Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad memberi amaran bahawa Malaysia sudah  mempunyai terlalu banyak  cuti umum sehingga sukar bagi meningkatkan produktiviti.

Katanya,  jika keadaan itu berterusan dengan kerajaan memilih untuk membayar  lebih untuk kurang bekerja, negara akan menghadapi kesukaran kewangan  yang serius atau menjadi muflis seperti yang berlaku di negara Barat.
jika.
“Apabila kita bekerja jumlah hari yang kurang, maka produktiviti juga akan berkurangan.
“Kita mempunyai cuti yang terlalu banyak. Terdapat 52 hari Ahad dan ditambah lagi 52 hari Sabtu.
“Kita juga diberi cuti untuk semua perayaan keagamaan, walaupun agama itu mempunyai penganut  yang kecil.
"Kita  sekarang pula menggantikan secara automatik cuti umum yang jatuh pada  Ahad atau Sabtu dengan hari yang lain,” katanya dalam entri terbaru  dalam blog beliau di bawah tajuk "Gaji Minimum".
Gaji minimum
Dr  Mahathir  juga melahirkan kebimbangan dengan dasar gaji minimum yang  bakal meningkatkan gaji secara keseluruhan kerana majikan akan cuba  memastikan persamaan antara gred pekerja yang berbeza dapat dikekalkan.

Pada  24 Februari lalu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  mengumumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia sedang memuktamadkan  segala proses sebelum menguymumkan dasar gaji minimum bagi pekerja di  sektor swasta di seluruh negara.
Menurut menterinya, Datuk Dr S  Subramaniam, tindakan itu akan menyaksikan kira-kira 30 peratus daripada  tenaga kerja di negara ini yang kini berpendapatan di bawah RM900  menikmati kenaikkan gaji minimum yang belum ditetapkan lagi itu.
Menurur  Dr Mahathir,  Malaysia boleh menjadi  muflis apabila gaji atau pampasan  untuk bekerja tidak diikuti dengan pertambahan produktiviti.
"Kita  semua mahu menyaksikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.  Namun kita mesti juga bimbang mengenai daya persaingan kita.

"Menambah pendapatan mesti meningkatkan kos pengeluaran melainkan produktiviti turut bertambah," katanya.
Menurutnya,  Barat kini menghadapi masalah kewangan yang gawat dengan  sekurang-kurangnya sebuah negaranya menjadi bankrap selepas membayar  gaji berlebihan kepada rakyat mereka.
"Upah dan gaji yang tinggi,  bonus yang besar dan pelbagai manfaat seperti bayaran untuk  pengangguran menjadikan negara Barat kelihatan makmur. Tetapi cara boros  mereka tidak boleh berterusan.
"Saya bimbang Malaysia mungkin  menuju ke arah ini jika kita membayar lebih untuk kurang bekerja,  seperti yang kita lakukan sekarang," kata beliau.
Tidak baik
Dr Mahathir juga membidas pentadbiran selepasnya kerana menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 25 peratus.

Walaupun,  tidak menamakan perdana menteri yang bertanggungjawab ke atas kenaikan  itu, sasaran Dr Mahathir adalah penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi  yang katanya, mengurangkan peruntukan pembangunan bagi menaikkan gaji.
“Pernah  seorang perdana menteri, pentadbiran yang lalu, menaikkan gaji  kakitangan awam sebanyak 25 peratus. Namun tidak ada bukti bahawa hasil  kerajaan pula meningkat sehingga 25 peratus.
Lazimnya,  peningkatan adalah hanya kira-kira 10 peratus. Ini bermakna peningkatan  kos operasi 25 peratus itu terpaksa ditampung dengan pemotongan 25  peratus peruntukan pembangunan,” katanya.
Menurut Mahathir,  pengurangan peruntukan bagi pembangunan adalah tidak baik bagi negara  yang sedang pesat membangun seperti Malaysia.  
-M'kini