
 Setelah 53 tahun Merdeka negara kini  berada dalam krisis. Cita-cita  untuk membina sebuah bangsa yang bersatu  padu dan negara yang makmur  telah gagal.
 Demokrasi dan hak asasi rakyat terus  dinodai oleh pemerintah UMNO/BN.  Rasuah dan penyalahgunaan kuasa  membarah. Kekayaan negara telah dibolot  oleh segelintir elit berkuasa.  UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat  terbanyak yang dihimpit oleh kos sara  hidup yang tinggi. Pendapatan  rakyat tidak meningkat kerana dikekang  oleh pemerintah. Daya saing  negara dan rakyat terhakis akibat dasar  yang lemah, pelaksanaan yang  tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang  tidak berjiwa rakyat.    
 Krisis parah sebegini memerlukan tekad  dan azam politik untuk  diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru  dengan membuat anjakan  paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai  permuafakatan politik (tahalluf  siyasi) mengangkat suatu rencana dasar  dan kebijakan yang menyeluruh  untuk membela rakyat melalui Dasar  Bersama yang dimeterai.
 
Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:
 - Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
 - Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
 - Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
 - Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
 
 Dasar Bersama ini menggariskan iltizam  kami untuk mengalih hala tuju  negara dan bangsa ke landasan yang betul  setelah berdekad diruntun salah  guna kuasa, rasuah dan politik  perkauman.
 Muafakat asas yang membentuk Dasar  Bersama adalah ketulusan  parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan  Perlembagaan Persekutuan sebagai  kompas perjuangannya. Tiga perkara  pertama yang diangkat dalam Dasar  Bersama adalah komitmen Pakatan  Rakyat untuk:
 Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,  Islam sebagai agama bagi  Persekutuan dan agama-agama lain boleh  diamalkan dengan aman dan damai  di mana-mana di negara ini serta  melindungi kedudukan istimewa orang  Melayu dan anak negeri mana-mana  antara Negeri Sabah dan Sarawak dan  kepentingan sah kaum-kaum lain  sejajar dengan Perkara 153.
 
Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
 Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu  selari dengan Perkara 152  Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan  Bahasa Melayu sebagai lingua  franca serantau, melindungi dan  memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda  semua kaum, serta meningkatkan  penguasaan Bahasa Inggeris demi  memperbaiki daya saing Malaysia di  peringkat global.
 
Ketetapan  Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara  parti-partinya  membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat,  lantas  memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini.  Sejarah  besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad  rakyat  untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang  bobrok  dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan   bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis   parah.
 Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada  perjuangan rakyat Malaysia yang  pelbagai kaum dan pegangan untuk  membina sebuah negara dan masyarakat  yang menzahirkan semangat  demokrasi dan keadilan dalam semua aspek.  Agenda ini menuntut perubahan  mutlak (minda, pendekatan dan kaedah)  untuk menggembleng muafakat  semua pihak. Ini perlu demi membebaskan  institusi-institusi penting  negara dari durjana campur tangan sebahagian  kecil golongan elit yang  mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
 Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda  pengagihan kekayaan negara  secara adil dan saksama sebagai teras kepada  kesemua program yang telah  dilaksanakan dan sedang dirancang, demi  membela nasib rakyat terbanyak.
 Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi  yang pudar dan semakin  ketinggalan berbanding dengan negara-negara  serantau yang pernah  setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih  meraba-raba mencari  penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib  waspada dengan  saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih  mundur dari kita.  Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam  konteks ekonomi  global telah merudum.
 Lebih parah lagi, pemerintah yang  bongkak dan mementingkan diri  mengabaikan penderitaan rakyat.  Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat  atas nama mengurangkan beban  kerajaan, sementara lohong ketirisan  sengaja dibesarkan agar kekayaan  negara dapat mereka bolot secara rakus.
 Tindakbalas pemerintah juga adalah  songsang dan tidak mencerminkan  keikhlasan untuk mengembalikan daya  saing negara. Rencana ekonomi baru  yang dipersembahkan hambar kerana  janji untuk membawa ‘transformasi  ekonomi’ bercanggah dengan tindakan  semasa yang bertentangan dengan  tuntutan reformasi.
 Makanya, negara dan rakyat berdepan  dengan ketakutan yang berlipat  kali ganda. Amalan menunggang  institusi-institusi penting negara demi  menutup kelemahan sendiri dan  menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa.  Matlamat kuasa BN adalah  untuk terus berkuasa, bukannya mencari  kebijakan yang adil dan berkesan  untuk membawa negara keluar dari  kemelut ekonomi, politik dan sosial  yang semakin menghimpit.
 Malaysia perlu diubah sekarang.  Perjalanannya dan masa depan rakyat  di bawah pentadbiran persekutuan  sedia ada adalah kabur. Jika perubahan  tidak dilakukan sekarang, segala  kerosakan bangsa dan negara akan  berterusan. Malaysia akan bertukar  dari status malap kepada gelap.
 Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa  Malaysia adalah sebuah negara  berbilang bangsa yang berlandaskan  prinsip keadilan dan permuafakatan  perlu dikembalikan segera. Pakatan  Rakyat yakin bahawa agenda perubahan  yang dijunjung bersama akan  meniupkan kembali roh keadilan dan  permuafakatan dalam sistem negara  dan masyarakat kita.
 Agenda Pakatan ini menggariskan  perincian dasar dan langkah yang  berlandaskan Dasar Bersama untuk  merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat  membina sebuah negara yang  makmur dan adil. Kami percaya kemakmuran  negara hanya akan dicapai dan  berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip  keadilan sosial dan  persaudaraan rakyat. Hasrat ini akan mekar  berkembang; bila mana  semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran  dan  institusi-institusi penting negara.
 Agenda Pakatan ini adalah penzahiran  hasrat rakyat untuk melaksanakan  islah masyarakat yang digariskan oleh  Dasar Bersama. Ia adalah jendela  yang paling luas untuk menggambarkan  sebuah Malaysia yang makmur dan  adil di bawah Pakatan Rakyat.
 Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
 Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
 Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)
 Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
  
 NEGARA DALAM KRISIS
 Krisis Ekonomi
 Ekonomi negara terus kekal di takuk lama  sejak krisis kewangan Asia  Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan  dengan kelesuan ekonomi,  Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh  negara-negara seperti Korea  Selatan, Taiwan dan Singapura sementara  kita juga diancam oleh jiran  serantau seperti Indonesia, Thailand,  Filipina dan Vietnam.
 Jawapan pentadbiran sedia ada kepada  kemelut ekonomi ini adalah  dengan menabur janji-janji melalui kempen  slogan yang menelan belanja  ratusan juta wang rakyat.
 Rakyat disajikan dengan pelbagai  perancangan ekonomi seperti Model  Ekonomi Baru (MEB), Program  Transformasi Kerajaan (PTK), Program  Transformasi Ekonomi (PTE) dan  lain-lain yang sebenarnya tidak keluar  dari kebijakan ekonomi yang  digunapakai selama ini.
 Program-program ini masih bersandarkan  kepada keborosan membelanjakan  wang rakyat untuk membina projek-projek  mega tanpa ada keikhlasan untuk  melaksanakan reformasi ekonomi yang  diperlukan negara.
 - 12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
 - 10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
 - 4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
 - 4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
 - KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
 - 325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga   2010. Ini bermakna purata sumbangan PETRONAS setahun adalah 81.25   billion ringgit.
 - 53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
 - 3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh   wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion   (2010).
 
 
Kerosakan Institusi Negara Institusi-institusi penting negara rosak  akibat dari campur tangan  penguasa. Kewibawaan badan kehakiman  terhakis. Salah laku hakim-hakim  yang dibongkarkan dan diketahui umum  menyebabkan rakyat dan masyarakat  antarabangsa hilang keyakinan  terhadap institusi kehakiman.
 Malah, amalan mencampur-adukkan  kepentingan politik penguasa dengan  pentadbiran negara untuk memberi  kelebihan kepada parti yang berkuasa  semakin menjadi-jadi.
 Jika integriti institusi-institusi  penting negara tidak dipulihkan,  bahana kepada negara dan rakyat adalah  berganda. Selain ketidakadilan  yang berleluasa di dalam masyarakat,  sebarang usaha untuk membaiki imej  Malaysia di mata pelabur asing juga  akan terus cacat dan tidak berkesan.
 Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam  indeks integriti institusi awam  dalam laporan Daya Saing Global oleh  World Economic Forum dari tahun  2007 ke 2009
 
Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
 Pemerintah sedia ada mengambil jalan  tidak bertanggungjawab memecah  belahkan perpaduan masyarakat pelbagai  kaum untuk terus kekal berkuasa.  Taktik pecah dan perintah yang  diwarisi dari penjajah ini semakin  menjadi-jadi sejak tsunami  kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan  tingkah laku penguasa yang akan  menggadaikan keharmonian masyarakat  pelbagai kaum apabila semakin  terdesak.
 Rentetan peristiwa berbaur perkauman  yang berlaku sejak Mac 2008  akibat permainan politik perkauman sempit  UMNO/BN mengancam persaudaraan  rakyat pelbagai kaum.
 Kegilaan menggunakan isu-isu yang  mengapi-apikan perasaan curiga  antara kaum dan menggugat keharmonian  masyarakat berbilang bangsa  semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana  penguasa yang terdesak.
 
Bebanan Rakyat
 Kelesuan ekonomi dan kegagalan  pentadbiran sedia ada melonjakkan  ekonomi ke prestasi lebih tinggi  membawa kesan yang mendalam kepada  rakyat. Gaji yang tidak meningkat  menyebabkan kuasa beli rakyat  berkurangan, apatah lagi dalam suasana  kos sara hidup yang makin  meningkat.
 - 2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010,   berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara   miskin).
 - 4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
 - 40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang   berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan   paling miskin di Malaysia.
 - 3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
 - 34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar   gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras  kemiskinan.
 - 62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang   ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat   (penjana bebas, konsesi lebuhraya).
 - 3 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba   ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana   bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.
 - RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni  setiap  tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat  yang  cuba ditarik balik.
 - RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
 
 
Hak Rakyat Dinodai
 Peristiwa salah guna kuasa yang  memangsakan rakyat berleluasa.  Insiden-insiden yang melibatkan remaja  ditembak polis semakin meningkat  dan merangkumi mangsa dari pelbagai  kaum.
 Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan  menyatakan pandangan mereka juga  disekat dari pelbagai arah; baik yang  melibatkan rapat umum mahupun di  laman internet. Ada ura-ura  pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk  mengetatkan kawalan mereka  terhadap internet, memandangkan ia  satu-satunya jalan yang berkesan  menyebarkan maklumat alternatif kepada  rakyat.
 Tindakan-tindakan penguasa sebegini  tidak menggambarkan niat sebuah  kerajaan yang menghormati kebebasan  rakyat dan menjaga kehormatan  rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa  berterusan dan tidak ada  tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.
    
Gejala Rasuah Berleluasa
 Rasuah adalah barah utama yang  menghancurkan negara dan bangsa dari  dalam. Gejala rasuah yang berakar  menjadi halangan kepada usaha-usaha  untuk menyuntik dinamisme ke dalam  ekonomi dan masyarakat Malaysia  keseluruhannya. Sejak sedekad lalu,  rasuah juga adalah penyebab  kurangnya minat pelabur asing untuk datang  ke Malaysia yang telah  merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara  yang kian malap.
 Rasuah berleluasa kerana dokongan  pentadbiran sedia ada yang selesa  dengan golongan rentier (terutamanya  dari kalangan kroni dan parti  pemerintah). Golongan rentier ini  dikenali dengan pelbagai nama sebelum  ini – atas angin, Ali Baba dan  sebagainya. Golongan ini adalah parasit  yang menyelewengkan sumber  negara dari rakyat ke poket mereka.
 Gejala rasuah akan terus meruntuhkan  daya saing dan jati diri rakyat  Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh  yang ditunjukkan pentadbiran  sedia ada.
 - 28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
 - 3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
 - 4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010,   sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun   2009.
 - 46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International   menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010   berbanding 2009.
 
 
Krisis Pendidikan
 Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup  yang dihadapi rakyat pelbagai  kaum adalah bahana yang menimpa rakyat  apabila pendidikan di negara ini  diperkotak-katikkan mengikut selera  pemerintah. Selepas 50 tahun  mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan  Malaysia hilang serinya – dulu  dihormati serantau, kini hanya mengambil  tempat kedudukan yang corot  dalam senarai-senarai pendidikan  antarabangsa.
 Sekolah-sekolah dan universiti dilihat  sebagai pentas menjual  pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah  kaedah terbaik  menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara  demi kesejahteraan  bersama. Negara-negara yang paling makmur dan  sejahtera adalah  negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan  peringkat rendah,  menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.
 - 57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010   mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea   Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).
 - 68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah   antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong   (75.2%) dan Brunei (88.2%).
 - 1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan   menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001  dan  2009.
 - 29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).
 
  
 KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT
 Pakatan Rakyat telah mempamerkan rekod  pentadbiran yang meniupkan  semangat keadilan sosial dan persaudaraan  rakyat untuk menjamin  kemakmuran bersama. Prinsip asas yang dijunjung  dari Dasar Bersama telah  dihadam dan dihidupkan melalui pelbagai dasar  pro-rakyat yang telah  dijalankan selama ini.
 Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh  setahun akan datang adalah  menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat  atas landasan keutuhan sistem  pentadbiran yang demokratik untuk memberi  peluang kepada rakyat menilai  sendiri keikhlasan dan keberkesanan  Pakatan Rakyat sebagai sebuah  kerajaan.
 Ini akan dilakukan melalui pengenalan  langkah-langkah spesifik yang  tertakluk di bawah bidang kuasa  kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat  dan akan diperjuangkan di  peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis  Pakatan Rakyat.
 Rekod pembelaan rakyat yang dicapai oleh  negeri-negeri Pakatan Rakyat  iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang,  Perak dan Selangor tidak dapat  ditandingi oleh lawan. Pentadbiran  Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah,  telus, berjiwa rakyat lagi  berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil  negeri berdasarkan  laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan  pemantau bebas.
 Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:
 
Membebaskan Institusi Negara
 Merakamkan pentingnya institusi-institusi penting negara yang bebas dan berintegriti,
   Pakatan Rakyat komited untuk:    
-  Meneruskan konsep pentadbiran yang  kompeten, bertanggungjawab dan  telus seperti yang telah diamalkan di  negeri-negeri Pakatan Rakyat;  sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang  membebaskan institusi-institusi  penting negara dari cengkaman campur  tangan politik. 
 - Mewujudkan Majlis Pakar-Pakar (Council  of Experts) dalam isu-isu utama  negara seperti ekonomi, politik dan  sosial untuk merangka dan  mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan  dan mujarab menangani  kemelut negara dan masyarakat.
 - Mewujudkan Jawakatankuasa Parlimen yang  memantau fungsi dan keberkesanan  Kementerian-kementerian, dengan  penerbitan laporan Jawatankuasa  Parlimen setiap enam bulan sekali.
 - Memperhebatkan proses pendidikan  politik melibatkan golongan sasaran  yang lebih besar mengenai peri  penting keutuhan institusi-institusi  penting negara yang berintegriti;  dengan kerjasama NGO dan masyarakat  sivil/madani.
 - Istiqamah dalam kempen dan gerak kerja  politik untuk memberi tekanan  kepada pentadbiran sedia ada agar  membebaskan institusi-institusi  penting negara dari campur tangan  politik.     
 
 
Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil
 Menghargai pengorbanan dan rasa perit rakyat yang tertindas dengan  kesempitan hidup akibat agihan ekonomi yang tidak adil,
 Pakatan Rakyat  komited untuk:
 - Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada   persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah   khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Persoalan ekuiti 30%   yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra telah diselewengkan   untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah, sedangkan rakyat   terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan. Kaedah meningkatkan   pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang langsung kepada ratusan   ribu keluarga yang masih berada di bawah garis pendapatan RM1,500   sebulan.
 - Menyiasat dan bertindak ke atas penyelewengan harta rakyat atas nama   menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52  bilion  saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni  pemerintah atas  nama Melayu/Bumiputra, sedangkan majoriti rakyat masih  lagi berada di  dalam kategori rakyat miskin.
 - Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi   sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil kepada   rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim air percuma,   skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.
 - Mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam   bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selagi subsidi-subsidi   korporat kepada penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi tidak   distrukturkan terlebih dahulu.
 - Membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500   tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi   rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh lima tahun memerintah   di peringkat Persekutuan. Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa  dasar  bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan rakyat dan  menambah  peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai lebih dari  seorang  yang berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah pelaksanaan  gaji minima,  undang-undang majikan yang memberi ruang kepada kaum  wanita  melaksanakan tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar dan   menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan keusahawanan yang tidak  mengamalkan  diskriminasi.
 - Menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak   membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun   memerintah di peringkat Persekutuan untuk mengurangkan pergantungan   kepada import makanan.
 
   
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat
 
Menyedari  terhakisnya kuasa beli rakyat akibat kenaikan gaji yang  tidak setara  dengan kos sara hidup yang mencanak, ada keperluan mendesak  supaya  pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat ditingkatkan   serta-merta.
 Pakatan Rakyat komited untuk:    
- Menstrukturkan kembali empat bidang infrastruktur dan utiliti awam   supaya kos yang kini dibayar oleh rakyat dapat dikurangkan dengan   menghentikan manipulasi monopoli untuk keuntungan berlebihan oleh   pemegang konsesi. Empat bidang infrastruktur dan utiliti awam ini adalah   bekalan air, bekalan elektrik, lebuhraya dan kemudahan jalur lebar.   Pakatan Rakyat akan memulangkan pengurusan bidang-bidang ini kepada   rakyat melalui kaedah pengurusan yang lebih kompetitif.
 - Menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah  Klang  demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan  meneruskan Skim  Air Percuma yang telah dinikmati rakyat.
 - Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan   khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada   rakyat terbanyak.
 - Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang   mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat   untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang   selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.
 - Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan   rakyat dengan sebarang kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan pada   kadar yang segera. Setakat ini, projek perumahan terbengkalai   membabitkan 3,000 unit telah diambil alih dan sedang dipulihkan oleh   kerajaan Pakatan Rakyat.
 - Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan  untuk  memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan  kedudukan  ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan  pemantauan.  Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim  mikrokredit di  negeri-negeri Pakatan Rakyat.
 
 
Pemberdayaan Rakyat
 Merakamkan  peranan rakyat sebagai mekanisme timbang tara (check and  balance) yang  penting untuk menjamin pentadbiran yang bersih,
 
Pakatan  Rakyat komited untuk:
 - Meneruskan pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme timbang tara dengan   mengamalkan ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan rakyat. Ini   termasuklah dengan menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat   (Freedom of Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di   negeri-negeri Pakatan Rakyat.
 - Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat sivil/madani melalui   bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan   rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO menjadi suara pembela   rakyat.
 
 
Golongan Pendidik Diutamakan  
Merakamkan penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi teras  pembangunan negara dan persaudaraan rakyat,
 Pakatan Rakyat komited  untuk:
 - Meneruskan bantuan terus kepada semua jenis institusi pendidikan   marhaen yang membuka ruang pendidikan kepada rakyat, termasuk bantuan   terus kepada golongan pendidik di institusi-institusi ini sebagai   penghargaan kepada pengorbanan dan khidmat mereka.
 - Memperjuangkan pengharmonian gaji pendidik yang berbeza-beza latar   belakang dan kelulusan, dengan prinsip memastikan kriteria penilaian   yang lebih adil kepada para pendidik mengambil kira kepakaran dan tempoh   berkhidmat.
 - Memperjuangkan skim gaji yang setara dengan golongan profesional di   dalam sektor-sektor lain seperti jurutera, akauntan dan doktor yang   diikat dengan penilaian prestasi yang lebih adil dan menyeluruh untuk   menjamin mutu pendidikan negara.
 - Menilai semula guna tenaga semasa di sekolah-sekolah untuk  memastikan  semua guru-guru terlatih dan berkelayakan, termasuk  menyelesaikan  persoalan naiktaraf guru-guru sandaran.
 - Mengurangkan karenah birokrasi dan pentadbiran dalam dunia  pendidikan  yang membebankan golongan pendidik, terutamanya  pertukaran-pertukaran  dasar utama yang silih berganti dan mengongkong  golongan pendidik kepada  kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran  yang mengurangkan masa  pengajaran dan pembelajaran.
 
 
Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti
 
 Mengangkat krisis  kredibiliti dan mutu universiti sebagai masalah  utama negara, Pakatan  Rakyat percaya bahawa penyelesaian tidak boleh  dilengahkan dan tumpuan  khusus perlu diberikan kepada usaha-usaha  memartabatkan universiti.
 Pakatan Rakyat komited untuk:
 - Mengembalikan kebebasan intelek dan akademik kepada universiti,   dengan menghapuskan semua campur tangan politik dalam urusan universiti.
 - Mewujudkan Panel Pemilih yang terdiri daripada pakar-pakar untuk   menyenarai pendek dan menilai calon-calon pimpinan universiti supaya   calon yang terbaik diangkat mengepalai universiti, sebagai bukti   komitmen Pakatan Rakyat kepada prinsip meritokrasi akademik di   universiti.
 - Menyertai perjuangan mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan   bimbingan untuk menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan   berpolitik mahasiswa.
 - Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka  akan  menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam  masa  sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara  memperkenalkan  polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran  semula enam  bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.
 - Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.
 - Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan  Persekutuan  untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan  menghentikan  kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi  keuntungan.
 
 
Memerangi Rasuah
   Menginsafi kemusnahan yang telah dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita,
 Pakatan Rakyat komited untuk:    
- Membawa pentadbiran SPRM di bawah pertanggungjawaban Parlimen,   termasuk dalam urusan meluluskan perlantikan jawatan-jawatan tertinggi   SPRM.
 - Melancarkan perang membasmi rasuah di peringkat negeri termasuk   mengemaskini prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk mengurangkan   jurang berlakunya rasuah.
 - Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin parti untuk membela individu   atau pihak yang membongkarkan skandal rasuah tidak mengira fahaman   politik, supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan memikul tanggungjawab   memerangi rasuah.
 - Meneruskan amalan tender terbuka yang telah dilaksanakan, termasuk   dengan memperkenalkan inovasi baru dalam pentadbiran perolehan bagi   mengetatkan lagi prosedur perolehan agar bebas dari anasir rasuah.
 
 
Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi
   Menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi  Persekutuan Malaysia dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat,
 Pakatan Rakyat komited untuk:    
- Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.
 - Menaikkan royalti dari hasil petroleum dan hidrokarbon dari Sabah  dan  Sarawak kepada 20% berbanding kadar 5% yang diamalkan masa kini.
 - Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
 Memberi tumpuan khusus membawa pembangunan infrastruktur di Sabah dan   Sarawak agar setara dengan tahap prasarana yang ada di negeri-negeri   lain di dalam Persekutuan. - Meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah, Sarawak dan   Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang adil dan menepati semangat   Persekutuan.
 
 
PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua   aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan   prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
 Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:
 - Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR,  SPRM,  Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan  kepada  sistem pentadbiran kerajaan.
 - Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
 - Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)   dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk   menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan   menghapuskan tol.
 - Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada   pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana   bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
 - Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula   struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500   sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
 - Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
 - Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
 - Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
 - Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
 - Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah. 
 
 
 1. Demokrasi Telus dan Tulen
 A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
 B – Pemisahan Kuasa
 C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
 
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
 A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
 B – Ekonomi Demokratik dan Telus
 C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
 D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
 E – Tenaga Kerja
 F – Jaringan Perlindungan Sosial
 G- Perumahan
 H- Prasarana dan Kemudahan Awam
 I- Alam Sekitar
 
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
 A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
 B – Agama
 C – Pendidikan
 D – Wanita dan Institusi Keluarga
 E – Golongan Muda
 F – Keselamatan
 G – Kesihatan
 H-  Kebudayaan
 
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
 A – Sistem Persekutuan
 B – Sabah dan Sarawak
 C – Dasar Luar Negara
 
MUAFAKAT RAKYAT
 Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk   membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.
 Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham   perkauman sempit, politik adu domba dan “demokrasi autoritarian”.  Ekonomi  merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan   kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke  belakang  dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.
 Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara   golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara   Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
 Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat   kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit.   Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur   tangan politik dan kepentingan perniagaan.
 Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan.   Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan   semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak   kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan   menginjak hak rakyat.
 Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan   iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke   arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya   yang dilihat sebagai satu kekuatan.
 Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit   kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip   akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat,   kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada   Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin   keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia   menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan   dimartabatkan.
 Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu   dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang   mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus   menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat,   percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan   melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok   miskin dan terpinggir.
 Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan   lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan   pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan   segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan   kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.
 Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta   suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan   prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan   untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan.    Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.
1. Demokrasi Telus dan Tulen 
A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
 Perlembagaan Persekutuan merupakan  penzahiran cita-cita dan harapan  rakyat Malaysia yang merdeka. Di  dalamnya hak asasi setiap rakyat  termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan  dan budaya dijamin sepenuhnya.  Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam  memartabatkan semangat dan peruntukan  Perlembagaan Persekutuan.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi   Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai   di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang   Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan   kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153
 - Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
 - Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara  152  Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca   serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua   kaum.
 - Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan  undang-undang yang  membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan  itu mengesyorkan  pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih  berkuatkuasa.
 - Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
 - Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di  antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.
 
 
B – Pemisahan Kuasa
 Keberkesanan amalan  sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan  pelaksanaan doktrin  pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan  bergantung kepada  kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan  institusi-institusi yang  diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara  cabang eksekutif,  kehakiman dan legislatif.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin  ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.
 - Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya  lebih  telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan  imbang.
 - Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti  Suruhanjaya  Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak  Asasi  Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada   Parlimen.
 - Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis  Negara,  Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan  Ketua  Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
 - Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
 - Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan  kecekapan  serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan  di semua  peringkat secara demokratik.
 - Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan  1984,  menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan  Internet.
 - Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta  menjamin  kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali  dan  menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.
 - Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil.  Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.
 
 
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
 Kewibawaan sistem pilihanraya yang  tempang mesti dipulihkan. Kuasa  keramat rakyat untuk memilih pemimpin  negara mesti dipertahankan  daripada sebarang kecurangan yang membuka  ruang kepada penyelewengan.   Makanya adalah penting untuk kita mengkaji  semua akta yang berkaitan  dengan pilihanraya.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
 - Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan  membersihkan  senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam  negeri,  memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan  menggunakan  dakwat kekal.
 - Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti  politik  secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan  pengendalian  serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.
 - Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan  mencerminkan  prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan  yang lebih adil  dan saksama.
 - Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik   berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.
 - Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan  menghukum  calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan  membeli undi.
 
 
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
 Pakatan Rakyat bertekad menjadikan  ekonomi negara berprestasi tinggi  dan memiliki pertumbuhan mapan.  Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah  negara secara cekap dalam  pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor  utama dan strategik adalah  penting bagi menjamin daya saing negara.
 Merancakkan pelaburan tempatan dan  menjana permintaan domestik yang  kukuh serta menggamit pelaburan asing  langsung yang berterusan bakal  menjadikan ekonomi berdaya maju dan  berdaya tahan.
 Pakatan Rakyat beriltizam untuk  ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi  memastikan kemakmuran dan kekayaan  yang terhasil dikecapi oleh seluruh  lapisan rakyat. Sekaligus  merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin  serta mengatasi ketidak  seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan  tempang yang tidak  mendahului kepentingan rakyat ramai.
 
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
 Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi  adalah tenaga kerja yang  berpengetahuan, berketerampilan dan  berkemahiran. Pakatan Rakyat akan  membuat segala pelaburan yang  diperlukan untuk membekalkan kewujudan  warga kerja berproduktiviti  tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah  dalam kegiatan ekonomi negara.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menjamin peluan pendidikan tinggi dan latihan berteraskan  ketrampilan  dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan  pertanian.
 - Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta   diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti.
 - Menggalakkan warga neraga yang professional dan berkemahiran yang   bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan   suasana kerja yang professional dan menarik.
 
 
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
 Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan  dasar-dasar pengurusan ekonomi  yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa  dan kronisme bagi meningkatkan  kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus  tadbir yang baik.
 Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa  telah melenyapkan kekayaan  dan mengekang pertumbuhan mapan serta  menghakis daya sain negara.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
 - Menolak penswastaan yang membebankan. 
 - Merunding semula  konsistensi dan kontrak yang bersifat  menguntungkan kroni dan tidak adil  kepada rakyat, termasuk yang  melibatkan IPP, tol lebuhraya dan  prasarana air.
 - Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak  sebarang cukai  yang membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan  Cukai  Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara   bersedia.
 
 
C –Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
 Selaras dengan semangat persekutuan untuk  meningkatkan sistem  penyampaian kerajaan,  keberkesanan dan kecekapan  perbelanjaan, maka  pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang  meluas perlu diagihkan  kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan  masing-masing.
 Desentralisasi mampu mendorong perubahan  struktural dalam kerangka  ekonomi bagi  lonjakan kecekapan ekonomi dan  produktiviti menerusi  peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan  selain kesan gandaan yang  meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam  ekonomi negara.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan   faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos,   pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan   turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
 - Mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja  prasarana  kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam  menentukan  reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.
 - Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta   bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan   pemusatan pembangunan di Lembah Klang.
 - Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta  berjangka  panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri  berada  dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan  strategi  sosio-ekonomi.
 
 
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
 Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap  rakyat Malaysia berhak  mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa  mengira latar belakang.  Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan  ekonomi negara, agar khazanah  negara dapat dinikmati dengan adil oleh  semua.
 Pakatan Rakyat akan:
 -  Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
 - Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
 - Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
 - Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.
 - Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
 - Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta  jihad  menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi   kemiskinan
 
 
E- Tenaga Kerja
 Tenaga kerja adalah tunjang kepada  kemakmuran negara yang berterusan.  Pakatan Rakyat akan menjamin semua  pekerja Malaysia dilayan dengan adil  serta memastikan kebajikan dan  kesejahteraan pekerja dipelihara.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
 - Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan  sekerja  mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan  mereka  diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.
 - Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.
 - Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan  Sederhana  dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang  mencukupi  serta mengurangkan karenah birokrasi.
 - Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.
 - Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
 - Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam  sektor  ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan  mereka yang  bekerja sendiri.
 
 
F – Jaringan Perlindungan Sosial
 Setiap rakyat Malaysia harus menikmati  hidup yang bermaruah pada  setiap masa. Rakyat yang hilang mata  pencarian, warga emas, orang kurang  upaya dan golongan berpendapatan  rendah mesti dilindungi dan diberi  peluang untuk turut menikmati faedah  pembangunan ekonomi negara.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan  memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.
 - Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan  sementara rakyat  yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa  kerja dan latihan  semula pekerja.
 - Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan   memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada   masyarakat.
 
 
G – Perumahan
 Rumah merupakan keperluan asas manusia.  Hakikatnya sebahagian besar  rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki  rumah sendiri terutama  mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
 Maka Pakatan Rakyat  akan:
 - Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk  menambahkan  bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu  Keluarga, Satu  Rumah.
 - Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka bandar’sebaiknya  melalui  pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan  melalui  syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan  membeli rumah  mereka.
 - Menyelaraskan sistem perundingan antara ‘setinggan/peneroka bandar’,   pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang  bagi  perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah;
 - Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;
 - Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
 - Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor  kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu  dinikmati.
 - Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar  perumahan  dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan  untuk mereka  yang memerlukannya.
 
 
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
 Penyediaan dan penyenggaraan prasarana  awam yang baik merupakan  tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya  mestilah tidak membebankan  rakyat atau menguntungkan kroni tertentu.  Prasarana dan kemudahan awam  yang baik membolehkan rakyat Malaysia  meningkatkan pendapatan boleh  belanja dan produktiviti mereka.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.
 - Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji  pembelian balik  lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam  jangka masa 7  tahun.
 - Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui  penubuhan  Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak  kerajaan dan  wakil masyarakat.
 - Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas,  orang kurang  upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan  awam.
 - Menyemak semula pemberian permit teksi kepada  syarikat-syarikat  besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan  persatuan mereka.
 - Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.
 
 
I- Alam Sekitar
 Alam sekitar merupakan khazanah negara  yang wajib dipelihara untuk  kelestarian hidup generasi masa depan.  Mendepani krisis perubahan iklim,
 Pakatan Rakyat beriltizam:
 - Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
 - Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
 - Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
 - Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.
 - Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian   antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap   karbon.
 
  
 3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
 
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
 Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai  persefahaman dan perpaduan di  kalangan rakyat berteraskan prinsip  memelihara kepentingan bersama.  Perpaduan negara mesti mencerminkan  kesepakatan, persefahaman serta  muafakat sejati antara kaum, budaya dan  agama. Pakatan Rakyat berjanji  membina semula sebuah masyarakat  berbilang kaum yang padu, di mana  kaum-kaum yang berbeza itu hidup  dalam aman dan harmoni.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.
 - Mengembeling tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk  menyuburkan  sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang  memang telah  begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di  Malaysia.
 - Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.
 - Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat  supaya  berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar  dipegang  oleh sebuah masyarakat yang terbuka
 - Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.
 - Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra  unggul  yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka  terhadap  kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di  Malaysia.  Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini    dengan mengambil  kira  sejarah dan evolusi negara ini.
 - Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan  minoriti  lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain  mempertahankan  hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.
 
 
B – Agama
 Agama dan anutan kepercayaan rakyat  Malaysia seharusnya menjadi asas  kesepakatan berlandaskan nilai murni  yang bersifat sejagat. Rakyat  Malaysia kini hampir tergelincir
 ke dalam kawah yang mendidih didorong  angkara yang menyebabkan  perpecahan dan ketegangan kerana berlainan  agama. Tidak sewajarnya ada  pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia  adalah sebuah negara yang  menganuti sistem demokrasi di mana agama  Islam menduduki tempat istimewa  sebagai agama persekutuan sementara hak  agama-agama lain dijamin.
 Pakatan Rakyat berikrar:
 - Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama  persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.
 - Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.
 - Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi  penyelesaian  yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem  perundangan  sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk  mengkaji  semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.
 - Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul  Mal dan  Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan,  cekap dan  memenuhi matlamat.
 - Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.
 
 
C – Pendidikan
 Pendidikan seharusnya bermatlamat untuk  melahirkan insan yang  seimbang dari segi rohani, jasad dan intelek.  Melalui sistem pendidikan  negara, Pakatan Rakyat bertekad untuk  menyediakan sebuah sistem  pendidikan yang mapan, bermutu dan menjamin  peluang yang saksama kepada  rakyat.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem  pendidikan  negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada   sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil,   sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk   meningkatkan taraf pendidikan negara.
 - Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan dengan  sistem  pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan  matlamat  mencari kebenaran.
 - Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat  tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.
 - Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi  mewujudkan  iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik  dan  autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan  setanding  dengan negara-negara maju.
 - Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan  lain-lain  penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan  dan  kelulusan Majlis Senat.
 - Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;
 - Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat  sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.
 - Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru  dan  pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka  sentiasa  selaras dengan masa.
 - Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.
 - Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan  lain  berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari   kawasan luar bandar dan pedalaman.
 - Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai pelbagai  bahasa   termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai   bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.
 - Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.
 - Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk  memantau dan  mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari  dalam dan  luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh  diterima  termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).
 
 
D – Wanita Dan Institusi Keluarga
 Pakatan Rakyat meyakini bahawa  dasar-dasar yang mencerminkan  penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman  terhadap status dan potensi  wanita dapat menjamin kesejahteraan masa  hadapan negara. Hakikat ini  kerana  wanita mewakili separuh dari  penduduk negara, justeru penyertaan  mereka dalam proses pembangunan  negara tidak boleh diabaikan.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan  yang adil dalam segala bidang.
 - Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga  bagi  Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang  berbanding  46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
 - Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
 - Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan  anak-anak  dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah  serta  memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai   polis.
 - Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti  pusat  jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di  pejabat  kerajaan dan sektor swasta.
 - Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
 - Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
 - Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
 - Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.
 
 
E – Golongan Muda
 Hala tuju dan kemakmuran sesebuah negara  terletak pada bahu golongan  muda sebagai generasi pelapis. Justeru  adalah penting agar golongan muda  diberikan ruang dan sokongan yang  secukupnya agar dapat memenuhi  peranan mereka kelak.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menjamin peluang dan hak sama rata serta adil untuk  golongan muda  dari seluruh lapisan masyarakat bagi merealisasikan  potensi diri.
 - Memastikan supaya tiada seorang belia akan dibiarkan  mengakhiri  pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau  latihan yang  secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran  tinggi negara.
 - Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh  golongan muda  melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan  gerakan-gerakan belia,  khususnya dalam isu berkepentingan ke atas  kehidupan mereka serta hala  tuju negara.
 
 
F – Keselamatan
 Terdapat peningkatan jenayah dan rasa  tidak selamat di negara ini.  Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak  merasa selamat dan bebas dari  ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan  Rakyat bertekad memastikan  pihak polis diurus, dilatih dan  dikawalselia dengan lebih baik untuk  menjadikan mereka lebih fokus  tentang tanggungjawab utama yakni  menentukan setiap kawasan dan rakyat  Malaysia berada dalam keadaan aman  dan selamat.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menjadikan polis bebas dan profesional serta  mengembalikannya  kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan  keselamatan awam
 - Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.
 - Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.
 - Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja  Penambahbaikan  Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC  dan  penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.
 - Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.
 - Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.
 - Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.
 
 
G – Kesihatan
 Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati  perkhidmatan kesihatan awam  yang terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh  yang demikian, perkhidmatan  kesihatan awam sewajarnya diperkasakan  secara tuntas, sekaligus menjamin  perkhidmatan kesihatan terbaik untuk  rakyat.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan   meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding   dengan perkhidmatan sektor swasta.
 - Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.
 - Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.
 - Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan  kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.
 
 
H- Kebudayaan
 Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya  nasional, yang tercerna  daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan  daripada kaum-kaum utama,  suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.
 Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil  bertanggungjawab untuk memupuk dan  mengembangkan potensi kepelbagaian  ini di samping menolak sebarang  bentuk hegemoni adi-budaya kepada  mana-mana sosok budaya yang lain. Ia  tidak lain sejajar dengan semangat  kemerdekaan negara yang kemudiannya  perlu digilap menjadi Muafakat  Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan  Kebangsaan (1971).
 Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:
 - Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
 - Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa   sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab   diri dan sosial mereka.
 - Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar   ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima   unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua   dan faham kepercayaan manapun.
 
 
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
 
A – Sistem Persekutuan
 Hak negeri-negeri untuk membuat pilihan  mengikut kesesuaian sendiri  mengenai strategi pembangunan negeri mesti  dihormati. Teras kepada hak  ini adalah peruntukan kewangan yang  secukupnya kepada negeri-negeri  berdasarkan sumbangan terhadap  persekutuan serta keperluan rakyat.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum  kepada  kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan  rakyat.
 - Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap  negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.
 - Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.
 
 
B – Sabah dan Sarawak
 Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan  dijadikan asas kepada hubungan  adil antara Persekutuan dengan Sabah dan  Sarawak. Di samping memulihkan  imbangan kuasa
 yang memihak kepada kerajaan pusat.at  sebelah, Pakatan Rakyat  berjanji membuat penilaian yang adil dan  terbuka mengenai persoalan  pokok yang kini menghalang kemajuan politik  dan sosioekonomi di  kedua-dua negeri di Malaysia Timur.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Memastikan khazanah negeri Sabah dan  Sarawak dinikmati  sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan  royalti 20% daripada  pendapatan petroleum mereka.
 - Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.
 - Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.
 - Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat  kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.
 
 
C – Dasar Luar Negara
 Kepimpinan Malaysia di kalangan  negara-negara dunia mesti  dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita  untuk merangka satu dasar  luar yang berasaskan prinsip keadilan  sejagat, penyelesaian melalui  perundingan, dialog antara peradaban demi  keselamatan, keamanan dan  kemakmuran.
 Pakatan Rakyat akan:
 - Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang   bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara   prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian,   pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan   nilai-nilai keadilan.
 - Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.
 - Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa  dengan rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.
 - Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.
 
 
Sumber: Anwar Ibrahim Blog
  Muat turun versi asal dalam format .pdf: