![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgMwgjCv31I_mpKd97MgREPOl4t1jhFB04CTYYB6JzzFtYMAG5-sRRyWmsK0OjfDR_Y9LLv4stuZP9MsKvahzPE9PM32quEjWn-HydP77eU2j880eVbKhajXzCvCake8gzBgmaxgQPQf_hF/s640/12.jpg)
Orang ramai semakin berpusu-pusu membanjiri Medan Istana,Pastinya meletup malam nii..
MCA tetap enggan terima jawatan dalam kerajaan
KUALA LUMPUR - MCA tetap dengan pendirian enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri berikutan prestasi buruknya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
"Parti akan mematuhi resolusi yang dibuat pada mesyuarat agung tahunan 2011 dan 2012 bahawa MCA akan menolak semua jawatan dalam kerajaan, jika prestasinya lebih teruk pada PRU13.
"Saya ingin menekankan bahawa keputusan itu (untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan) bukan datang daripada saya atau (timbalan presiden) Datuk Seri Liow Tiong Lai, atau mana-mana badan. Ia daripada EGM yang diluluskan sebulat suara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di Wisma MCA hari ini.
MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya pada PRU13, menyebabkan ia diberi gelaran memalukan 'seven-11 party' atau parti tujuh-11.
Pada 2008, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun.
Chua berkata keputusan drastik itu juga bagi menghormati keputusan pengundi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyedarinya.
Ditanya sama ada MCA akan mempertimbang untuk menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika ditawar oleh Perdana Menteri, beliau akan menjawab soalan itu selepas Perdana Menteri membuat keputusan dan mengumumkannya.
Sementara itu, Chua menafikan khabar angin bahawa banyak pusat khidmat MCA ditutup, dan berkata anggota parti berkenaan hanya ingin berehat selepas menjalani tempoh berpolitik yang lama selain kempen pilihan raya yang sengit.
"Tidak benar pusat berkenaan sudah ditutup... Saya fikir kami memahami hala tuju kami amat jelas iaitu akan terus menjadi pusat yang berorientasikan perkhidmatan, bukan seperti DAP yang tidak mempunyai satupun pusat khidmat masyarakat," katanya.
Beliau berkata banyak pusat berkenaan ditutup buat sementara waktu bagi menyesuaikan diri dengan senario politik yang baru.
"Sebagai contoh, sesetengah pusat dipanggil Pusat Khidmat Wakil Rakyat, namun kini mereka perlu menukar papan tanda kerana tidak lagi menjadi wakil rakyat.
"Rakyat harus menyoal DAP mengapa mereka tidak mempunyai pusat khidmat masyarakat. Mengapa mereka perlu bising apabila pusat khidmat MCA ditutup beberapa hari. Ini menunjukkan mereka masih memerlukan khidmat MCA," katanya. - Bernama