
DALAM keghairahan menjalani ibadah puasa bermula 21 Julai lalu, mungkin
suasana yang berbeza dialami keluarga malang tahanan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) yang dipisahkan daripada keluarga tersayang.
Tatkala
anak-anak lain dijanjikan bapa tersayang, jika berpuasa penuh bakal
mendapat ganjaran pelbagai bentuk termasuk wang, baju raya yang lebih
dan duit raya, selain memenuhi tuntutan rukun Islam, anak-anak mangsa
tahanan ISA setiap tahun terpaksa menjalani ibadah puasa tanpa belaian
dan dorongan si ayah.
Jauh sekali untuk menikmati suapan tangan
penuh kasih sayang ketua keluarga, malah mungkin makan dan minum mereka
sekadar alas perut di kala anak-anak keluarga lain sedang khusyuk
menikmati juadah pelbagai aneka di bulan penuh keberkatan.
Begitulah
nasib 13 keluarga tahanan yang menetap di beberapa perkampungan di
sekitar Tawau, Sabah. Dan masih ada lagi keluarga yang teraniaya di
Kuala Lumpur apabila suami atau ayah tercinta terus dikurung tanpa
bicara di Kamunting, Perak.
Penulis dan Ketua Pengarang Kumpulan
Harakah, Ahmad Lutfi Othman pernah menyantuni keluarga tahanan yang
dizalimi itu di Tawau semasa kembara ISA ke Negeri Bawah Bayu itu.
Beberapa
anak dan isteri mangsa tahanan ISA meluahkan keperitan hidup mereka
setelah suami mahupun anak ditahan di Semenanjung (di Kem Tahanan di
Kamunting, Taiping) yang jaraknya bukan kepalang. Tiada upaya mereka
untuk menziarahi dan menatap wajah orang tersayang.
Paling
memeritkan, kehidupan yang dilalui dua keluarga Shamsuddin Alip dan
Bakar Baba yang ditahan semula sejak November tahun lalu. Tempoh
bersama begitu terhad sekali sebelum dicekup semula.
Penahanan
kali kedua itu membuatkan keluarga mangsa cukup trauma, dan paling
menyedihkan anak-anak terus menanggung derita rindu belian, kasih sayang
dan prihatin sorang bapa.
Air mata isteri Bakar Baba, Zorhana
Abdul Razak tak henti-henti berderai dari kelopak matanya yang sayu,
menceritakan nasib yang melanda dirinya dan anak-anak.
Anak-anak
masih bersekolah dan ada yang masih kecil, tidak tahu ke mana ayahnya
ditempatkan. Mahu menjenguk bapa amatlah jauh, dan alasan kononnya
bekerja terpaksa dihidangkan ke telinga anak-anak tatkala sang anak
bertanyakan ke mana ayah pergi.
Menceritakan kesengsaraan hidup
selepas suami ditahan ISA, Zorhana Abdul Razak (isteri Bakar Baba) yang
menetap di Kampung Muhibbah Raya kini terpaksa menggalas tugas seorang
ibu, bapa dan pelindung kepada enam anaknya yang masih kecil.
Zorhana
hanya menumpang di rumah ibunya yang juga semakin uzur tanpa ada
pendapatan yang tetap. Zorhana ketika ditemui dalam kunjungan Harakah
pada 26 April lalu berkata, penzaliman ke atas suaminya cukup membakar
jiwanya.
Perasaan bimbang dan takut mengenai keselamatan diri dan
anak-anak pula sentiasa bermain di benak Zorhana. Jika bertemu
masyarakat pastinya khabar si suami jua yang ditanyakan masyarakat
sekeliling kepadanya.
Entah apa lagi alasan yang mahu diletakkan
ke bibir masyarakat tatkala suami masih terus ditahan di tirai besi yang
entah bila akan bebasnya.
Hapusnya ISA tetapi tidak menghapuskan
perintah tahanan yang dikenakan ke atas suaminya. Perit sekali perasaan
yang berbuku di hati Zorhana tatkala memikirkan soal makan minum,
kesihatan dan persekolahan anak-anak juga terus menjadi bebanan fikiran.
Manakala kehadiran anggota polis Cawangan Khas (SB) pula sering
mengganggu perasaan. Ada yang berjanji mahu menyelesaikan masalah
suaminya, namun tidak kurang yang datang mengugut.
Perkiraan
Zorhanan mudah, jika suaminya bersalah, maka ke muka pengadilan harus
dihadapkan Bakar Baba agar mahkamah yang 'entah telus atau tidak' itu
setidak-tidaknya boleh mengadilinya.
Lebih malang lagi, kata
Zorhana, masyarakat persekitaran termasuk teman-teman dan keluarga
sendiri yang tidak memahami perkara sebenar seolah-olahnya memandang
serong dan tidak mengambil peduli hal ehwal mereka.
Meskipun
kental berdepan mehnah hidup, namun titisan airmata menjadi peneman,
tatkala anak-anak bertanyakan ayahnya. Kini ketika Ramadan dilalui,
suami tercinta masih didera di belakang tirai besi, mengurung segala
kasih dan sayang yang selama ini tersisa lagi.
Zorhana terpaksa
menyembunyikan perasaan sedih dihadapan anak-anak yang masih tidak
mengenal soal kezaliman pemerintah ke atas ayahnya.
Tawa-hilai
anak sahajalah kini menjadi bekalan sedikit sebanyak buat Zorhana
bersama ibu yang sudah tua untuk menghiburkan hati yang lara setelah
suami tercinta terkurung dalam tirai besi.
Satu sahaja harapan
Zorhana agar suami tercinta dibebaskan secepat mungkin kerana ISA
telahpun dimansuhkan dan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dan bakal
disusuli Syawal.
Dalam kesempatan bertemu Zorhana di rumah ibunya
itu, Zorhana tidak henti-henti mengucapkan terima kasih dan penghargaan
tidak terhingga kepada Harakah atas sumbangan kewangan dan bantuan
barang keperluan harian kepadanya.
Sambil menitiskan airmata,
beliau turut berpesan kepada penulis agar Harakah terus memperjuangkan
isu-isu penzaliman ke atas rakyat seluruhnya, bukan sahaja isu
membabitkan suaminya.
Sementara itu, seorang ibu tua, Aminah
Dalat (ibu kepada Shamsuddin Alip) pula menyifatkan tindakan kerajaan
meneruskan penahanan kali kedua anaknya adalah sangat kejam.
Aminah
yang ditemui Harakah selepas majlis sumbangan wang bantuan kepada
mangsa tahanan ISA di Pejabat PAS Kawasan Tawau, 25 April lalu cukup
tersentuh apabila penulis bertanyakan bagaimana keadaan beliau selepas
ketiadaan Shamsuddin.
Beberapa kali beliau menitiskan airmatanya,
dan berulang kali Aminah menyebut anaknya seorang yang baik, cukup
menjaga solat dan berdisiplin bukan seorang pengganas.
Apalah
daya Aminah pada tubuh tuanya itu beliau hanya mampu berdoa dan menanti
jika ada pihak yang mahu memperjuangkan nasib beliau dan memberi harapan
agar anaknya dibebaskan serta-merta.
Sementara itu, prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA, Harakah telah menyerahkan bantuan kepada 12 keluarga mangsa.
Sumbangan
disampaikan Ahmad Lutfi Othman kepada isteri, anak dan ibu mangsa yang
rata-ratanya ditahan kononnya terlibat dengan jemaah Darul Islam.
Harakah
menghulurkan sumbangan berupa wang tunai RM1,500 dan bantuan bekalan
makanan setiap seorang mangsa manakala RM4,000 bantuan tambahan
diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Zaitun Ahmad.
Jumlah bantuan bernilai RM23,000 adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Mansuhkan Isa kendalian Harakah.
Harakah
turut merayu seluruh rakyat yang bencikan kezaliman untuk terus
menderma kepada Tabung Mangsa Kezaliman ISA untuk Harakah sampaikan
sumbangan derma khasnya bagi menyambut Ramadan dan Syawal.
"Mungkin
ramai sudah melupai nasib malang keluarga tahanan ISA yang terpinggir
ini. Mereka masih memerlukan sokongan khususnya bantuan kewangan.
Ramadan yang menjanjikan pahala berganda untuk amalan sedekah adalah
masa paling sesuai untuk kita menyalurkan sumbangan ikhlas ini," kata
Ahmad Lutfi, yang berpengalaman luas menyantuni keluarga tahanan dan
juga bekas tahanan yang masih memerlukan.
"Sejak empat lima tahun
lalu, respons pembaca Harakah cukup menakjubkan. Hampir RM700,000
disumbangkan orang ramai. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
dan jutaan terim kasih kepada penderma yang baik hati. Hampir setiap
hari kami ada pihak yang menyumbang, walaupun sekecil RM5. Ia sungguh
bermakna. Ada yang terus menyalurkan ke dalam akaun RM1,000 setiap akali
berbakti, semuanya tidak kami kenali siapa mereka," tambah Ahmad Lutfi,
yang saban tahun, setiap hujung Ramadan menghulurkan sendiri bantuan ke
rumah keluarga tahanan, termasuk di Sabah.
"Kami pernah membantu
satu keluarga bekas tahanan ISA, seramai hampir sepuluh orang ke Manila
dan menanggung kos hidup mereka selama tiga bulan di Filipina. Bekas
tahanan yang dibebaskan daripada Kamunting itu dihantar ke penjara di
Manila atas tuduhan lain. Beliau merupakan pejuang Islam Moro. Hingga
hari ini keluarganya di Sandakan masih perlu dibantu," ujar Ahmad Lutfi.
SALURKAN SUMBANGAN IKHLAS ANDA KEPADA AKAUN MAYBANK 564070000336 ATAS NAMA HARAKAHDAILY DOT COM.