Ikuti Blog ini

BERS✔H: Parti Saadat Turki Nyatakan Sokongan, Bantah Tindakan Polis Malaysia

Naib Presiden Parti Saadat Turki, Prof. Dr. Arif Ersoy menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu sebagai munasabah kerana rakyat berhak menyatakan tuntutan mereka untuk pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau berkata, rakyat hanya mahukan tuntutan mereka didengari dan kerajaan Malaysia seharusnya melayani tuntutan tersebut kerana rakyat merupakan 'tuan' kepada negaranya.

"Rakyat hanya mahukan kebebasan dan pilihan raya yang adil. Kerajaan Malaysia seharusnya mendengar tuntutan mereka ini.

"Untuk sesebuah kerajaan itu memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik, mereka seharusnya tahu apa yang dimahukan rakyat.

"Sebab itu kadang-kadang rakyat perlu keluar beramai-ramai untuk menzahirkan suara hati secara terbuka," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini semalam.

Beliau yang juga setiausaha agung Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial – (Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi-Esam) hadir ke Ibu Pejabat PAS dan bertemu dengan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Beliau juga sempat berbual dengan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berada di Terengganu melalui telefon bagi bertanya khabar khususnya selepas dibebaskan setelah ditahan semasa perhimpunan Bersih 2.0.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan Bersih 2.0, beliau yang sempat menyaksikan beberapa insiden tangkapan peserta oleh polis sangat tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Katanya, tindakan polis itu sangat tidak 'gentleman' dalam sebuah negara demokrasi.

"Saya minta maaf kerana terpaksa menyatakan begini. Sikap polis terhadap peserta itu sangat tidak 'gentleman' dan itu bukan undang-undang negara demokrasi dan rakyat Malaysia sangat baik dan peramah jadi tidak harus diperlakukan begitu,"
katanya yang ke Malaysia kerana menghadiri seminar antarabangsa di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pembentang kertas kerja.

Tambahnya, beliau yakin Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan semuanya akan berjalan secara lebih teratur jika rakyat tidak terlalu diberikan tekanan.

"Saya harap proses demokrasi di Malaysia akan dibaikpulih. Semakin baik proses demokrasi itu, semakin senang sesebuah negara diurus.

"Lebih mudah untuk menguruskan negara yang rakyatnya diberikan kebebasan dan negara akan menjadi susah apabila rakyat diberikan tekanan yang kuat," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sangat berbesar hati untuk mendengar pelbagai pandangan daripada PAS dan mengakui mengenali secara rapat Ustaz Hadi melalui beberapa seminar antarabangsa yang dihadiri.

"Sebelum ini kita menjemput pimpinan PAS ke Turki untuk mendengar pandangan kami tapi sekarang saya datang untuk dengar pandangan PAS tapi masa tidak begitu tepat tapi akan datang kami nak dengar banyak pandangan dari PAS tentang pelbagai perkara," katanya.

Pada Mei 2009, Ustaz Hadi pernah menghadiri Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 (18th International Congress of Muslim Communities) yang dianjurkan oleh Esam di Istanbul, Turki. -Hrkh

Liwat II : Bekas IGP Enggan Ke Mahkamah

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) enggan ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes Liwat II. Perkara itu diberitahu oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair di perkarangan mahkamah selepas selesai sebutan kes itu pagi tadi.“Kami dimaklumkan polis (Musa Hassan enggan ditemuramah)” kata Sankara yang mengesahkan perkara itu sewaktu ditanya wartawan. Musa termasuk di antara 25 orang saksi yang diminta pasukan peguambela Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi keterangan apabila peguam bela memulakan penghujahan bela mereka 8 Ogos ini.

Selain Musa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor termasuk dalam senarai saksi yang diminta oleh pasukan peguambela Anwar.

Sankara selanjutnya berkata akan memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan saksi-saksi yang disenaraikan untuk hadir memberi keterangan di mahkamah apabila peguam bela membentangkan hujah mereka 8 Ogos ini.

“Kami belum dapat saksi-saksi kami.Jadi kami perlu minta mahkamah untuk berikan saksi-saksi itu. “Kami akan buat permohonan rasmi dalam masa seminggu kepada hakim untuk memohon pendakwa memberikan kami saksi-saksi di mahkamah. Ingat tak kami cuma dapat lima saksi daripada 25 saksi. Kami ada hak untuk temubual.

“Sebab itu kami mohon di mahkamah untuk mohon bawa saksi untuk ditemubual. “Samada mereka mahu ditemubual atau tidak itu cerita lain. Tetapi yang penting mereka perlu dibawa ke mahkamah,” kata Sankara.

Perbicaraan kes Liwat II akan disambung semula pada 8 Ogos sehingga 26 Ogos depan. Tarikh itu ditetapkan Hakim Zabidin Mohd Diah selepas beliau kekal mendengar kes ini walaupun peguambela sudah memohon untuk mengenepikannya daripada terus mendengar kes.

Permohonan itu dibuat kerana peguam bela Anwar berpendapat Hakim Zabidin melakukan pra-penghakiman sewaktu memutuskan wujud kes prima facie dalam kes ini. Anwar yang hadir memakai pemaut leher akibat kecederaan ketika menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu lalu akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula 8 Ogos ini.

Anwar yang hadir di temani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada prosiding hari ini akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula. Pada 6 Julai lalu, Anwar telah gagal dalam usaha ketiganya menggugurkan hakim Mohd Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar kes liwat beliau dan mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mohd Zabidin berkata pendakwa raya telah membuktikan kesemua keterangan dan saksi untuk mempertahankan tuduhan ke atas Anwar. Anwar, 63, dituduh meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar selepas yang pertama 13 tahun lalu.

BERSIH 2.0: Pelajar saksi warga tua dihenyak polis

Seorang pelajar berkata beliau melihat seorang warga emas terjatuh dan dihenyak oleh polis ketika sepasukan lebih 100 orang anggota berkenaan menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 berhampiran menara KLCC pada Sabtu lalu.

Pelajar berkenaan berkata, warga emas berkenaan mungkin merupakan individu yang meninggal dunia selepas dibawa ke hospital selepas terjatuh semasa perhimpunan itu berlaku.

"Saya rasa itulah pakcik yang meninggal itu. Saya nampak dia jatuh, kemudian saya nampak polis tengah hurung dia, tapi itu saya tak sempat rakam sebab saya tengah lari.

"Saya tak pasti tapi saya rasa dialah. Orang itu memang kena lanyak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ketika ditanya, pelajar itu berkata beliau tidak melihat sekiranya polis telah menendang lelaki terbabit, "tapi saya rasa polis henyak dia. Tak mahu bagi dia bergerak."

funeral baharudin bersih protesterIndividu berkenaan, Allahyarham Baharudin Ahmad menjadi perhatian apabila ia dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Polis setakat ini menyatakan bahawa Allahyarham Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun sebab sebenar kematian lelaki berkenaan masih menimbulkan tanda tanya.

Dalam kejadian pada petang itu, saksi mata tersebut berkata, beliau melihat kedua-dua tangan warga emas itu dipegang oleh anggota polis yang turut menghenyak lelaki tua berkenaan ke permukaan jalan.

"(Warga tua itu) dah jatuh, kemudian polis hurung dia. Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki. Yang saya nampak polis ada lima orang polis yang hurung," katanya lagi.

Pelajar berkenan juga berkata, beliau tidak melihat sama ada mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke bangunan Avenue K yang terletak kira-kira 200 meter daripada persimpangan berkenaan, seperti dilaporkan sebelum ini.

NONEKetika ditanya, beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada polis telah melepaskan gas pemedih mata sebelum menyerbu ke arah kumpulan yang berhimpun itu.

"Gas (pemedih mata) saya tak perasan sebab saya dah lari," kata pelajar berusia 19 tahun itu lagi yang menambah, kejadian berkenaan berlaku selepas polis berkenaan menggempur sekumpulan lebih 1,000 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Kumpulan berkenaan berhimpun di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang – Jalan Yap Kwan Seng – Jalan P Ramlee.

Selain warga emas tersebut, beliau turut melihat beberapa orang lagi turut terjatuh selepas sekumpulan anggota polis berpakaian seragam menyerbu kumpulan yang menyertai perhimpunan tersebut.

Kumpulan polis berpakaian seragam itu mara dari barisan belakang sekumpulan anggota FRU yang membentuk halangan di Jalan P Ramlee, berhampiran persimpangan berkenaan.

Pada masa itu juga, sepasukan polis dan FRU membentuk halangan di hadapan SJKC Lai Meng, di bahagian barat Jalan Ampang.

Difahamkan, polis pada masa itu bertindak untuk menyuraikan kumpulan berkenaan – yang bergerak daripada kawasan Kampung Baru – ke arah timur Jalan Ampang dan juga Jalan Yap Kwan Seng. -M'kini

IKLAN Assalamualaikum dan Salam Sejahtera; Perniagaan hebat ini disediakan bagi memenuhi kehendak mereka yang ingin menambah pendapatan. Perniagaan y

TG Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah

KOTA BHARU, 13 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, (gambar) menyokong sekiranya Himpunan Bersih 3.0 diadakan pada masa akan datang demi untuk keadilan dalam pilihanraya.

Menurutnya, pilihanraya adil dan bersih dituntut dalam Islam kerana ianya menyentuh soal kepimpinan negara.

“Sedangkan menjaga diri sendiri juga wajib ikut cara Islam, dengan menikmati semua perkara halal, apa lagi soal mentadbir negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Himpunan Bersih 3.0 sekiranya ia diadakan lagi bagi menuntut pilihanraya adil selepas mempengerusikan mesyuarat exco pagi tadi.

Ketika diminta mengulas berhubung dakwaan yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu berlakun sakit, tuan guru berkata hanya rakyat yang menjadi hakimnya.

”Orang Umno memang begitu, suka menafikan, dia tuduh kita (PAS), tetapi rakyat yang akan menjadi hakim, insyaallah," katanya.

Menurutnya, Bersih 2.0 akan berjalan dengan baik sekiranya Umno tidak memperalatkan polis supaya menyekat perhimpunan tersebut.

Perasaan manusia bila dia yakin, seperti air hujan dari langit akan turun dengan baik dan sekiranya disekat umpama air banjir mengganas menghanyutkan apa sahaja yang ada dihadapan.

Kiranya ada cadangan untuk buat lagi, setuju untuk rancangan bersih pilihanraya atas nama selagi sistem pilihanraya di negeri ini tidak berjalan lancar.

”Mentadbir negara yang diangkat secara bersih adalah kerja agama dan ianya perlu disokong oleh semua, selagi pilihanraya di negara ini berjalan tidak cara bersih, memang saya sokong atas nama apa sekalipun,”ujarnya.

”Mentadbir negeri adalah ajaran Islam seperti ianya menjaga diri sendiri, mata, bercakap, makan cara bersih, kerana itu ingin menjaga Kelantan cara bersih,”ujarnya.

Yang penting, katanya pilihanraya perlu diadakan secara bersih sekiranya tidak ingin balasan buruk di akhirat nanti.

Menurutnya, peniaga yang dikatakan kerugian besar akibat demontrasi itu akibat kerajaan sendiri memprovokasikan perkara itu.

”Cuba tidak menakutkan mereka atau memberi laluan demontrasi bersih cara baik, orang akan beli air sana, air sini dan hasil jualan akan laku,”ujarnya.

Beliau juga tidak faham sedangkan Puterajaya telah ditempatkan program Himpunan 1 juta pemuda, kenapa kawasan itu tidak disekat. -Hrkh

Najib Tiba Di Britain Hari Ini Tanpa Hamparan Permaidani Merah?

Ramai memberikan perhatian ketibaan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Britain hari ini yang tidak disambut dengan hamparan permaidini merah seperti lazim diberikan kepada tetamu-tetamu istimewa negara tersebut.

Gambar-gambar yang disiarkan oleh Bernama hari ini lansung tidak menunjukkan keadaan tapak lapangan terbang, malah foto-foto itu diambil tanpa menunjukkan kaki-kaki Perdana Menteri dan lain-lain menjejaki tanah mungkin bagi mengelakkan ternampaknya ketiadaan permaidani merah berkenaan.

Dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Perdana Menteri terbang ke London selepas menamatkan lawatannya ke Turkmenistan.

Najib tiba di lapangan terbang Farnborough pada 3.45 petang waktu tempatan (10.45 mlm Malaysia) dan hanya disambut oleh Wakil Khas kepada Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel John Mcdonald, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong.

Perdana Menteri dijadual bertemu pemimpin kerajaan UK dan tokoh-tokoh industri semasa lawatan itu yang dibuat atas jemputan Perdana Menteri Britain David Cameron. Najib juga dijadual menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham.

Semalam, Amnesty International telah mendesak Britain supaya memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, yang didakwa menyaksikan tindakan keras kerajaan Malaysia ke atas peserta perhimpunan.

Timbalan Pengarah Asia Pasifik Amnesty International Donna Guest berkata, selain menahan peserta perhimpunan pihak keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata secara terus kepada perhimpunan dan dalam kawasan hospital sebagai usaha menggagalkan perarakan ke Stadium Merdeka.

Dalam kenyataannya, Guest berkata ramai peserta perhimpunan telah dikasari oleh pihak keselamatan.

“Terdapat rakaman video di YouTube menunjukkan anggota polis berpakaian preman menendang seorang peserta yang terbaring di atas jalan sementara polis yang berpakaian seragam hanya melihat.

“Pihak keselamatan juga menembak gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tercedera dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) yang turut mengalami kecederaan,” katanya.

Justeru kata Guest, kerajaan Britain pimpinan David Cameron harus campur tangan dengan menasihatkan pentadbiran Najib berhubung keganasan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

“Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran terhadap keganasan ini dengan menghamparkan karpet merah untuk perdana menteri Malaysia.


“David Cameron harus memberitahu perdana menteri Malaysia bahawa ia adalah pencabulan ke atas peserta perhimpunan aman dan ia tidak boleh diterima,” katanya.

Sebelum itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membidas kerajaan Malaysia dan telah menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah “menghadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.”

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam kelmarin.

Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013.

Frank La Rue, Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan pandangan dan pendapat berkata, tindakan Malaysia mengisytiharkan perhimpunan sebagai haram, menutup sebahagian besar ibu negara dan menangani peserta dengan cara sedemikian memperlekehkan kemajuan demokrasi.

Ribuan Hadir Membanjiri Ceramah Pasca BERSIH Negeri Perak



Tidak kurang 4 ribu orang telah hadir membanjiri Ceramah Pasca Bersih Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Kamunting, Taiping semalam. Sambutan diluar jangkaan itu mungkin disebabkan ‘aura ‘ Himpunan Bersih 2.0 yang masih kuat dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Ceramah tersebut disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, AJK Pas Pusat Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya Pas Perak Ustaz Abu Bakar Hussain dan penceramah khas daripada Kuala Lumpur yang juga anak saudara kepada Allahyarham Baharudin yang meninggal ketika menyertai Himpunan Bersih Sabtu lalu. Ustaz Abu Bakar Hussain telah mendeklimasikan sajak nukilan Sasterawan Negara, A Samad Said pada malam itu.

Pada ucapan yang penuh bersemangat, Dato’ Seri Nizar mengutuk sekeras – kerasnya kekejaman polis ke atas peserta demonstrasi Bersih Sabtu lalu. Beliau juga mendakwa UMNO sengaja membangkitkan semangat perkauman dengan mengatakan orang melayu telah menjadi ‘barua’ Dato’ Ambiga. Dato’ Mahfuz pula dalam ucapannya menyeru kepada semua ahli PAS supaya tidak memarahi polis kerana mereka hanya mengikut arahan UMNO. “ saya ingin katakan kepada seluruh ahli PAS suapaya tidak memarahi polis kerana mereka telah menjadi kuda tunggangan Barisan Rasional, “ katanya sambil disambut dengan laungan takbir. BGM Online

BERSIH 3.0 Menyusul Jika SPR Berdolak-Dalik

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan lapan tuntutan Bersih jika tidak mahu berhadapan dengan Bersih 3.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, empat daripada tuntutan yang dikemukan Bersih kepada SPR itu hakikatnya boleh dilaksanakan oleh agensi itu pada bila-bila masa sahaja.

“SPR mestilah membuat perubahan segera. Jikalau tidak ada apa-apa perubahan menjelang pilihan raya akan datang, PAS akan mencadangkan kepada Bersih untuk membuat himpunan sekali lagi,"kata beliau.

Menurut Mat Sabu SPR, tidak harus berdolak-dalik dalam menunaikan tuntutan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

“Terutama dalam tutuntutan lapan perkara, empat perkara boleh dilakukan oleh SPRM.. jangan berdolak dalik. Kemudian kalau pilihan raya adil, kalau BN nak memang menanglah. Kita terima. Supaya undi pos dapat dibuat reformasi, celup jari, daftar pemilih yang bersih, media yang adil.. tapi selepas itu kalau BN nak menang-menanglah.Sebab kami tak ada masalah, (kami) menerima kekalahan. Yang kami tak mahu ialah ketidakadilan berlaku,"
tegas Mat Sabu lagi.

Empat tuntutan yang boleh dilaksanakan oleh SPR dengan kadar segera ialah membersihkan daftar pemilih, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh kempen minimum 21 hari.

Manakala yang lain seperti akses media yang bebas dan adil, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor tertakluk kepada kerajaan pusat.

Menurut Mat Sabu, PAS juga telah mencadangkan kepada Bersih agar menjadikan hari Sabtu sebagai hari memakai baju Bersih dan berwarna kuning sebagai menunjukkan kehendak rakyat yang berterusan terhadap perubahan sistem pilihan raya di negara ini.

Beliau pada masa sama menyelar sikap hipokrit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mempermain-mainkan pihak yang memperjuangkan Himpunan Bersih 2.0.

"Saya juga merasa kesal yang amat sangat kepada Perdana Menteri yang suka berbohong. Semalam dalam ucapan di Pulau Pinang saya isytihar Perdana menteri Najib Tun Razak sebagai Perdana menteri yang pembohong.

"Beliau mengisytiharkan di peringkat awal minta mana-mana stadium, kamu melalaklah sampai ke pagi kita akan beri. Bila minta stadium tak beri.. kemudian selepas tutup pintu rundingan yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, tiba-tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuka pintu rundingan,

Najib (kemudian cakap) beliau sanggup berunding tetapi sampai akhir, beliau dikatakan menghilangkan diri dan tiada rundingan apa-apa," kata beliau.


Pemimpin-pemimpin BN.......turunlah secara sopan, jangan turun secara tunggang langgang

- Ucapan penuh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, 11 Julai, 2011, sekembalinya setelah ditangkap selama 4 jam oleh polis dalam Himpunan BERSIH 2.0

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada semua, saudara saudari yang hadir dan yang tidak dapat hadir, yang mengikuti demonstrasi aman di Kuala Lumpur, saya ucapkan terima kasih kepada semua.

Sebenarnya kita mempunyai sikap dan pendirian yang yang satu, mengajak kebaikan kepada negara dan seluruh rakyat dengan cara yang aman dan adamai melalui pilihanraya yang adil

Himpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0, yang diatur oleh NGO, Pertubuhan-pertubahan Bukan Kerajaan di kalangan Islam dan bukan Islam. Mereka bukan parti-parti politik dan mereka tidak terlibat dengan pilihan raya.

Mereka adalah kalangan cerdik pandai, di kalangan profesional di seluruh negara pelbagai kaum. Yang melihat banyak perkara yang tidak kena, yang boleh merosakkan negara kerana merosakkan demokrasi, walau pun hari ini Umno menganjurkan perhimpunan. Presidennya mengatakan, hendak mendukung dan menghidupkan demokrasi.

Demokrasi jenis apa? Kita mahu demokrasi yang mencerdikkan rakyat dan bukan demokrasi yang membodohkan rakyat. Demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim yang adil. Rakyat mestilah diberi peluang untuk mendapatkan maklumat daripada semua parti yang bertanding. Bukan hanya maklumat dari satu parti yang memerintah dan sedang memerintah sahaja.

Parti yang tidak memerintah mereka tidak mendapat maklumat. Dan kita mesti sedar, bagi orang Islam kerajaan yang sempurna hanya kerajaan Allah SWT sahaja.

Kerajaan manusia tidak sempurna mereka perlu ditegur, mereka perlu dibaiki, demokrasi adalah peluang untuk rakyat mengajar parti yang memerintah yang silap. Rakyat mesti tahu apa kesilapan dan apa kesalahan. Jangan ditutup dan apa yang berlaku hari ini tv, radio, surat khabar yang disebar dengan luas semuanya memuji kerajaan yang memerintah, kerajaan Barisan Nasional. Menutup segala kesalahannya, seolah-olah sempurna macam Tuhan. Ini satu ajaran salah yang sangat besar.

Dalam masa yang sama rakyat tidak diberi peluang mengundi dengan cara yang adil, ada undi pos, ada pengundi ‘hantu’. Pengundi yang sudah meninggal dunia mengundi juga, pengundi yang mengundi acap kali, pengundi yang tidak bertanggungjawab, pengundi yang miskin yang ‘dibeli’ dengan duit orang-orang kaya yang bagi rasuah politik. Mereka bagi rasuah kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Bagi rasuah kepada rakyat untuk mengundi mereka.

Selepas menang, maka projek-projek mega yang besar diberi kepada ‘kaki-kaki’ rasuah ini. Sedikit sahaja hasil negara turun kepada rakyat yang miskin. Harga barang-barang naik dan tidak mampu hendak ditahan lagi. Hasil negara banyak yang ‘bocor’ degan sebab rasuah ini.

Kita mahu pilihan raya bersih dan rakyat diberi maklumat sepenuhnya. Ada kalangan yang mengatakan kenapa PAS menyokong orang bukan Islam yang menganjurkan Bersih 2.0 ini?

Kita diajar oleh Nabi Muhamad SAW. Di zaman jahiliyah sebelum Islam, Nabi SAW diajak oleh bapa saudaranya yang bukan Islam. Hadir dalam satu perbincangan untuk menentang yang zalim dan menentang perkara yang salah yang dikenali dengan al-hilful fudzul. Nabi SAW menyebut, “Sekiranya pakatan untuk menentang yang zalim ini yang dilakukan di zaman jahiliyyah dibawa di zaman Islam, walau pun mereka orang jahiliyyah aku ikut sama”, kata Nabi SAW. Kita diajar oleh Nabi SAW.

Mereka yang menganjurkan Himpunan Bersih 2.0 ini bukan ahli-ahli politik. Tetapi mereka yang cerdik pandai yang tidak senang dengan perkara yang berlaku. Mereka menganjurkan perhimpunan aman. Saya ucap terima kasih kepada Pemuda-pemuda kita yang ikut sama muslimin-muslimat, saudara-saudari pelbagai kaum. Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain berarak sama.

Kita arah jangan lakukan kekasaran. Kita tidak mahu berlawan dengan polis, tidak mahu berlawan dengan pasukan keselamatan. Kita tahu yang jadi ‘kepala harian’ ialah Umno-Barisan Nasional. Jika kita bergaduh dengan polis, akan jadi seperti ‘alu dengan lesung’ yang berlaga dan yang kenyangnya ayam. Mereka (Umno) yang ‘kenyang’ (untung), tidak ada gunanya.

Alhamdulillah, pemuda-pemuda kita dari semua kaum ikut arahan. Walau pun mereka (kerajaan) sekat dari segenap penjuru dan ada orang yang diharamkan masuk ke Kuala Lumpur. Macam mana kita rakyat di negeri ini diharamkan masuk ke dalam negeri kita sendiri. Orang Kuala Lumpur pun diharamkan juga masuk ke Kuala Lumpur. Dia duduk di Kuala Lumpur doh, haram macam mana.

Alhamdulillah, kita masuk dan kita adakan perhimpunan dengan jumlah yang sangat besar. Jumlah itu tidak mampu dilawan oleh polis sebenarnya. Mereka tak mampu lawan! Kalau kita nak lawan, boleh lawan. Bukan cara kita. Kita sedar mereka telah dipaksa kerajaan Barisan Nasional. Oleh pmimpin-pemimpin yang zalim ini.

AlhamduliLlah kita telah menganjurkan perhimpunan dengan cara yang baik, dengan cara yang aman walaupun disembur dengan gas pemedih mata...matanya pedih, nafasnya (jadi) sesak. Dan ada orang yang mati, ada orang yang cedera, ada orang yang tidak apa kena gas dan dia (gas) jadi ubat 'seduan'! Ada yang nak pergi lagi, kalau ada berark, ada yang nak pergi lagi dan ramai yang ditahan.

Bukan semua anggota polis ini boleh menjadi alat, ramai dikalangan mereka melayan kami dengan baik, melayan kami dengan sopan, dengan teratur. Saya pun dalam balai polis diajak bergambar, menandakan mereka bukan semuanya jadi alat Barisan Nasional.

Saya ucap terim kasih kepada anggota keselamatan dan kita ambil gambar semuanya. Yang 'berhalus' kita ambil gambar, yang 'berkasar' pun kita ambil gambar. Kerana (ada) beribu-ribu kamera, kita kumpul gambar ini menjadi saksi dan kita kenal mereka yang bersabar dan mereka yang tidak beradab.

AlhamduliLlah, dengan berkat doa saudara-saudari, dengan simpati saudara-saudari, dengan pertolongan Allah, semua kita dibebaskan. dan saya tak mahulah diberi layan yang istimewa....pergi hantar sampai ke rumah... terima kasih layanan yang baik, (tapi) janganlah untuk saya sahaja, orang lain pun kena (layan) baik juga. Kerana tidak ada beza antara kita semua.

Saya nak beritahu, bahawa kebangkitan rakyat tidak boleh dihalang, kebangkitan rakyat lebih daripada banjir, kalau halang banjir, empangan (jadi) pecah, ini akan berlaku. Dan kita beritahu, himpunan kita kali ini adalah muqaddimah Kita beri isyrat supaya Barisan Nasional bersopan, beradab dan dia kena sedar, kita orang islam diajar, tidak ada kerajaan yang kekal selama-lamanya melainkan kerajaan Allah sahaja.Termasuk kerajaan Nabi dan Rasul pun tidak kekal, semua kerajaan dunia tidak kekal, kerajaan yang kekal hanya kerajaan Tuhan sahaja.

Kita harap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional supaya turun secara sopan, secara berdab, secara tertib. Jangan turun secara tunggang langgang yang memalukan sebagaimana yang berlaku di negara Arab, dinegara-negara lain didunia (yang) turun dengan cara yang memalukan. Kalau turun dengan cara baik, alangkah baiknya, kita jadikan demokrasi sebagai landasan

PAS adalah parti yang sabar. PAS pernah menang, PAS pernah kalah. PAS pernah jatuh kerajaan(nya), PAS sabar, tunggu puluh-puluh tahun Kita minta Barisan Nasional beradab da bersopan, ubah demokrasi dengan cara yang baik, macam negara-negara lain dalam dunia ini.

Suka saya menjelaskan, bhawa kebangkitan rakyat seperti yang berlaku pada hari ini sepatutnya tidak menakutkan Barisan Nasional. sepatutnya menyedarkan mereka. Marilah kita jadikan ini sebagai satu gelombang, yang akan diikuti dengan gelombang-gelombang yang lebih besar yang akan membersihkan panai negeri Terengganu daripada sampah-sampah.

Dan akhirnya, saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir, mudah-mudahan Allah memberi pahala kepada semua yang terlibat, termasuk yang bukan Islam. Ada kalangan yang nak melagakan kaum, nak melagakan Melayu Cina, nak buat 13 Mei pula, ini GILA. Yang bercakap (tentang) 13 Mei, pertubuhan-pertubuhan NGO jenis-jenis ini, pasal apa tak ditangkap mereka? Mereka patut diambil tindakan, yang melakukan provokasi!

Malangnya, mereka yang ajak berubah secara damai ini diambil tindakan. AlhamduliLlah, prhimpunn BERSIH telah memberikan kepercayaan dari semua kaum kepada PAS, Parti Islam, baru mereka kenal Parti Islam adalah parti damai, parti adil, parti baik, parti yang nak ajak kepada dil dan huru hara adalah bukan perjuangan kita Kita nak aman, baik, ini (akan) menyelamatkan kita semua

Marilah kita memanjatkan doa (kepada Allah) doa orang yang kena zalim! -BO


Lawak Ketua Polis Malaysia Pasal Senjati Api & Bom Petrol



Masih ingatkah anda? Ketua Polis Malaysia dan Ketua Polis Selangor beriya-iya dalam TV mengatakan penemuan senjata yang dipercayai didalagi oleh pihak BERSIH untuk merusuh di ibukota pada 9 Julai 2011 nanti.
Wartawan menjadi lembu untuk opera ini. Akhbar pula menjadi lidah syaitan untuk pembohongan ini.
Seramai 1667 orang di tahan polis atas arahan Najib, hanya jumpa beberapa bahan bahaya iaitu Air mineral dengan botalnya sekali. Garam dan tuala. Rasanya IGP perlu buat pemeriksaan mata untuk bezakan antara garam dengan bom petrol dan antara botol air mineral dengan parang!! Stupid punya IGP!
Seorang peserta himpunan BERSIH yang patah kaki akibat dipijak oleh polis tidak dapat membuka ikatan tangannya kerana tak ada sebilah pisau walaupun pisau asah pensil!
Takkan ini pun blogger UMNO tak ada akal nak fikir. Bengong betul!!
Haji Shurhadi ini pun masa sakit tak ada dikalangan peserta boleh potong dengan mana-mana parang. Stupid betul dia orang ingat nak gotong royong bersih kubur ke??

Nasib baik ada wartawan tolong keratkan ikatan ini.

KENAPA BLOGGER UMNO BODOH SANGAT?? -sumber
Link

Hebat Amoi nii..Siap "Maki" Polis lagi..



Inilah kezaliman Rejim BN...Menambahkan "Kemeluatan" Rakyat kepada mereka..

KISAH BENAR: Catatan Seorang Peserta Cina: Saya Rasa Selamat Bersama Orang PAS

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.

Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.

Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.


Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!


Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.


Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.
-MerdekaReview

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .