Ikuti Blog ini

"Jangan terima kasih Kerajaan Negeri, ini duit rakyat"

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Sewaktu para pemimpin BN berkempen di Kerdau dan Merlimau mengajak para pengundi supaya jangan lupa akan jasa BN dan jangan menggigit tangan pihak yang memberi, tiba-tiba Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan yang berbeza.

Ketika berucap di majlis perjumpaan dengan anak-anak Kedah yang belajar di Mesir, beliau meminta para pelajar dan ibu bapa supaya jangan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah membelanjakan RM2.5 juta untuk membantu para pelajar tersebut kembali ke Mesir menyambung pelajaran.

"Jangan terima kasih kepada Kerajaan Negeri. Ini duit rakyat. Duit cukai. Keuntungan balak. Keuntungan pelaburan di Kulim Hitech untuk kamu semua belajar. Belajar bersungguh-sungguh. Jangan hampakan harapan ibu bapa.


"Rakyat bersama kita menangani sebarang isu. Rakyat bangga anak-anak Kedah berjaya masuk pengajian tinggi, belajarlah dengan sungguh-sungguh," katanya.

Kata-kata itu ikhlas, bukan menyindir. Ada benarnya kata-kata itu. Lalu kata-kata keramat "Jangan terima kasih Kerajaan Negeri" itu tersebar dengan pantas ke laman-laman sosial medan maya. Ia menjadi hujah untuk meranapkan keegoan BN yang tidak habis-habis mendabik dada seolah-olah segala pemberian dari kerajaan itu adalah harta meredak warisan datuk nenek mereka.

Mengikut fakta Bajet 2011 yang dibentangkan di Parlimen, jangkaan pendapatan 2011 adalah sebanyak RM211,987 million. Sebahagian besarnya adalah bersumberkan cukai dan duti: Cukai pendapatan 37.6%, cukai tidak langsung 12.8%, hasil bukan cukai 25.8%, pinjaman dan penggunaan aset kerajaan 21.8% dan selebihnya ialah pelbagai duti impot dan eksport.

Persoalan duit kerajaan adalah duit rakyat adalah perkara yang sangat asas dalam pentadbiran kerajaan dalam semua sistem kerajaan yang wujud di atas muka bumi ini.
Tiada sebuah kerajaan pun yang pemimpinnya bertungkus lumus berniaga untuk mencari sumber kewangan bagi memberi kebajikan kepada rakyatnya. Dalam Islam sendiri terdapat system zakat, jizyah dan kharaj; di mana semua itu adalah untuk mengumpul sumber dana dari rakyat yang akhirnya perlu dipulangkan untuk kesaejahteraan rakyat. Pemimpin kerajaan dan kakitangannya hanyalah mengurus kewangan tersebut, dan gaji sara hidup mereka sendiri adalah diambil dari wang tersebut.

Sebuah kisah yang masyhur sewaktu Saidina Umar menjadi khalifah di mana beliau memadamkan pelita di waktu malam ketika berurusan dengan ahli keluarganya, hanya kerana tidak mahu menggunakan harta kerajaan untuk urusan keluarga, menjadi iktibar untuk semua pemimpin kerajaan bahawa harta kerajaan adalah harta rakyat, bukannya harta pemimpin negara.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dalam tulisannya menyebut; seringkali kali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut 'kerajaan bermurah hati membantu'.

Tulisnya lagi, rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka.

Salah satu faktor yang menyukarkan usaha pembangkang untuk menghakis sokongan sebahagian besar orang Melayu terhadap BN ialah kerana faktor termakan budi. 'Malu alah' dan ‘lemah lembut’ masih menjadi ciri yang bersebati dalam diri orang Melayu. Dengan kepungan kejahilan sifat maka sifat malu, kalah, lemah dan lembut menyebabkan orang Melayu umumnya terus berterima kasih kepada pemimpin kerajaan, sekalipun duit yang dihulurkan kerajaan itu adalah diambil dari poketnya sendiri.

Kira-kira watak orang Melayu dalam kalangan tersebut macam Pak Pandir yang kematian anak. Dengan sedih dia memberitahu Mak Andeh, “Bukan kita saja kehilangan anak, orang lain pun mati anak juga.” Walhal budak yang mati itu anaknya sendiri.

Orang Melayu yang sangat terhutang budi dengan kerajaan BN itu tidak putus-putus meratib, "Terima kasihlah BN yang bermurah hati bagi duit dekat kami rakyat jelata yang tak punya apa-apa ni ..." Walhal itulah duit yang diambil dari rakyat di merata kedai, warung, jalan dan pejabat melalui cukai yang dikutip secara sedar atau tidak. Tapi dia tak sedar bahawa duit itu adalah duitnya sendiri kerana dia pun sama bengap macam Pak Pandir juga.

"Walaupun itu duit rakyat tapi kita kena terima kasih juga pada kerajaan kerana merekalah yang telah menguruskan wang tersebut dengan baik sehingga kita dapat merasainya." Itu hujah penyokong BN di laman sosial setelah kalah dengan pendedahan bahawa duit kerajaan adalah cukai terkumpul dari rakyat.

Sebenarnya para pemimpin kerajaan tidak perlu diucapkan terima kasih kerana mereka tidak buat semua kerja untuk mensejahterakan rakyat (kononnya) secara percuma. Semuanya berbayar. Perdana Menteri dan para menteri, semuanya mendapat gaji dan elaun yang tinggi serta kemudahan yang banyak. Mereka yang patut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang membayar gaji mereka.

Bagi pemimpin kerajaan BN pula, rakyat mempunyai sebab yang lebih kuat untuk tidak perlu berterima kasih kepada mereka. Pemimpin kerajaan BN telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk membina kekayaan secara luar tabie, merompak harta rakyat, menyalahgunakan wang rakyat dan jentera kerajaan milik rakyat untuk kempen politik mereka.

Kitarannya ialah, dengan kuasa yang ada mereka bina kekayaan, dengan kekayaan yang ada mereka gunakan untuk terus berkuasa. Apa yang dihulurkan kepada rakyat hanyalah gula-gula bagi menutup mulut rakyat dari mempersoalkan tindakan mereka. Hulur sedikit, ambil banyak. Macam perangai Belanda.

Kenyataan Ustaz Azizan bahawa rakyat tidak perlu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri wajar dieksploit seluasnya bagi melenyapkan keegoan BN, di samping mencerdikkan sebahagian orang Melayu yang masih menyokong BN. Musuh utama pemimpin BN ialah kecerdikan rakyat.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .