KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menandatangani plak Tuntutan Royalti Petroleum.
Baginda berkenan melawat booth Royalti sebuah Gabungan Profesional 
Kelantan Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan, 
bersempena Ekspo Pertanian Kelantan 2012 di pekarangan Stadium Sultan 
Mohamad IV, semalam.
Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik 
Abdul Aziz Nik Mat yang juga menurunkan tandatangan sokongan, lapor 
laman web Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan 
http://royaltikelantan.com
Setiausaha Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (Gegar) 
Muhammad Hishamuddin Ghazali berkata sokongan Sultan Kelantan merupakan 
satu anjakan terbesar terhadap kempen tuntutan rakyat yang berterusan.
Ini juga menunjukkan bahawa perjuangan tersebut perlu disokong semua rakyat Kelantan.
Beliau mengulas tindakan Sultan Muhammad V yang menurunkan 
tandatangan pada plak semasa kempen tersebut diadakan di Ekspo Pertanian
 Kelantan 2012 yang berlangsung selama lima hari dari 5 Jun hingga 10 
Jun 2012.

“Tindakan sokongan baginda yang merupakan ekspresi rakyat Kelantan atas dasar baginda Sultan sebagai pemimpin rakyat Kelantan.
Perjuangan Gegar tidak mengira sentimen politik kerana kami menuntut hak rakyat Kelantan yang dinafikan,” Hisahmuddin mengulas.
Gegar meneruskan kempen tandatangani kain rentang selepas beberapa siri diadakan berjaya mengumpul lebih 50,000 tandatangan.
Gegar akan terus bergerak untuk menyemarakkan lagi kempen sehingga tuntutan rakyat ini berjaya.
Kerajaan Negeri Kelantan membuat tuntutan royalti berdasarkan 
perjanjian di bawah Akta 144 Petroleum Development Act 1974 yang 
ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa cari gali petroleum itu telah 
beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti lebih RM1 bilion itu dikira 
bermula dari 2004 hingga kini. -
Hrkh