Ikuti Blog ini

Pemuda PAS hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong





Ekoran surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu; laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat; laporan polis Dato’ Seri Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor; surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya yang menarik balik tuduhannya

Dewan Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum kepada Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan berkaitan perkara berkenaan. Serahan memorandum pada hari ini kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diketuai oleh YB. Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS. Disertai rombongan adalah Ahmad Sabki Yusuf, Setiausaha, YB. Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Exco, YB. Ustaz Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap dan Kamarulzaman Mohamed, Exco Encik Sofuan Ibrahim, Pegawai Pentadbir Istana Negara telah menerima memorandum tersebut. Pemuda PAS juga telah menghantar surat memohon perkenan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memperjelaskan isu ini.

YB. Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah menghantar usul tergempar berkaitan isu ini.

Berikut adalah salinan Memorandum berkaitan:

Mengadap

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, D.K.M., D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d’Honneur (France), yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Seri Paduka Baginda Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.

Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.

Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.

Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:-

1. surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

2. laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat;

3. laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998;

4. surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.

Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.

Amin Ya-Rabbal-Alamin.

Ampun Tuanku.

Patik dengan segala hormat takzimnya,
SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008

Sidang DUN Kelantan : 5 ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan



KOTA BHARU, 7 July :- Setelah sidang DUN bermula pada jam 9.00 pagi, Wakil Kok Lanas yang juga Ketua Pembangkang bertindak keluar dewan setelah tidak puas hati dengan alasan bahawa soalan yang dikemukakan ada yang ditolak oleh Speaker Dewan.

Pada masa itu hanya 5 orang ADUN Pembangkang dari 6 orang bertindak keluar dewan. Wakil Pengkalan Kubur, YB. Datok Hj. Noor Zahidi b. Hj. Omar tidak hadir persidangan.

Walaupun Speaker Dewan, YB. Hj. Nasaruddin Daud berulangkali menjelaskan sebab penolakan soalan tersebut antaranya soalan yang dikemukan sudah ditanya pada sidang yang lepas, namun Ketua pembangkang baru itu tidak berpuas hati dan bertindak keluar dewan bersama ahli pembangkang lain.

Mengulas tindakan itu menurut Speaker memperlihatkan tindakan kurang matang pembangkang sedangkan ADUN Kerajaan juga ditolak soalannya namun tidak bertindak keluar dewan.

Ahli Majlis mesyuarat Kerajaan, YB. Nik Amar mengatakan tindakan itu adalah gimik politik sahaja.

Selain itu ADUN-ADUN Kerajaan yang bangun untuk bertanya soalan lisan, mengesahkan terdapat 2 hingga 3 soalan mereka yang ditolak tetapi mereka tidak keluar dewan.

Semasa sesi rehat pada sebelah pagi, Speaker dewan semasa diminta pengesah mengatakan bahawa inilah kali pertama seingatnya ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan disebabkan alasan ada soalan yang ditolak.

Selepas sesi rehat pagi, semua ADUN pembangkang tidak masuk ke dewan, dan begitu juga disebelah petang sidang bermula pada jam 2.30 petang semuanya tidak masuk ke dewan.

Perak beri air percuma, ganjaran ke IPTA


Kerajaan Negeri Perak akan membekalkan 20 meter padu air percuma kepada penduduk miskin yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bermula Ogos ini, kata Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bernama melaporkan bahawa, kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 15,000 penduduk miskin di negeri ini untuk menerima kemudahan itu dengan anggaran kos perbelanjaan yang ditanggung Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM2 juta sebulan.

"Pemberian air percuma itu adalah sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk miskin di Perak bagi meringankan beban mereka berikutan harga barang yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Nizar yang juga pengerusi LAP berkata, bekalan air percuma itu akan diberikan kepada mereka yang mempunyai meter individu di kediaman masing-masing.

Perak kini merupakan negeri kedua selepas Selangor yang membekalkan 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun lepas sebagai memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya umum Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga memberi ganjaran RM1,000 seorang kepada anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya bagi menuntut wang ganjaran itu, pelajar perlu datang sendiri berjumpa dengan Exco pendidikan, Nga Kor Ming dan perlu membawa dokumen pengenalan diri dan surat tawaran ke IPTA.

"Hanya segelintir sahaja pelajar yang datang ke pejabat ini untuk meminta bantuan melanjutkan pelajaran ke IPTA setakat ini atau mungkin mereka tidak mengetahui adanya sumbangan seperti itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Perak untuk mereka yang melanjutkan pengajian ke IPTA telah ditutup pada 30 Jun lepas.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .