Sebagai
sebuah parti politik dan Gerakan Islam yang wujud agak lama (1951), PAS
mengharungi liku-liku perjuangan dengan penuh tenang, sabar dan matang.
Apatah lagi kehadirannya ketika ini mempunyai impak yang besar dalam
politik negara.
Tatkala DAP mendapat sokongan besar
rakyat khususnya kaum Cina dengan memenangi 38 kerusi parlimen, PAS
mengalami kemerosotan, apabila hanya memperolehi 21 kerusi parlimen pada
PRU13, Pas sudah tersasar dari 54 parlimen target seperti diumum Pengerusi Road
Map PAS Pusat, Datuk Husam Musa. Sementara menunggu laporan postmortem
PAS Pusat yang diketuai Naib Presiden, Sdr Salahudin Ayub, tentu sekali
muhasabah punca kekalahan teruk di sesetengah kawasan Melayu seperti di
kawasan luar bandar dan Felda dibincangkan dengan lapang dada.
Kehilangan
Kedah dari pemerintahan PAS dan Pakatan Rakyat, kegagalan merampas
semula Perak, kemerosotan kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan,
kehilangan satu-satunya Dun PAS di Negeri Sembilan, Paroi, kegagalan
memperolehi sekurang-kurangnya 20 Parlimen di Sabah dan Sarawak meskipun
dikatakan gelombang 'INI KALILAH' begitu luar biasa adalah sesuatu yang
sangat pahit untuk ditelan.
Apapun yang kita perkatakan mengenai
penipuan dalam pilihanraya, kegagalan SPR bertindak adil dan telus,
kehadiran pengundi hantu dan seribu satu macam dakwaan, pada ketika ini,
BN adalah pemenangnya!
Setelah PR mengadakan road tour Blackout
505 dan kemuncaknya anjuran 60 NGO di Amcorp Mall Petaling Jaya, Sabtu
lalu, apa lagi yang mahu dilakukan selepas ini?
Sementara menantikan petisyen
difailkan dalam masa terdekat, tugasan mengekalkan momentum sokongan
rakyat bukan perkara mudah. Sesetengah rakyat berpendapat, inilah
masanya baik BN atau PR yang mendapat mandat semula di Pulau Pinang,
Selangor dan Kelantan melaksanakan janji-janji dalam manifesto.
Notis
mesyuarat agung di semua peringkat telah dikeluarkan oleh Setiausaha
Agung PAS. Ia saluran terbaik untuk menyemak, menilai dan melakukan
koreksi terhadap kemampuan parti. Sama ada pemilihan secara syura atau
pertandingan, lakukan dengan penuh harmoni. Jika ada calon yang lebih
baik, boleh dicadang untuk menjadi pemimpin baru. Tidak perlu lobi
melobi, kerana perwakilan ada pilihan tersendiri berdasarkan kriteria
dan track record lalu.
Menuding jari mencari kesalahan
dan kelemahan orang lain memang mudah. Tidak semudahnya akur dengan
pertanggungjawaban atas bahu sendiri. Namun, bagi orang yang berjuang
atas kebenaran, bangkit dari kekalahan dan mara dengan semangat baru...
itulah keyakinan atas kemanisan iman!
Kalah dalam pilihanraya bukan bererti
tewas dalam perjuangan. Mencontohi perjuangan para Rasul, sahabat dan
pejuang terdahulu yang jauh lebih sukar; sesungguhnya menjadi motivasi
berguna.
PAS telah melalui tempoh-tempoh pilihanraya yg panjang
dan sukar. Ada waktu bersendirian dan bertahaluf. Usahakan untuk
meraikan pandangan berbeza dan kritis meskipun dari kawan PR kita,
blogger-blogger pro PR maupun lawan kita BN. Jangan rendahkan martabat
kita dengan jawaban atas komen secara keterlaluan.
Bagi saya
pimpinan tertinggi PR harus bertemu dalam masa terdekat untuk jernihkan
suasana. Bincang hala tuju parti dan buat rumusan serta tentukan
keutamaannya bagi hari-hari yang mendatang. Baik Dewan Pemuda PAS dan
AMK, anda adalah harapan anak muda. Tidak manis guna medan yang tidak
sesuai. Tangani dengan penuh bijak atas keluasan intelektual
masing-masing. Pemimpin mesti berjiwa besar, jangan rendahkan martabat
diri dengan kenyataan yang penuh emosi dan tidak menguntungkan sesiapa.
Selaku
AJK PAS Pusat dan Presiden ANAK, saya memikul tanggunjawab atas
kemerosotan prestasi khusus di kawasan Felda. 18 Mei lalu pimpinan ANAK
mengadakan perbincangan panjang mengenai halatuju ANAK dan proses
penjenamaan semula ANAK. Saya sedang merangka proses peralihan kepada
pemimpin pelapis ANAK, suatu nafas baru dari pemimpin sedia ada. Akan
tiba masanya, saya perlu berundur untuk memberi ruang kepada pemimpin
lain yang lebih berwibawa.
ANAK mesti diperkasa seperti NGO-NGO
lain. Biar bagaimana sekalipun layanan rakyat kepada kita; cemuhan,
fitnah, maki hamun dll, mereka adalah mad'u dan pengundi kita. Anggaplah
kita yang silap, semak pendekatan, kekuatan akar umbi dan kedudukan
kita di tengah masyarakat.
Insya Allah, PAS akan terus berada di
persada politik negara dengan segala kemampuannya dan menyumbang untuk
kepentingan masyarakat majmuk. Siapa pun yang menerajui parti khususnya
selepas Muktamar November ini; keutamaannya adalah menegakkan perjuangan
yang suci dan murni ini...
Daripada terus membicarakan polemik
ulama atau profesional, yang kadang kala perdebatannya jadi kasar dan
hilang adab, adalah lebih baik fokus kepada dasar perjuangan dan khidmat
bakti kita untuk masyarakat. Mengaku kelemahan diri dan hormati
pandangan pihak lain.
Mudah-mudahan kita terus mantap dalam satu pasukan, harapan rakyat hari ini dan masa depan.
PAS FOR ALL