Ikuti Blog ini

Bukit Selambau Milik PKR !!!



PKR menang di Bukit Selambau, majoriti lebih kurang sama dengan yang dicapai oleh V Arumugam

Bukit Gantang Milik Pas !!!



Mohd Nizar Jamaluddin (PAS) 21,860
Ismail Saffian (BN-Umno) 19,071
Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 62

Majoriti - 2,789

Terkini di Bukit Gantang



Proses pengundian bermula jam 8 pagi tadi. Keadaan cuaca di Bukit Gantang adalah baik.

1.00 petang: Keadaan trafik di jalan-jalan utama seperti Jalan Changkat Jering dan Jalan Simpang mengalami kesesakan teruk.

Hujan mula lebat. Keadaan ini mungkin mengganggu kelancaran pengundian kerana dijangkakan ramai yang berhasrat untuk keluar mengundi di saat akhir terutamanya sewaktu rehat ketika ini.

12.20 tgh: SPR umum sebanyak 40 peratus telah keluar mengundi.

11.15 pagi: Di Madrasah Al- Khairyah Addiniah, Kampung Larut Tin, Dun Changkat Jering, berlaku kekecohan waktu ketibaan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri antara peyokong BN dan PAS. Polis mengambil tindakan menyuraikan keadaan. Keadaan kembali terkawal.

10.30 pagi: Kenderaan yang dinaiki calon PAS, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin telah dihalang oleh penyokong BN.

Beberapa penyokong BN dilihat menyerbu dan menendang kenderaan tersebut di Pusat Pengundian SK Ayer Puteh.

Tindakan tersebut telah menyebabkan kemarahan terhadap penyokong Pakatan Rakyat. FRU datang dan menenangkan suasana.

10.15 pagi: Di SMK Pengkalan Aor, Air Kuning (Dun Changkat Jering) berlaku kekecohan apabila penyokong BN menghalang petugas PAS berada berhampiran mereka.

Berlaku ketegangan apabila ada kalangan petugas BN yang mencurah air ke atas penyokong PAS. Polis dan FRU menyuraikan keadaan.

Di kawasan tersebut kelihatan ramai penyokong PAS yang menenggelamkan penyokong BN. 10.00 pagi: Hampir 20 peratus telah keluar mengundi di kawasan Bukit Gantang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof

9.00 pagi: Kira-kira 10 peratus keluar mengundi di bahagian Parlimen Bukit Gantang. Calon BN, Ismail Saffian dan isteri mengundi di SK Panglima Bukit Gantang.

7.35 pagi: Calon Pas, Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin serta penyokong berhimpun di Markas PAS, Jalan Air Kuning untuk melawat 34 pusat pengundian.

Terkini di Bukit Selambau


Semua pusat mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun N.25 Bukit Selambau mula dibuka jam 8.00 pagi tadi.

12.20 tgh: SPR umum sebanyak 40 peratus telah keluar membuang undi.

11.35 pagi: Keadaan lalulintas di sekitar pekan Sungai Petani, terutamanya Sungai Lalang dan Bukit Selambau mengalami kesesakan yang teruk.

11.22 pagi: Mafrel melaporkan FRU dikejarkan di SM Aman Jaya berikutan suasana tegang antara penyokong KeADILan dan BN.

Penyokong KeADILan tidak puas hati apabila BN cuba mengubah sebuah khemahnya agar diletakkan berdekatan dengan pusat pengundian. KeADILan hanya ada sebuah khemah di kawasan tersebut.

11.00 pagi: Harakahdaily dimaklumkan kira-kira 40 orang dipercayai pengundi hantu ditangkap dalam sebuah bas yang datang dari arah Perlis menuju ke Kuala Sin semalam.

Mereka ditahan oleh petugas Pakatan Rakyat kira-kira jam 3 pagi.Kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Gurun.

10.25 pagi: Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar berkata sehingga pukul 10 pagi,sebanyak 20 peratus telah keluar mengundi. Beliau berharap bilangan yang keluar mengundi akan mencacah 50 peratus menjelang pukul 1 tengah hari.

9.30 pagi: Harakahdaily dihubungi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman yang bertugas di pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pakan Bukit Selambau melaporkan berlakunya kekliruan apbila SPR membenarkan dua laluan digunakan untuk memasuki pusat mengundi.

Pertamanya laluan utama menuju ke sekolah tersebut dan laluan kedua merupakan sebuah lorong kecil yang terpaksa melalui khemas petugas BN. Menurut beliau setiap kali pengundi yang mahu masuk ke pusat mengundi, mereka ditarik untuk melalui laluan tersebut.

Bantahan telah dikemukakan kepada SPR, namun SPR tetap membiarkannya. Bagaimanapun, petugas Pakatan Rakyat telah menghubungi wakil calon untuk membuat bantahan rasmi kepada SPR.

8.10 pagi: Calon Pakatan Rakyat, S. Manikumar memasuki pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Taman Ria Jaya pada jam 8.10 pagi.

Beliau membuang undi di saluran 6 kira-kira jam 8.25 pagi.

Beliau yang ditemui wartawan sebelum masuk ke pusat mengundi menyatakan keyakinan akan memenangi PRK ini dengan majoriti yang lebih tinggi berbanding pilihan raya umum tahun lalu.

"Saya rasa begitu bersemangat pagi ini walaupun sedikit keletihan kerana berkempen ke sana-kemari. Apapun saya yakin dengan sokongan semua, kemenangan berpihak kepada kita,"katanya.

PRK ini diadakan berikutan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, V. Arumugam.

Petugas BN berlagak samseng,ugut guna parang!



Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Animah Ferrar mendakwa bahawa petugas Barisan Nasional (BN) telah bertindak di luar batas demokrasi apabila menghalang petugas Parti KeADILan Rakyat untuk menurunkan kain pemidang yang bersifat serangan peribadi kepada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media di Yayasan Aman, di sini semalam katanya, kain pemidang tersebut yang tidak mempunyai logo mana-mana parti itu dipasang di Taman Bandar Baru, di sini.

"Baru sempat menanggalkan 'banner' pertama, kami didatangi lebih kurang 15 orang yang sebelum itu berada di hadapan Bilik Gerakan BN dan hampir kesemua mereka memakai baju BN. Mereka memaki-maki kami secara kasar dan melarang kami menanggalkan 'banner' itu.

"Apabila kami katakan 'banner' itu melanggar peraturan pilihan raya, mereka mengatakan 'banner' itu dipasang oleh Umno, bukannya mereka (MIC)," ujar Animah membacakan kenyataannya.

Katanya, kumpulan beliau seterusnya bergerak untuk merayu undi tetapi dihalang oleh petugas BN terbabit secara keras dan ganas serta menegaskan bahawa petugas KeADILan tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut kerana mendakwa kawasan itu milik mereka.

Jelas beliau, kumpulan itu turut mengugut untuk menggunakan parang bagi menghalang petugas KeADILan tersebut.

Bimbangkan keselamatan, beliau bersama rakan-rakannya terus ke Pondok Polis berhampiran untuk membuat laporan. Terang Animah, ketika sedang membuat laporan, kumpulan terbabit dengan jumlah lebih ramai antara 25 hingga 30 orang telah datang ke Pondok Polis berkenaan dan membantah usaha membuat laporan itu.

Dalam suasana semakin tegang dan kecoh serta sukar dikawal polis itu katanya, beliau bersama rakan-rakannya termasuk Ahli Parlimen Padang Serai. N Gobalakrishnan beredar dari situ sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bedong.

"Polis layan saya secara bersopan, tetapi saya rasa seolah-olah saya pula yang dianggap bersalah. Mereka mengambil gambar 'banner' yang berkenaan di 'bonet' kereta saya dan memastikan nombor kereta saya juga termasuk dalam gambar.

"Pihak polis suruh saya pergi semula ke kawasan berkenaan bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mereka sahajalah yang berhak menanggalkan 'banner' kedua itu. Bagi saya ini tidak betul, kerana tanpa logo mana-mana parti, 'banner' tersebut tidak termasuk dalam kategori bahan kempen rasmi pilihan raya.

"Kami merasa amat kesal kerana kerajaan dan agensi-agensi yang diamanahkan untuk memastikan pilihan raya dijalankan secara teratur, adil dan selamat telah gagal berbuat demikian. Kami amat kesal juga kerana parti-parti BN terus menggunakan khidmat samseng sebagai sebahagian daripada jentera pilihan raya mereka.

"Dengan ini, sistem demokrasi di negara ini bukan sahaja gagal dipertingkatkan tetapi sebaliknya semakin terhakis," ujarnya mengakhiri kenyataan.

Penyokong MIC bertindak ganas, 2 petugas KeADILan pula ditangkap....Apa Kes?

Dua ahli Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) ditangkap dalam insiden yang berlaku di hadapan Bilik Gerakan Utama parti berkenaan di Taman Ria Jaya menjelang jam 12 malam tadi iaitu saat akhir kempen Dewan Undangan Negeri N25 Bukit Selambau.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menyembur air untuk menyuraikan persengketaan yang dimulakan oleh penyokong Parti MIC yang berkelakuan liar dengan mengejek jentera Pakatan Rakyat yang sedang berkumpul mendengar ceramah oleh beberapa pemimpin tertinggi parti.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa orang pemuda MIC dikatakan menerkam ke arah pejabat KeADILan kerana tidak puas hati terhadap tindakan balas jentera Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihan raya Pusat, Dr. Mansor Othman berkata, penangkapan itu dibuat dengan alasan mereka menghadiri ceramah tanpa permit dan cuba bertindak kasar terhadap penyokong parti lawan.

"FRU tidak patut bertindak demikian semata-mata untuk menyuraikan keadaan kerana ada cara lain yang lebih baik. Namun apa pun mungkin kejadian tersebut merupakan aset untuk menimbulkan kemarahan rakyat pada Barisan Nasional (BN), " katanya.

Beberapa malam lepas kejadian seumpama itu juga berlaku tetapi dapat di tenangkan.

Selain di Bilik Gerakan Utama KeADILan di situ satu lagi tempat yang sering panas ialah di Taman Bandar Baru.

Buktikan kerjasama,bersatu tolak BN!




Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru pengundi pelbagai kaum bersatu membuat perubahan dan membuktikan kerjasama serta persefahaman dengan menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil ini.

Nasihat beliau, jangan ada syak wasangka dan tidak percaya antara satu sama lain kerana sikap itu akhirnya membolehkan BN tetap kekal memerintah.

Ujar Tuan Guru, PAS telah menang di Bukit Gantang pada pilihan raya lalu bukan sahaja dengan undi orang Melayu tetapi juga hasil sokongan orang India dan Cina.

"Hari ini orang India dan Cina menunjukkan sokongan yang lebih hebat di Bukit Gantang. Jangan pula kita orang Melayu di Bukit Selambau tidak ada semangat nak sokong calon kita ini (S Manikumar).

"Di Bukit Gantang kita nak menang, Bukit Selambau kita biar macam itu sahaja, itu tidak adil. Kita orang Melayu di sini undi calon India kita dan orang India dan Cina di sana undi calon PAS Bukit Gantang.

"Buktikan kerjasama kita, buktikan persefahaman kita, buktikan kita bersatu untuk membuat perubahan dalam pilihan raya," tegas beliau yang disambut laungan takbir lebih 5,000 hadirin pada ceramahnya di Taman Ria Jaya, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hadi menjelaskan mengenai persefahaman yang diadakan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dengan penganut-penganut agama Yahudi, Kristian dan kabilah-kabilah Arab dalam mengukuhkan pemerintahan negara.

Beliau turut membawakan kisah Rasulullah menggunakan khidmat seorang bukan Islam sebagai penunjuk jalan dalam Hijrah Baginda ke Madinah.

Tegas beliau, di atas ajaran itulah PAS mengadakan kerjasama dengan penganut-penganut agama lain dalam membentuk kerajaan.

Oleh itu, beliau menyeru para pengundi di Bukit Selambau memberikan undi kepada S Manikumar sebagai calon Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan kerajaan di Kedah.

Menjawab tuduhan Umno bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah khianat kepada orang Melayu kerana memberi geran tanah Kampung Baru Cina sebelum ini, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebenarnya bersikap adil kepada semua kaum.

Ujarnya, Islam mengajar untuk bersikap adil walaupun kepada musuh apatah lagi kepada rakyat sendiri, oleh itu menjadi tanggung jawab kerajaan untuk berlaku adil kepada semua kaum.

Tegas beliau, Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada orang Melayu. Beliau memberikan contoh mengenai tulisan Jawi yang telah hilang dari orang Melayu sedangkan orang Cina dan India masih memiliki tulisan mereka masing-masing.

Turut berceramah pada malam itu ialah Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said. Hadir sama beberapa tokoh pejuang bahasa antaranya Prof Dr Abdullah Hassan, Ainon Mohd dan lain-lain termasuk calon Pakatan Rakyat Dun Bukit Selambau, S Manikumar

-Harakahdaily,7 april
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .