Pertama  sekali, Edyes bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Hadi  Awang kerana bertindak bijak dengan tidak membenarkan PAS terjerumus ke  dalam tipu muslihat golongan munafik. Keputusan kepimpinan PAS wajar  dipuji kerana ia bukan sekadar keputusan yang terburu-buru malah telah  mengambil kira dari pelbagai sudut penting dalam membuat ketetapan,  terutamanya dari sudut 'bagaimana kerajaan menangani isu murtad?'
Apakah kerajaan benar-benar serius dalam menghadapi gejala murtad?  Apakah langkah kerajaan Malaysia dalam membasmi aktiviti murtad? Adakah  dengan menjadikan negara ini sebuah negara hub-hiburan, memperbanyak  konsert hilang akal, maka kemurtadan itu akan berkurang? Apa yang perlu  dilakukan kerajaan ialah mengkaji semula apakah punca terjadinya murtad,  bukan memberi galakan untuk rakyat berhimpun dengan permit yang pantas  tersedia. 
Kerajaan  menunjukkan sikap tidak acuh dengan perhimpunan yang menampilkan  aktiviti pertembungan antara agama, tetapi bertindak seperti binatang  dalam menghadapi himpunan BERSIH. Sikap double standard kerajaan  cukup menjelikkan. Keadaan huru-hara berkisarkan ketegangan agama  seolah-olah diharapkan berlaku, dan ia boleh menjadi kenyataan apabila  ucapan-ucapan keras terhadap agama lain dihambur di pentas yang  dibiarkan terbuka oleh kerajaan.
Secara  jujur, perhimpunan sejuta umat yang bakal berlangsung 22 Oktober ini  tidak memberi sebarang manfaat kepada agama kerana tiada impak terhadap  punca berlakunya murtad, tetapi hanya menerbitkan risiko terhadap  ketegangan antara agama. Biarpun 10juta yang hadir berhimpun, kerajaan  pemerintah masih mendokong perlembagaan negara yang 'memberi laluan'  kepada aktiviti murtad. Itu hakikatnya.
Dari  sudut lain pula, bukan sahaja perlembagaan yang menjadi persoalan  tetapi langkah kerajaan yang selalu mengabaikan syariat Islam memudahkan  lagi terpesongnya akidah umat Islam. Banyak faktor-faktor yang  menyumbang ke arah berlakunya murtad tidak diambil peduli oleh kerajaan  pemerintah.
Jangan  kita lupa bagaimana Umno yang kononnya memperjuangkan akidah telah  bertindak menyekat peruntukkan sekolah agama rakyat (SAR). Bayangkan  jika anak tidak bersekolah agama dan hanya mengharapkan kelas agama  sekolah kebangsaan yang diperuntukkan hanya setengah jam sehari,  menjadikan anak-anak kita terbatas pengetahuan agamanya.
Kerajaan  yang dipimpin Umno jugalah yang mengusulkan judi baru berbentuk judi  sukan ketika piala dunia edisi 2010. Tidak cukupkah dengan judi  bernombor yang premisnya banyak 'dilawat' oleh orang islam? Tidak  cukupkah segunung pusat perjudian dibenarkan oleh kerajaan tanpa kawalan  dan tidak boleh diperiksa oleh pihak berwajib atas alasan hak  persendirian.
Langkah  memperkenalkan judi sukan bukan sahaja menyebabkan pertambahan aktiviti  perjudian dalam negara malah boleh juga menyumbang ke arah terjadinya  murtad apabila terdapat segelintir orang beragama islam yang terpaksa  menerima bantuan daripada paderi kristian untuk menjelaskan hutang  berjudi, akhirnya akidah terpesong kerana kesempitan ilmu agama dan juga  dipakejkan sekali dengan kesempitan hidup. 
Jangan  juga kita lupa kilang arak dirasmikan juga oleh pemimpin Umno.  Arak  itulah punca kemaksiatan dan kerajaan tidak memantau dengan baik   penjualan arak ke atas umat islam, malah dari parlimen sendiri menyebut   ada ahli parlimen islam daripada Umno yang 'kaki minum'. Dari kalangan  kaki mabuk ini, di manakah nilai Islam yang tinggal? 
Kerajaan  yang dipimpin Umno jugalah yang mengusulkan 'negara Islam' Malaysia  dijadikan negara hub hiburan antarabangsa, dan juga turut menampilkan  konsert-konsert yang menghilangkan akal di samping membawa pengunjungnya  ke lembah maksiat apabila banyak kondom terpakai ditemui ketika  pembersihan tapak konsert. Terdedahnya anak-anak muda secara melampau ke  atas hiburan yang melampau had masanya juga akan turut meruntuhkan  akidah, seolah-olah tiada dosa untuk dihindari dan tiada tuhan untuk  ditakuti.
Lagi  pelik dan ajaib apabila ramai yang tidak sedar bahawa negara ini  sebenarnya bakal memiliki gereja terbesar asia tenggara dan merupakan  antara gereja terbesar di asia. Apakah negara ini sebuah negara majoriti  kristian sehingga memiliki sebegitu besar gerejanya? Tidak salah negara  berbilang agama Malaysia mempunyai gereja, ia adalah suatu tuntutan  untuk kebebasan beragama. Tetapi ia tidak bermakna menjadikan Malaysia  sebuah negara hub terbesar kristianiti dari kalangan negara asia  memandangkan penganut agama kristian sangat minoriti di dalam negara  ini. 

Kerajaan  manakah yang meluluskan gereja antara terbesar di asia ini jika bukan  kerajaan 'negara islam' Malaysia. Sudahnya Umno tuduh pula kerajaan  Selangor yang bina gereja ini, boleh lihat tuduhan tidak berasas dalam  tajuk 
"Pembinaan Gereja Terbesar di Selangor Guna Tanah Rizab Melayu"  . Sebelumnya DAP pernah dituduh menjadi dalang kononnya nak tubuhkan  negara kristian sedangkan ahli DAP yang berugama kristian tidak sampai  20 peratus.
Akhirnya  apabila diselak dan diperhatikan baik-baik, kerajaan pimpinan Umno lah  yang membenarkan gereja terbesar asia tenggara dan antara terbesar asia  sudah terbina di bumi bertuah ini. Gereja tersebut bersebelahan dengan  stadium bukit jalil dan akan siap sepenuhnya menyambut tahun 2012.  Tahniah Umno!
Oleh  demikian, kerajaan manakah yang sebenarnya menjadi pendokong kepada  berleluasanya gejala murtad berlaku dalam negara ini, jika bukan  kerajaan yang menganggap British itu bukan penjajah. Bersekongkol dengan  British dalam menuntut kemerdekaan juga menimbulkan keraguan, apatah  lagi bila British itu sendiri diangkat sebagai 'penasihat' sepertimana  tertera dalam buku teks sejarah tingkatan dua.
Umno  telah menguasai kerajaan selama lebih 50 tahun lamanya. Jika benar  kerajaan pimpinan Umno menitik beratkan perihal agama dan juga soal  akidah, jika benarlah kerajaan pimpinan Umno berjuang untuk menegakkan  syariat Islam, mengapa kadar murtad bertambah dari sehari ke sehari? Di  manakah silapnya dan mengapa ia tidak pernah secara serius diperbaiki? 
Ingat!  Bukan DAP yang memerintah Malaysia selama hari ini, tetapi pimpinan  Umno. Tetapi hasilnya umat islam menuju kehancuran!! Lihatlah agama mana  yang mendahului kes buang anak? lihatlah penganut agama mana yang  menjadi majoriti di pusat serenti? Lihatlah bangsa mana yang  menghabiskan sepertiga malamnya dengan menjadi juara rempit! 
Rentetan  hujah-hujah ringkas di atas sudah cukup untuk menunjukkan betapa  hipokritnya usaha untuk berhimpun dengan alasan menghadapi gejala  murtad, di kala kunci penyelesaian kepada masalah gejala murtad ini  tidak langsung diendahkan. 
Justeru  itu adalah lebih baik kita(PAS dan Pakatan Rakyat) menumpukan perhatian  kepada gerak-kerja untuk menumbangkan kerajaan bongkak yang tidak  pernah mengaku salah dalam PRU yang semakin hampir. Jangan terpedaya  dengan tipu daya walaupun Ketua Pemuda PAS hampir terperangkap,  syukurlah diselamatkan. Edyes percaya menumbangkan Barisan Nasional yang  dipimpin Umno adalah satu jalan terbaik bagi menyelesaikan gejala  murtad.
Walaubagaimanapun,  Edyes secara peribadi akan bersetuju dan akan turut berhimpun jika  tujuan perhimpunan ini adalah untuk mendesak isteri Perdana Menteri  mengenakan tudung dalam setiap majlis rasmi yang dikunjungi... 
EDYES @ edyesdotcom