalah semata-mata  keputusan sementara.
Sebelum  ini, badan pemikir yang diletakkan di bawah  Jabatan Perdana Menteri  itu mendesak Putrajaya melaksanakan "rasionalisasi  subsidi" dalam usaha  mengawal kos subsidi yang terus melambung.
Putrajaya   mengunjurkan bahawa kerajaan akan terpaksa membelanjakan RM33.2 bilion  bagi  menampung kos subsidi pada 2012, yang dikatakan punca bajet  defisit.
Kali  terakhir subsidi dikurangkan adalah pada Jun tahun lalu yang membabitkan gula,  bahan api dan tarif elektrik.
Idris  yang juga ketua pegawai eksekutif  Pemandu pada 2010 memberi amaran  bahawa pelan rasionalisasi subsidi adalah perlu  atau Malaysia akan  menjadi muflis seperti Greece dalam tempoh sembilan  tahun.
Dipercayai  akibat tekanan demi tekanan dari dalam BN sendiri,  tahun lalu beliau  menukar pendiriannya dan berkata Malaysia berada di landasan  yang betul  untuk mencapai status ekonomi negara berpendapatan tinggi menjelang   tahun 2020, meskipun kenyataan itu bertentangan dengan amarannya sebelum   itu.
 -Hrkh