Oleh Lanh
PADA
hari-hari menjelang Raya ini terkenang saya akan 'seni kerja tangan
unik' orang tua-tua Melayu-Melaka yang sudah pupus. Jika pembaca anak
Melaka yang membesar pada tahun-tahun 70-an atau lebih awal, mungkin
perasaan kerja tangan mudah ini ketika berkunjung ke rumah-rumah orang
veteran.
Ketika era 1960-an, saya cukup teruja dengan susunan
botol-botol berisi air berwarna yang dipamerkan di rak-rak yang orang
Melaka panggil para. Ada barisan air berwarna merah, hijau, biru dan
sebagainya. Apabila botol-botol air warna yang sama bentuk dan saiznya
disusun sedemikian rupa (mungkin 20 atau 30 botol), ia dengan
serta-merta menjadi tarikan kanak-kanak seperti saya ketika itu. Ada
kalanya ketika cahaya matahari menyimbah ke dalam rumah dan mengenai
botol-botol berwarna itu, ia menghasilkan cahaya berwarna yang sungguh
cantik (bagi sayalah ketika itu).
"Nek, nak air sirap tu!" pinta
saya, tak tahan melihat 'godaan' air berkilauan itu. Tetapi sungguh
memeranjatkan apabila tuan rumah yang saya panggil 'nenek' itu dengan
lembut memberitahu saya bahawa air itu bukan untuk diminum. Ia hanya
sebagai perhiasan saja! Sungguh menghairankan saya, 'air secantik' itu
hanya menjadi hiasan, kalaulah boleh masuk ke dalam tekak saya, tentu
sedappp!
Lama kemudian barulah saya tahu, 'air cantik' itu
dihasilkan daripada air yang direndam dengan kertas warna. Air itu
kemudian ditapis; sisa kertas warna dibuang manakala air dimasukkan
dalam botol-botol berkenaan. Botol-botol itu kemudian disusun di
para-para, biasanya para di atas sekatan ruang tamu dan dapur supaya
tetamu dapatlah melihat dengan jelas keindahan botol-botol berisi air
berwarna itu! Ya hasil seni ini cantik tetapi awas, airnya bukan untuk
diminum!
Sekarang ini tiada satu pun rumah orang Melayu yang saya
kunjungi pada hari raya ada dipamerkan air berwarna. Ia hanya berada
dalam memori orang seangkatan saya atau orang lebih tua. Sempena
kehadiran penghujung Ramadan ini, teringat juga saya 'kerja seni' orang
lama Melayu-Melaka yang bermati-matian membuat kuih tradisional untuk
sambutan hari raya. Antara kuih itu adalah dodol dan wajik.
Dodol
seolah-olah hidangan kemestian pada hari raya. Hampir setiap rumah,
anggota keluarganya akan terbabit membuat dodol. Kerja membuat dodol
terutama mengacaunya amat berat dan lama. Berdasarkan pengalaman saya,
sebaik saja selepas sahur, kuali besar sudah diletakkan di atas tungku,
api mulai dinyalakan dan santan dituang dan dikacau. Kerja mengacau
kelihatan mudah, tetapi awas, bahan dikacau itu semakin lama semakin
pekat dan likat, maklumlah selepas dimasukkan gula melaka dan
sebagainya. Kerja mengacau itu tersangat lama, mungkin hanya berakhir
selepas zuhur atau asar!
Pertengahan waktu sebelum dodol masak
adalah saat ditunggu kanak-kanak seperti saya (belum balighlah) kerana
kami akan dipanggil beramai-ramai untuk makan dodol cair yang diseduk
dan diletakkan di atas daun pisang. Ya, di kalangan keluarga kami, hanya
kanak-kanak yang dibenarkan makan dodol cair itu, orang dewasa tidak
sama sekali.
Namun saya dimaklumkan, di sesetengah tempat, ada
orang tua pun mencuba dodol yang sedap itu apatah lagi mereka sudah
berlalu penat, berhempas pulas 'mendayung' (mengacau) dodol dari subuh
sampai asar. Mereka tak puasa pun. Ada yang tertinggal solat subuh,
zuhur dan asar kerana leka membuat dodol.
Sama seperti 'seni'
membuat 'air warna', 'seni' membuat dodol pun sudah mati. Sudah puluhan
tahun, saya tidak lagi 'mengacau' dodol. Kalau teringin makan dodol
'order' saja atau pergilah ke gerai-gerai di tepi jalan. Tetapi semua
itu tidak dapat menyaingi 'dodol cair' yang saya nikmati puluhan tahun
lalu!
Kalau ada orang boleh tak puasa kerana dodol, hari
membantai (bergotong royong menyembelih lembu, kambing) menjelang
Aidilfitri juga menjadi penyebab segelintir orang tak puasa. Mereka
berkata nak rasa daging baru. Namun sama seperti 'seni' membuat dodol,
acara membantai juga kian pupus. Kebanyakan urusan sekarang dilakukan
secara komersial.
Sekarang ini akan muncullah gerai-gerai menjual
daging di tepi jalan menjelang hari berbahagia itu. Namun apa yang saya
perhatikan, ada orang bagaikan 'sudah jadi lembu' dalam mengendalikan
perniagaan. Siang malam dengan bisnes lembunya malah tengah hari Jumaat
ketika orang sibuk ke masjid, mereka tetap tekun di gerai daging
lembunya.
Demikian juga orang yang terbabit dalam bisnes lain dan
para pembeli. Siang malam, berniaga dan 'bershopping' sakan untuk
beraya. Tidak kira waktu sembahyang ke, malam ganjil 10 hari terakhir
Ramadan ke, mereka tidak peduli. Yang penting hajat mereka untuk melaram
raya ini tercapai.
Kesimpulannya, ingatlah wahai diri sendiri
terutamanya dan semua, janganlah kita 'jadi lembu' pada hujung Ramadan
ini dengan membuat perkara atau 'seni sia-sia' sebaliknya berusaha keras
untuk mendapatkan tawaran istimewa Allah SWT termasuk dalam memburu
Lailatulqadar-Nya!
DD