PAS hari ini melancarkan satu jawatankuasa bagi membantu rakyat yang  memiliki kereta dan motosikal yang berusia 20 tahun ke atas yang  mengalami masalah untuk memperbaharui polisi insurans kenderaan mereka.
Jawatankuasa  tersebut dinamakan sebagai Gerakan Bela Rakyat (BELA) selepas kejayaan  mereka melancarkan Kempen anti-Saman Ekor (KASE) yang diketuai oleh ahli  parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Pengerusi BELA, Salahudin Ayub (
kiri)  berkata beliau menerima aduan bahawa pemilik kenderaan berkenaan  terpaksa mengeluarkan "modal yang besar" untuk memperbaharui polisi  insurans berkenaan.
"Isunya, mereka kena mengambil  (polisi insurans) daripada Malaysia Motor Insurans Pool (MMIP). Sebelum  ini mereka membelinya dengan mudah daripada syarikat-syarikat insurans  (yang lain)," katanya dalam satu sidang media.
Selain MMIP, pemilik kenderaan juga hanya boleh mendapatkan perlindungan dengan Unit Asia.
Salahudin  yang juga naib presiden PAS mendakwa kenaikan harga memperbaharui  polisi insurans kenderaan terbabit mencecah 200 peratus hingga 300  peratus.
Beliau  mendakwa soalan-soalan yang ditanya dalam borang insurans tersebut  "menyusahkan orang kampung" dan harganya "membebankan rakyat".
Ekoran  itu, katanya, ia menyebabkan pemilik kenderaan - dari golongan orang  kampung dan berpendapatan rendah - terpaksa mengupah orang untuk mengisi  borang tersebut dengan bayaran sebanyak RM20 hingga RM50.
Naik mendadak
"Kalau  pergi kepada agen, mereka tidak ada jaminan untuk mendapatkan insurans  yang murah sehingga dikenakan bayaran sehingga RM600. Selain itu,  kenderaan mereka juga diperiksa di Puspakom dengan upah periksa sebanyak  RM50.
"(Lihat bagaimana) beberapa kali beban yang  dikena bagi (pemilik) kereta jenis ini. Bagi saya, ini sangat  menyusahkan rakyat," katanya sambil menambah polisi insurans tersebut  telah diamalkan sejak setahun yang lalu.
Dengan  memberi contoh, Salahudin berkata, pemilik van jenis Nissan Vanette 1.5  yang dikeluarkan  tahun 1980, pemiliknya terpaksa membayar lebih RM300  ringgit berbanding RM80 sebelum ini, untuk memperbaharui insurans  kenderaan mereka.
Kereta jenis Kancil 850 pula,  mereka perlu membayar RM216 berbanding RM90 sebelum ini, manakala  pemilik motosikal terpaksa membayar RM100 berbanding RM50.
Salahudin  mendakwa, masalah lain yang dihadapi oleh pemilik kenderaan terbabit  ialah polisi insurans ini hanya boleh didapati di pekan besar sahaja dan  tidak terdapat di kawasan kampung.
Men
jawab  solan, pihaknya setakat ini tidak mempunyai perangkaan yang tepat  mengenai bilangan pemilikan kereta dan motosikal yang mempunyai  kenderaan yang berusia lebih 20 tahun di seluruh negara.
Sehubungan  itu, Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian akan membangkitkan  perkara tersebut dalam sidang parlimen yang akan datang.
Salahudin  berkata pihaknya akan mengadakan persidangan meja bulat dengan syarikat  insurans, institusi penginsuranan, persatuan pengguna dan persatuan  automobil bagi mendapatkan pandangan berhubung masalah yang dihadapi  oleh pemilik kereta dan motosikal berkenaan.
Menurutnya,  antara pihak tersebut adalah Persatuan Insurans Am Malaysia, Malaysia  Insurans Institute, Malaysian Insurans dan Takaful Brokers Association,  Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Persatuan Pengguna Islam  Malaysia (PPIM), Automobil Association of Malaysia serta wakil  Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan. 
Persidangan meja bulat
Katanya,  persidangan meja bulat itu akan diadakan dalam dalam tempoh sebulan  bagi mengutip pandangan sekaligus mencari jalan penyelesaian berhubung  masalah yang dihadapi oleh pemilik kenderaan berkenaan.
"Apabila  bajet dibentangkan pada pertengahan Oktober ini, saya akan bawa perkara  ini kepada pihak kerajaan, untuk kerajaan bertindak segera agar mereka  mendapat skim atau polisi insurans yang mereka mampu membayar untuk  mendapat perlindungan kepada kenderaan mereka," katanya.
Salahudin  berkata kerajaan perlu mempunyai satu polisi yang jelas terhadap dasar  automotif negara dan dasar insurans agar tidak meletakkan beban kepada  rakyat.
"Kalau kerajaan nak ikut Singapura, kereta  (yang digunakan selama) selama 10 tahun, kemudiannya dibuang. Jadi  kerajaan (kena) ada satu mekanisme, berapa peratus akan diberikan kepada  rakyat, untuk rakyat mendapat kereta yang baru. 
"Kerajaan  kena ada penyelesaian ini. Satu penyelesaian yang konstruktif yang  kerajaan boleh terima (oleh rakyat)," tegasnya.
-M.kini.