Ikuti Blog ini

HKR: Pengurusan stadium diminta percepat kelulusan




(Mohamad Sabu bersama JK penganjur dalam sidang media hari ini)


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) hari ini meminta pihak pengurusan Stadium Merdeka mempercepatkan proses kelulusan menggunakan stadium itu bagi himpunan 12 Januari ini.

Pengerusinya Mohamad Sabu, berkata desakan itu dibuat memandangkan pihaknya mendapat maklumbalas positif dari pihak polis untuk berbincang berhubung penganjuran Himpunan 1 Juta Rakyat itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Mohamad berkata, himpunan di Stadium Merdeka ini menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah menawarkan kepada Bersih 3.0 agar himpunan dibuat di situ.

"Kita menghormati seruan Perdana Menteri untuk membuat Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka," katanya.

Menurut Mohamad, pihaknya telah menghantar surat permohonan kepada pengurusan Stadium Merdeka pada 26 Disember lalu malah dua kali membuat tindakan susulan, malangnya masih belum ada jawapan sehingga kini.

Sebaik ditanya apakah alternatif tempat lain sekiranya pihak pengurusan Stadium Merdeka tidak membenarkan, Mohamad menegaskan pilihan kedua, ketiga dan seterusnya tetap di Stadium Merdeka.

Mohamad turut memberitahu polis Dang Wangi menerima surat pemakluman dan  bersedia membuat pertemuan dengan mereka untuk membincangkan soal keselamatan dan perjalanan himpunan.

"Kita hantar surat pada 2 Januari untuk maklumkan kita hendak adakah himpunan, jadi mereka sudah respons dan bersedia membuat perjumpaan,"katanya.

Tambahnya, jam dua petang tadi pihak jawatankuasa telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara meminta mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal keselamatan dalam perhimpunan.

Sekali lagi Mohamad menegaskan Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu depan adalah himpunan paling aman dan berkonsep santai juga boleh membawa keluarga.

Mohamad yakin dan percaya himpunan ini bakal memberi keuntungan berganda kepada para peniaga di ibu kota.

"Peniaga di Kuala Lumpur akan lihat rekod peniagaan mereka akan mencatat keuntungan besar-besaran, hotel pun akan penuh," katanya.

Beliau turut memaklumkan Pihak jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat telah menyediakan 10,000 anggota keselamatan termasuk Unit Amal, Briged AMK dan  Pemuda Sosialis DAP (DAPsy).

Seramai 150 pegawai perubatan dan pembantu, serta pasukan peguam turut bersedia dalam himpunan itu nanti.

Turut bersama dalam sidang media ini, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mat Akin, Aktivis Hishamuddin Rais dan barisan mahasiswa serta beberapa wakil Ngo. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .