KUALA LUMPUR, 3 Mei:
 Penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap 
peserta perhimpunan Bersih 3.0 dan juga petugas media adalah satu 
tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.
Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam 
(gambar) dalam satu kenyataan hari ini.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan 
bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa 
perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan 
pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan 
secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.
Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap 
petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan
 melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional
 dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua 
wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan 
dirampas oleh pihak penguatkuasa.
Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di
 mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat 
dikawal dan menjadi huru hara.
Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak 
sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah 
satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali  di mana
 mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan 
ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi
 sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.
Suruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam 
berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa 
perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar 
menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka 
mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa
 perhimpunan.
Tambahan pula,  Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai 
Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan 
Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang
 haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan 
sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.
Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri 
sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu 
persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat 
dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak.
Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk 
membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.  Ia 
juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan
 hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa
 membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal 
harian dengan gangguan minima.
Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti 
Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah 
dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan 
bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku 
merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah 
tersebut.
Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan
 dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam 
perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa 
perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan
 mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.
Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) 
Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi 
Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara
 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.
Walau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi 
sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk 
melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan 
keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih 
penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti 
dihormati dan dilindungi.
Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta 
pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan 
atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa 
perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan 
bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.
Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, 
menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan 
perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan 
datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya. -
Hrkh
Untuk sebarang pertanyaan serta pengemukaan maklumat dan dokumen, sila hubungi:
Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tingkat 11, Menara TH Perdana
Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur
Tel: 03-2612 5600; Faks: 03-2612 5694/5620
Emel: _ HYPERLINK "mailto:
 
complaints@suhakam.org.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
 " 
 
_complaints@suhakam.org.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
 _ / _ HYPERLINK "mailto:
 
humanrights@suhakam.org.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
 " 
 
_humanrights@suhakam.org.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it