KUALA LUMPUR :  Orang ramai di negara ini yang  akan menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada  9 Julai ini berpeluang merebut  hadiah lumayan yang disediakan oleh  PAS, sekiranya berjaya merakamkan  gambar-gambar insiden provokasi  terbaik yang dilakukan oleh pihak  tertentu pada himpunan itu.
Tawaran tersebut dibuat bagi memberikan semangat kepada setiap pihak   yang ingin hadir pada himpunan itu agar tidak takut dengan ugutan   pelbagai pihak yang berusaha menghalangnya.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,   berdasarkan pengalaman dalam himpunan-himpunan aman lalu, pihak   berkenaan telah melakukan pelbagai tindakan provokasi bagi memburukkan   PAS, penganjur dan para peserta.
Menurut beliau, tindakan tersebut mungkin akan turut dilakukan oleh   pihak-pihak terbabit pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, malah   mungkin akan lebih ketara lagi.
Katanya, bagi membolehkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu   diketahui umum dan diambil pengajaran oleh pihak-pihak terbabit,   aksi-aksi mereka itu amat perlu dirakam untuk dijadikan tontonan semua   pihak.
"Aksi-aksi yang dirakam itu pula tentunya pelbagai. Ada yang menarik,   agak menarik, kurang menarik dan tidak menarik. Jadi untuk membolehkan   kita mendapatkan rakaman insiden-insiden provokasi yang menarik, PAS   akan menyediakan hadiah lumayan bagi mereka yang berjaya merakam gambar   terbaik," katanya pada sidang akhbar bersama Harakah di Pejabat Agung   PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, katanya, tetap akan diadakan   walaupun cuba dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai cara   kerana ia adalah himpunan yang diadakan oleh rakyat untuk tujuan yang   murni.
"Ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak perlu takut untuk menyertai   himpunan itu kerana ia diadakan atas tujuan yang murni oleh Bersih.   Walaupun begitu, jangan sekali-kali membawa senjata.
"Himpunan itu adalah himpunan aman. Jika membawa senjata dibimbangi   akan mencetuskan kejadian tidak diingini pula. Tujuan himpunan itu   diadakan amat jelas, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan   pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita dan desakan itu mestilah   didengar oleh kerajaan," tegasnya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai himpunan itu yang antara   lain dikatakan akan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau   berkata, dakwaan tersebut datangnya dari mereka yang tidak faham tentang   demokrasi.
Dalam negara demokrasi, katanya, rakyatnya tidak dihalang dari   mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan melakukan perubahan,   apatah lagi setelah sistem pilihanraya di negara kita terbukti tempang   sejak sekian lama.
"Sesuai dengan perhimpunan aman yang diadakan, ia tidak akan   mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap negara jika diadakan, malah   ia akan menimbulkan penghormatan rakyat asing itu sendiri terhadap   negara kita apabila mereka dapat melihat dengan jelas sikap rakyatnya   yang sentiasa menjaga keamanan termasuk ketika berdemonstrasi.
"Manakala pelancong pula bukan hanya terdiri daripada warga asing.   Malah rakyat di negara ini yang berkunjung ke sesuatu destinasi itu juga   adalah pelancong," jelasnya.
Dakwaan seperti itu, katanya, adalah sebahagian dari usaha menghalang   himpunan tersebut diadakan, tetapi Bersih dan rakyat negara ini sudah   tidak akan berganjak dari keputusan untuk mengadakan dan menyertai   perhimpunan itu, akibat sudah tidak tertahan dengan tindakan buruk yang   dilakukan oleh kerajaan BN terhadap rakyat selama ini khususnya dalam   pilihanraya.    
Bagi keselamatan diri, beliau menasihatkan mereka yang ingin  menyertai  himpunan itu agar membawa tuala basah, cuka dan garam untuk  digunakan  sekiranya diserang dengan gas pemedih mata oleh pihak  berkuasa.