ANALISIS,  7 Mac — Seperti yang dijangka Barisan  Nasional (BN) berjaya  mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Merlimau, Melaka dan  Kerdau, Pahang dengan majoriti yang lebih besar  berbanding 2008.
  Kemenangan  mengekalkan status quo ini sudah  pasti akan memberangsangkan dan  memberi keyakinan kepada pemimpin dan  penyokong BN setelah sekiran lama  diselubungi kesuraman sokongan rakyat  Malaysia terhadap parti  perikatan itu sejak dilanda “tsunami politik”  pada 8 Mac 2008.     
 Malah,  kemenangan BN ini berjaya  memperbaharui rekod pertarungan antara BN  dengan Pakatan Rakyat kepada  8-8, dalam 16 pilihan raya kecil yang  diadakan sejak pilihan raya umum  ke-12.
  
Dengan  kekalahan PAS di dua kawasan sebelum  ini iaitu di Galas, Kelantan dan  Tenang, Johor memberikan lebih  keyakinan kepada BN untuk menghadapi  pilihan raya umum ke-13 yang mana  sokongan pengundi Melayu dilihat  sudah kembali kepada BN.
  Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad meraih 5,962 undi manakala calon PAS Yuhaizat Abdullah pula memperoleh 2,319 undi.
  Dalam pada itu,  di Kerdau calon BN Syed  Ibrahim Syed Ahmad memperoleh 5,060 undi  manakala calon PAS Hassanuddin  Salim mendapat 2,336 undi.
  Majoriti kedua-dua kawasan ini meningkat lebih satu kali ganda berbanding pilihan raya umum 2008.
  Seandainya  diimbas kembali, sentimen rakyat  jelas menyebelahi Pakatan Rakyat untuk  satu jangka yang agak panjang  selepas pilihan raya umum ke-12. Situasi  ini dapat diperlihatkan apabila  Pakatan Rakyat memenangi dua pilihan  raya kecil selepas pilihan raya  umum ke-12 iaitu Permatang Pauh dengan  majoriti yang lebih besar, dan  Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi  dari BN.
  BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada April 2009.
  Namun,  kemenangan ini sedikitpun tidak  menceriakan BN, khususnya Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Razak  memandangkan ia berlangsung bersama  pilihan raya kecil Bukit Gantang,  Perak dan Bukit Selambau, Kedah dan  kawasan-kawasan itu kekal dalam  genggaman Pakatan Rakyat.
  Kekalahan demi  kekalahan ini mungkin antara  faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak  menurunkan calon dalam  pilihan raya kecil Penanti, yang berlangsung  pada 31 Mei 2009.
 Bagaimanapun,  kekalahan tetap menghantui BN apabila  tewas sekali lagi di pilihan raya  kecil Permatang Pasir, kira-kira tiga  bulan selepas itu.
  Bagaimanapun  pada pilihan raya kecil DUN  Manek Urai BN hampir mengecapi kemenangan  apabila berjaya menghakis undi  PAS dari 1,352 hingga 65 undi tetapi  masih gagal untuk menembusi kubu  kuat PAS itu. 
 BN hanya berjaya  mencapai kemenangan pertama  melalui Tan Sri Mohd Isa Samad apabila  berjaya mempertahankan kerusi DUN  Bagan Pinang dengan majoriti lebih  besar.
  Sejak itu, BN dilihat kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah kembali ke pangkuan Umno.
 Dakwaan itu  diperkukuhkan lagi apabila BN berjaya  merampas kerusi Parlimen Hulu  Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR),  namun kegembiraan itu tidak  panjang apabila DAP mencipta kejutan dengan  merobohkan kubu kuat BN di  Sibu, Sarawak.
  Bagaimanapun  kemenangan BN di Galas dan Batu  Sapi, Sabah memberikan satu lagi  keyakinan kepada kepimpinan BN, malah  kemenangan di Tenang juga menjadi  pemangkin yang menyaksikan BN menang  dengan majoriti besar.
  Melihat kepada  siri pilihan raya kecil dan  ditambah pula dengan kemenangan BN di  Merlimau dan Kerdau mungkin  memberikan satu isyarat kepada Pakatan  Rakyat bahawa pengundi khususnya  pengundi Melayu sudah kembali kepada  pangkuan BN.
  Walaupun ramai  yang menjangkakan BN akan  menang namun agak mengejutkan apabila BN  menang dengan majoriti lebih  besar di kawasan yang majoritinya adalah  orang Melayu.
  Menurut  penganalisis politik Prof Madya Dr  Sivamurugan Pandian, kemenangan BN  di dua kawasan pilihan raya kecil ini  menunjukkan pengundi sudah  kembali ke pangkuan BN.
  “Keputusan ini  memang sudah dijangka,  persoalannya hanya berapa banyak majoriti tapi  kalau kita lihat BN  berjaya meningkatkan majoriti yang besar di  Merlimau dan Kerdau.
  “Keputusan ini  menunjukkan apa yang  dilakukan BN masih diterima dengan baik oleh  penyokong parti dan  pengundi juga sudah kembali kepada BN,” katanya  kepada The Malaysian Insider.
  Beliau berkata  mungkin kemenangan BN di  Merlimau dan Kerdau disebabkan ketiadaan isu  tempatan yang boleh  mempengaruhi minda pengundi supaya tidak mengundi  parti perikatan itu.
  “Mungkin boleh dikatakan dengan ketiadaan isu tempatan yang besar di kedua-dua kawasan ini menjadi faktor kemenangan BN.
  “Malah  kegagalan PAS sejak di Bagan Pinang,  Galas dan Tenang memberi kesan  terhadap sokongan pengundi terhadap PAS  dan kalau kita lihat PAS mula  menghadapi kemerosotan sokongan undi  Melayu.
  Justeru kata  pensyarah kanan Universiti  Sains Malaysia itu, PAS perlu mengkaji  semula strategi dan pendekatan  yang digunakan terutamanya dalam  menghadapi kehakisan sokongan pengundi  Melayu terhadap parti Islam itu.
  “PAS harus kaji  semula strategi yang  digunakan, mungkin mereka (PAS) anggap kekalahan  ini sudah dijangka tapi  kalau kita lihat DAP lebih memainkan peranan  daripada PAS dan ia  memberi kesan apabila PAS tidak mendapat sokongan  pengundi Melayu.
  “Bagi saya ini  merupakan salah satu sebab  kerana kalau kita lihat DAP yang gerakkan  PAS untuk pastikan PAS  mendapat sokongan pengundi bukan Melayu tapi PAS  gagal untuk dapatkan  sokongan pengundi Melayu.
  “Kekalahan ini  boleh menyebabkan sokongan  orang Melayu terhadap PAS terhakis dan jika  ia dibawa ke peringkat  nasional kita akan dapat tahu nilai sokongan  Melayu kepada PAS,”  katanya.
  Sivamurugan  berkata perubahan yang ingin  dibawa PAS dilihat gagal mendapat  keyakinan daripada pengundi yang  dilihat selesa dengan apa yang  diberikan BN.
  Tiada isu yang  boleh sebabkan pengundi tidak  undi BN, perubahan yang dibawa PAS ini  tidak kena dengan selesa  pengundi di kedua-dua kawasan ini.
  “Kalau PAS  tidak lihat kehakisan sokongan  Melayu ini ia akan memberi kesan dalam  pilihan raya umum ke-13. Jadi PAS  perlu kembali dan lihat kepada  matlamat asal parti,” katanya.
  Bagaimanapun  Profesor Madya Mohammad Agus  Yussoff dari Universiti Kebangsaan  Malaysia berkata, kemenangan BN di  Merlimau dan Kerdau tidak  menunjukkan pengundi-pengundi sudah kembali  kepada BN.
  Sebaliknya Agus  berkata, faktor kemenangan  BN di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil  itu adalah disebabkan jentera  BN yang luar biasa.
  “Saya lihat  tidak banyak yang berubah  walaupun BN menang dengan majoriti yang agar  besar tapi kemenangan itu  tidak membolehkan kita untuk membaca sikap  pengundi.
  “Kemenangan BN  disebabkan jentera BN yang  luar biasa, ia merupakan satu kejayaan dan  kerja kuat BN tapi dari segi  bacaan sikap pengundi untuk gambarkan  pilihan raya umum masih belum  boleh... tapi kemenangan ini menunjukkan  rakyat sudah selesa dengan  politik BN,” katanya.
  Jelas beliau,  sekiranya BN memberikan  tumpuan kepada rakyat selain melaksanakan  janji-janji ia boleh membawa  perubahan terutamanya dari aspek pola  pengundian dalam menghadapi  pilihan raya umum ke-13.
  “Kalau BN fokus kepada rakyat, maka akan berlaku perubahan dalam konteks nasional.
  “PAS tidak  gagal tapi jentera PAS yang gagal  berfungsi seperti mana jentera BN,  strategi jentera BN memberi  kelebihan kepada BN dan faktor ini yang  memenangkan BN,” katanya.
  Sementara itu,  Profesor Madya Dr Samsul  Adabi Mamat berkata kemenangan BN menunjukkan  peningkatan kepercayaan  pengundi terhadap BN.
  “Kemenangan BN  di kedua-dua pilihan raya  kecil ini mencatatkan majoriti yang berganda  dan peningkatan majoriti  ini menunjukkan pemulihan kepercayaan rakyat  kepada BN.
  “Ini adalah  satu yang nyata dan jelas  kesinambungan kemenangan BN dalam beberapa  pilihan raya kecil sebelum  ini, kalau kita lihat BN berjaya pulihkan  kepercayaan rakyat,” katanya.
  Jelas beliau, pengundi sudah kembali kepada BN kerana percaya hanya parti perikatan itu yang boleh menjamin masa depan mereka.
  “Pengundi  memilih BN sebagai parti yang  boleh memberi keyakinan kepada rakyat dan  peningkatan itu menunjukkan  bahawa di samping BN mengekalkan  kemenangan BN juga berjaya  mempertahankan kubu kuat mereka.
  “Kalau kita  lihat di kedua-dua kawasan ini,  PAS memperlihatkan kempen yang luar  biasa . . . kempen yang kuat tapi  mereka tetap gagal, ini adalah satu  bukti kekuatan yang ada pada BN,”  katanya.
  Melihat kepada perubahan yang  berlaku ini,  adakah PAS masih mampu untuk mendapatkan sokongan dan  kepercayaan orang  Melayu menjelang pilihan raya umum ke-13.
 Oleh Syed Mu’az Syed Putra - Malaysian Insider