Ikuti Blog ini

Hei Najib, UMNO Tak Hendak, PAS Lagi Tak Ingin!

Najib: Umno tidak perlukan PAS

Datuk Seri Najib Razak berkata Umno mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.

Perdana Menteri dan Presdien Umno itu berkata PAS harus menghormati Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang merupakan satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.

Beliau berkata tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan Umno dalam hal tersebut.

“Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan lagi sebab Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telahpun membuat kenyataan. Saya rasa cukuplah dengan kenyataan tersebut.

“Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan komitmen serta kesediaan Umno untuk bertemu dan menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara Umno dan PAS dapati dicapai.

Mengulas lanjut, Najib berkata sama ada kerjasama antara Umno dan PAS itu menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya. — Bernama


Muhyiddin: Umno sedia temu PAS jalin kerjasama

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

“Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata terpulang kepada kepimpinan Pas sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Semalam akhbar memetik anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan Umno bersatu.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan Pas terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.

“Masyarakat bukan Islam jangan rasa tergugat kalau ada usaha sebegitu kerana selama ini pun dengan kekuatan perpaduan Islam, maka negera lebih terjamin selamat dan tiada masalah,” katanya.

Muhyiddin juga berkata kerajaan tidak ada halangan untuk membenarkan siapa-siapa saja menubuhkan pertubuhan asalkan ianya untuk kepentingan rakyat dan negara serta tidak mempunyai muslihat tersendiri.

“Sesiapa sahaja boleh tubuhkan... nak kata Chinese Perkasa ke, Malay ke, Indian Perkasa,” katanya mengulas cadangan Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim baru-baru ini yang mencadangkan agar sebuah Perkasa Cina ditubuhkan. – Bernama

Muhyiddin kata UMNO bersedia temui PAS. Najib pula kata UMNO tak perlukan PAS, UMNO ada kekuatan sendiri, tambahnya.

Masing-masing bertelagah nak pikat PAS atau pun tidak.

Najib adalah benar bila beliau menyatakan UMNO ada "kekuatan sendiri" - kekuatan apa? Ya, kekuatan menipu, kekuatan berbohong, kekuatan memfitnah, kekuatan menabur janji, kekuatan mengeksploitasi agensi-agensi kerajaan, kekuatan memperkudakan SPR, SPRM, PDRM dan lain-lain.

Hei Najib, pinggan tak retak nasi tak dingin. UMNO tak hendak, PAS lagi tak ingin!

PAS juga ada kekuatan, kekuatan PAS terletak kepada kesetiaan ahlinya terhadap prinsip perjuangan, kepada keimanan terhadap Allah dan RasulNya dan kepada doa yang bakal menghantar UMNO BN ke lembah kehancuran! -GB

Umno demam: Lepas tuduh PAS sesat, pelawa pulak

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS sedia menyediakan pakar sakit jiwa kepada Umno dan Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ekoran masih membangkitkan isu kerjasama PAS-Umno biarpun PAS secara jelas menolak pelawaan Umno itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Umno juga seperti terkena demam panas yang kuat sehingga mengganggu fungsi otak mereka.

"Kita dah kata dah tak nak, duk bercakap lagi. Orang yang duk bercakap sorang-sorang ni ada problem la. Kita sedia sediakan khidmat pakar psikiatri untuk Umno dan Muhyiddin," katanya sinis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Umno secara jelas membuktikan mereka dalam keadaan kritikal dan sangat lemah sehingga terpaksa mempelawa PAS.

"Setelah tuduh PAS sesat, kemudian nak pelawa kerjasama pulak.

"Sekarang Umno melihat hanya PAS yang boleh jadi talian hayat kepada mereka tapi PAS sudah jelas, tidak mahu menanggung biawak hidup," katanya.

Umno, jelasnya sedang mengalami krisis sokongan Melayu terhadap mereka lebih-lebih lagi dengan penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) yang dilihat telah merubah pemikiran Melayu Umno sehingga berani menentang Umno sendiri.

"Perkasa telah merubah mentaliti orang Melayu sehingga mereka berani mempersoal Umno yang dulu dianggap ‘tangan yang menyuap mereka’," katanya lagi.

Sementara itu beliau juga berkata, orang Melayu sebenarnya akan lebih maju tanpa Umno kerana selama ini yang merosakkan Melayu adalah Umno.

PAS juga, jelasnya akan mengambil peranan menjaga kepentingan Melayu dan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan tanpa mengabaikan hak warganegara lain.

Ianya juga antara resolusi semua parti dalam Pakatan Rakyat yang dicapai pada konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.

Muhyiddin kelmarin sekali lagi mengulangi kesediaan Umno untuk bekerjasama dengan PAS dengan alasan mahu menjaga kepentingan Melayu. -Hrkh

URUS SENDIRI LEBIH UNTUNG BUAT PENEROKA

Mazlan dakwa Felda menggunakan Akta GSA untuk mengugut peneroka. - - Gambar oleh Jack Ooi
ROMPIN, 14 Julai — Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa Felda menggunakan Akta Kawasan Tanah Berkelompok 1960 (GSA) untuk “mengugut” peneroka supaya dapat terus mendominasi hak pengurusan perladangan tersebut.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, langkah Felda menggunakan akta tersebut sebenarnya bertujuan mengongkong peneroka daripada mengusahakan ladang mereka sendiri.

“Sepatutnya apabila peneroka sudah mendapat hak milik tanah, mereka boleh buat apa sahaja tetapi Felda menggunakan Akta GSA untuk ugut peneroka supaya serahkan hak pengurusan ladang kepada Felda.

“Ini kerana Felda mempunyai tafsiran bahawa selagi mana peneroka diikat di bawah Akta GSA maka peneroka adalah tanggungjawab Felda. Ini yang Felda pegang tapi bagi peneroka bila dapat hak milik ia satu pengiktirafan bahawa kebun itu mereka yang punyai.

“Situasi ini menyebabkan dua tafsiran berbeza yang menjadi satu isu besar kerana tindakan Felda menggunakan Akta GSA untuk ugut peneroka,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas beliau menyampaikan Ceramah Kesedaran Untuk Generasi Kedua Felda di Felda Keratong 3 di sini malam tadi.

Beliau berkata, apabila GSA digunakan terhadap peneroka ia akan menyebabkan banyak masalah akan timbul.

“Jika dalam berpolitik rakyat akan takut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dalam Felda peneroka takut akan GSA ini.

“Justeru, Felda menggunakan akta ini untuk memanipulasi dan menakut-nakutkan peneroka demi untuk membolot hasil dan kekayaan peneroka.

“Sebab itu kita adakan ceramah untuk bagi kesedaran dan keinsafan kepada peneroka supaya mereka berani untuk berubah dan memperjuangkan hak kita sebagai pemilik tanah yang sah kerana Felda sebenarnya tidak mempunyai satu inci hak terhadap 10 ekar tanah tersebut,” katanya.

Difahamkan anak syarikat Felda, Techno Plant Sdn Bhd diberi kuasa untuk menguruskan ladang-ladang peneroka.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila peneroka diberikan hak pemilikan tanah selepas hutang dengan Felda diselesaikan.

“Bila peneroka masuk Felda mereka diikat dengan perjanjian yang dipanggil Perjanjian Antara Peneroka dan Felda, jadi peneroka ambil kira perjanjian ini di mana selepas habis semua hutang tanah akan menjadi milik mereka.

“Jadi apabila peneroka sudah mendapat hak milik mereka berada dalam dilema sama ada untuk serahkan semula ladang mereka kepada Felda untuk diuruskan atau uruskan sendiri.

“Apabila berlaku konflik dalam diri peneroka ketika itu Felda akan memainkan peranan dengan mendesak peneroka supaya serahkan ladang mereka kepada Felda yang akan diuruskan Techno Plant Sdn Bhd,” katanya.

Mazlan yang merupakan anggota jawatankuasa kerja PAS Pusat berkata, hanya terdapat segelintir sahaja peneroka yang mengusahakan ladang mereka sendiri iaitu seramai 25,000 orang daripada 112,635 peneroka.

Mazlan memberikan penjelasan kepada penduduk Felda Keratong 3 ketika sesi dialog petang semalam. - Gambar oleh Jack Ooi
“Jadi bila dalam masyarakat Felda timbul dua kumpulan dan kumpulan yang buat sendiri ini adalah minoriti. Ia secara tidak langsung menimbulkan pertembungan dan persengketaan antara Felda dan peneroka.

“Sebab itu kita perjuangkan supaya kerajaan bebaskan mana-mana peneroka yang nak buat sendiri dan ini adalah tawaran Pakatan Rakyat, sebab itu bila kita memerintah kita akan beri peluang kepada mana-mana peneroka untuk tentukan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata tindakan Felda yang tidak mendedahkan hasil sebenar perolehan peneroka menyebabkan mereka bimbang mengenai keuntungan yang diperoleh.

“Peneroka takut apabila tidak didedahkan kunci kira-kira, mereka takut hutang yang ditanggung semakin banyak. Sebagai contoh hasil sudah keluar tetapi peneroka tidak tahu berapa jumlah sebenar hasil jadi kalau Felda nak memperdaya bila-bila masa pun boleh kerana tiada kunci kira-kira.

“Selain itu, jika peneroka serahkan kepada Felda untuk uruskan ladang pemotongan terlalu banyak iaitu sebanyak 40 peratus daripada pendapatan asal mereka, jadi kalau RM1,000 Felda awal-awal sudah potong RM400.

“Jadi jika peneroka uruskan sendiri, mereka hanya perlu bayar beberapa kos seperti kos upah kerja, lori dan lain-lain, malah mereka akan dapat pendapatan yang lebih besar berbanding serahkan kepada Felda,” katanya di hadapan kira-kira 100 orang warga peneroka.

Tambahnya, dakwaan Felda muflis ada asasnya dan akan berlaku sekiranya diskriminasi dan penyelewengan tidak di atasi sehingga menyebabkan rizab Felda merosot.

“Jadi satu perancangan perlu dibuat supaya masalah penyelewengan dan diskriminasi yang berlaku dalam Felda di atasi,” katanya.

Wacana Perdana - Bolehkah Melayu Bersatu?










Bolehkah Melayu bersatu? Boleh.....kalau persatuan itu atas nama ISLAM, bulannya politik.

SPR Sedang melakukan Persempadanan Semula Untuk Kepentingan BN

Persempadanan semula: Strategi Umno-BN untuk menang

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mendedahkan kerajaan memasukan pengundi Barisan Nasional (BN) ke kawasan sasaran mereka melalui usaha persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan tidak lama lagi.

"Jumlah pengundi yang dimasukkan ke kawasan sasaran bergantung kepada sesuatu kawasan terbabit di mana BN kalah tipis sekitar seribu atau dua ribu di kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Sementara pengundi Cina yang tidak menyokong mereka akan di keluarkan dari kawasan itu," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan melaksanakan projek persempadanan semula awal tahun depan. BN mensasarkan mendapat antara 160,000 hingga 500,000 orang pengundi baru untuk PRU akan datang.

"Kerajaan juga memberi taraf pemastautin tetap kepada rakyat asing supaya mengundi mereka. Sebanyak 90 peratus warga Indonesia yang bekerja dalam sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan diberi taraf itu," terang beliau.

Beliau berkata, “pengundi baru ini akan didaftarkan di kawasan dewan undangan negeri dan parlimen yang BN kalah tipis dalam PRU lalu. PAS sedang memantau perkara ini dan kita ada cara untuk menanganinya."

Katanya, mengikut perlembagaan SPR, suruhanjaya itu boleh menjalankan kajian persempadanan semula setiap lapan tahun. SPR akan membentangkan kajian ini kepada kerajaan pada Mac tahun depan sebelum dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

“Saya yakin kerajaan menggunakan kajian persempadanan semula ini untuk memasukkan pengundi baru itu," ujar beliau.

Abdul Halim berkata, "BN mahu merampas kembali majoriti dua pertiga kerusi parlimen dalam PRU akan datang. PAS merasakan PRU akan diadakan hanya apabila BN rasa boleh menang dengan majoriti dua pertiga. -FMT

Inkues Teoh: Pornthip beri keterangan - 18 Ogos

Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand akan ke Kuala Lumpur bagi menyambung memberi keterangannya pada inkues bagi menentukan kematian pegawai khas, exco DAP - Teoh Beng Hock pada 18 Ogos ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas Azmil juga menetapkan 23 Julai sebagai tarikh penyambungan semula inkues dengan memanggil empat saksi termasuk ahli mahlis Kajang, Tan Boon Wah dan pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal.

Koroner juga akan membuat keputusan berhubung tindakan ketua perundangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abdul Razak Musa untuk memanggil enam saksi.

Mereka adalah dua kontraktor yang diarahkan ke SPRM, pada malam yang sama Teoh dipanggil untuk memberi keterangan, iaitu pada 16 Julai tahun lalu.

Empat lagi adalah mereka yang nama tersenarai dalam invois yang terdapat di komputer riba Teoh.

Menurut Abdul Razak, keempat-empat saksi berkenaan penting untuk memberikan gambaran sebenar keadaan minda Teoh.

Gobind membantah permohonan itu dan berkata saksi berkenaan tidak relevan.

Bagaimanapun, Azmil mengarahkan Ahmad Nazri untuk mengambil keterangan daripada empat saksi berkenaan sebelum memutuskan sama ada mereka akan dipanggil ataupun tidak.

Katanya, beliau akan juga meneliti keterangan yang diberikan oleh dua kontraktor itu sebelum memutuskan sama ada mereka akan dipanggil.

Peguam Gobind Singh Deo yang bertindak bagi keluarga Teoh kemudiannya memaklumkan bagi pihak peguam kerajaan negeri Selangor - Malik Imtiaz Sarwar bahawa mereka menerima surat daripada Pornthip semalam menyatakan kesediaannya ke Malaysia untuk memberi keterangan.

"Dia sudah dapat lampu hijau dari Kementerian Keadilan dan bersetuju datang untuk beri keterangan,” kata Gobind.

"Berikutan ini, kerajaan Selangor menarik balik permohonan bagi Pornthip memberi keterangan melalui sidang video.”

Pada 11 April lalu, Pornthip memberitahu bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menerima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz pada Apri lalu berkata Pornthip berbohong berhubung dakwaannya yang kerajaan Malaysia menggunakan "tekanan politik" untuk menghalangnya daripada memberi keterangan.

"Dia seorang pembohong! dia berbohong dalam inkues dan dia berbohong sekarang," katanya.

Tindakan itu menyebabkan Nazri dirujuk bagi dikenakan tindakan menghina mahkamah tetapi usul mengheretnya itu ditolak pada 21 Mei lalu.

Sehubungan itu juga, kerajaan negeri Selangor membuat persediaan untuk membantu pakar patologi Thailand itu bagi memberi keterangan secara langsung dari Bangkok.

Ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor itu sebelum ini membuat kejutan dan mendakwa dari pemerhatiannya berpendapat lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa kemungkinan 80 peratus Teoh dibunuh manakala kemungkin pembantu politik DAP membunuh diri adalah hanya 20 peratus.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bedah siasat kedua dijalankan pada 22 Nov lalu dengan pemerhatian oleh Pornthip manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka. -M'kini

Teras bantah FBI bersidang di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah keras persidangan agensi perisik Amerika yang akan diadakan di Garden and Residences, Mid Malley, dekat sini pada 18 hingga 23 Julai ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, maklumat itu diperoleh daripada laman web FBI National Academy Associatites untuk Asia Pasifik yang diketuai oleh presidennya, SAC 1 Datuk Shahbudin Abdul Wahab.

"Teras membantah dengan keras persidangan ini diadakan di Malaysia yang melibatkan sebuah agensi risikan Amerika yang jelas mempunyai rekod menjadi dalang dalam pelbagai konspirasi untuk menjatuh pemimpin-pemimpin negara yang tidak sebulu dengan Amerika," katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, perhubungan FBI National Academy Associates dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 1964 apabila SAC Kassim Ali menghadiri sesi FBI NAA itu buat kali ke-74 .

Sejak itu katanya, 58 pegawai polis kanan dari PDRM telah menghadhiri kursus yang dianggap sangat istimewa, antara yang turut hadir ialah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar, kecuali 16 orang , yang lain dikatakan sudah bersara.

Mohd Azmi berkata, pihaknya amat kesal apabila mengetahui Malaysia telah menjalinkan hubungan kepolisian dengan FBI yang membuktikan perhubungan seperti ini dilakukan tanpa pengetahuan dan perbahasan di kalangan rakyat mahupun di Parlimen.

Justeru, Teras mendesak kerajaan menjelaskan kepada umum rasional mereka menjalinkan hubungan dengan FBI dan mahu kerajaan segera menghentikan perhubungan dengan FBI.

"Teras mendesak agar pihak kerajaan menjelaskan apakah rasional perhubungan PDRM dengan FBI selama ini, sejauh mana maklumat keselamatan negara diserah kepada FBI dan berapa perbelanjaan yang terlibat dalam latihan pegawai PDRM di FBI.

"Teras juga menuntut agar pihak kerajaan menghentikan perhubungan dengan FBI," katanya.

Menurut Mohd Azmi juga, Shabudin dalam kata-kata aluannya menyatakan bahawa persidangan itu disebut sebagai simbol kuasa dan hubungan rapat yang dapat dijalinkan dengan PDRM melalui FBI NAA Asia pasifik.

Persidangan berkenaan dipercayai ditaja oleh beberapa pihak termasuk Permodalan Nasional Berhad, Tourism Malaysia dan Public Bank Berhad.

Tegasnya juga, kerajaan bersikap hipokrit apabila menyatakan kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan Amerika.

"Tidak ada gunanya kerajaan menyatakan Malaysia mempunyai kedaulatan sendiri tetapi secara rahsia menjalinkan hubungan dengan kuasa perisik Amerika yang mempuyai agenda untuk mengawal pengurusan keselamatan negara.

Sebagai sebuah agensi perisikan Amerika yang utama selain CIA , katanya pelbagai rekod operasi melibatkan penyeludupan agen-agen perisik di seluruh dunia dilaksanakan untuk kepentingan Amerika.

Dua agensi paling berkuasa di Amerika iaitu FBI dan CIA terkenal di Amerika sendiri sebagai agensi yang merosakkan hak individu, hak kebebasan bersuara dan hak memilih pemimpin yang semuanya dilakukan atas nama keselamatan nasional.

Oleh itu, sejarah Amerika sarat dengan skandal yang dikaitkan dengan dua agensi itu termasuk insiden asasinasi Kennedy, kegagalan membunuh Fidel Castro; bom Oklahoma City; pembunuhan beramai-ramai Waco Texas dan 9/11. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .