(Mohamad Sabu bersama JK penganjur dalam sidang media hari ini)
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan 
Rakyat (HKR) hari ini meminta pihak pengurusan Stadium Merdeka 
mempercepatkan proses kelulusan menggunakan stadium itu bagi himpunan 12
 Januari ini.
Pengerusinya Mohamad Sabu, berkata desakan itu 
dibuat memandangkan pihaknya mendapat maklumbalas positif dari pihak 
polis untuk berbincang berhubung penganjuran Himpunan 1 Juta Rakyat itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Mohamad
 berkata, himpunan di Stadium Merdeka ini menyahut saranan Perdana 
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah menawarkan kepada Bersih 
3.0 agar himpunan dibuat di situ.
"Kita menghormati seruan Perdana Menteri untuk membuat Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka," katanya.
Menurut
 Mohamad, pihaknya telah menghantar surat permohonan kepada pengurusan 
Stadium Merdeka pada 26 Disember lalu malah dua kali membuat tindakan 
susulan, malangnya masih belum ada jawapan sehingga kini.
Sebaik 
ditanya apakah alternatif tempat lain sekiranya pihak pengurusan Stadium
 Merdeka tidak membenarkan, Mohamad menegaskan pilihan kedua, ketiga dan
 seterusnya tetap di Stadium Merdeka.
Mohamad turut memberitahu 
polis Dang Wangi menerima surat pemakluman dan  bersedia membuat 
pertemuan dengan mereka untuk membincangkan soal keselamatan dan 
perjalanan himpunan.
"Kita hantar surat pada 2 Januari untuk 
maklumkan kita hendak adakah himpunan, jadi mereka sudah respons dan 
bersedia membuat perjumpaan,"katanya.
Tambahnya, jam dua petang 
tadi pihak jawatankuasa telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara
 meminta mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal keselamatan dalam 
perhimpunan. 
Sekali lagi Mohamad menegaskan Himpunan Kebangkitan
 Rakyat Sabtu depan adalah himpunan paling aman dan berkonsep santai 
juga boleh membawa keluarga.
Mohamad yakin dan percaya himpunan ini bakal memberi keuntungan berganda kepada para peniaga di ibu kota.
"Peniaga
 di Kuala Lumpur akan lihat rekod peniagaan mereka akan mencatat 
keuntungan besar-besaran, hotel pun akan penuh," katanya.
Beliau 
turut memaklumkan Pihak jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat telah 
menyediakan 10,000 anggota keselamatan termasuk Unit Amal, Briged AMK 
dan  Pemuda Sosialis DAP (DAPsy).
Seramai 150 pegawai perubatan dan pembantu, serta pasukan peguam turut bersedia dalam himpunan itu nanti.
Turut
 bersama dalam sidang media ini, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua 
Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mat Akin, Aktivis Hishamuddin Rais 
dan barisan mahasiswa serta beberapa wakil Ngo. 
-Hrkh