Selepas
 berlangsungnya lapan siri perhimpunan Blackout 505 di seluruh negara, 
kini perhimpunan kesembilan dan terakhir yang digelar 'Perhimpunan Suara
 Rakyat 505' - akan berlangsung di Petaling Jaya jam 5 petang ini.
Perhimpunan,
 di mana NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) adalah antara 
penganjur utamanya, diadakan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan 
raya dan salahlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Pihak
 berkuasa menyiasat atau medakwa mereka yang terlibat dalam penganjuran 
perhimpunan Blackout 505 di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA), kerana 
didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada pihak polis.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid 
Hamidi
 (kanan) dilaporkan berkata perhimpunan hari ini merupakan "satu 
tindakan provokasi" dan tidak mengikut peruntukan di bawah APA.
Perhimpunan sebelum ini telah menarik puluhan ribu orang - 
yang
 terbesar diadakan di stadium Kelana Jaya tidak jauh dari tempat 
perhimpunan hari ini. Kira-kira 120,000 orang membanjiri perhimpunan 
pada 8 Mei itu - sama ada di luar atau di dalam stadium yang penuh 
sesak.
Bagi perhimpunan hari ini - di Dataran Petaling Jaya - 
mempunyai kapasiti maksimum kira-kira 80,000. Jika mengambilkira 
perhimpunan sebelum ini, maka ia juga dijangka dibanjiri puluhan ribu 
hadirin.
LAPORAN LANGSUNG
11.45pm: Selepas tujuh jam, perhimpunan Suara Rakyat 505 berakhir dengan hadirin menyanyikan lagu 
Negaraku.
Sebelum
 itu, pengacara Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau memerlukan 
500,000 sukarelawan untuk berarak ke SPR, membayangkan terdapat 
perhimpunan yang jauh lebih besar sedang dirancang.
Sewaktu 
menutup majlis beliau menyeru orang ramai mendaftar diri sebagai relawan
 Suara Rakyat 505 di laman Facebook gerakan itu dan mendesak seluruh 
pimpinan tertinggi SPR meletak jawatan.
"Rakyat akan bergerak ke pejabat SPR sehingga SPR dibubarkan," katanya. 
11.20pm:
 Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata beberapa perancangan 
Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan kerana tidak dapat membentuk 
kerajaan persekutuan.

Apapun, Anwar (kiri) berkata, Pakatan tidak akan berputus asa dan BN-lah yang sepatutnya menerima kekalahan.
Menurutnya,
 White House mengucap tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib 
Tun Razak dengan syara pilihan raya mestilah bebas dan adil.
"Sebab itu SPR mesti letak jawatan sekarang! Sekarang! Sekarang!" katanya.
Beliau
 berkata Isnin adalah hari terakhir bagi orang ramai membuat laporan 
polis mengenai penipuan pilihan raya dan menggesa mereka berbuat 
demikian, terutamanya mengenai "dakwat kekal" yang boleh ditanggal.
"Kita
 ikut pertahankan cara yang aman. Kita akan berhimpun dan bergerak bila 
perlu tapi mulai Ahad dan Isnin, buat laporan dan kita mahu puluhan ribu
 laporan dibuat," katanya.
Beliau berkata, masih ada beberapa lagi perhimpunan Blackout  505 yang akan diadakan.
"Adakah kita teruskan atau berhenti di sini?" beliau bertanya orang ramai menjawab, "Teruskan!".
Beliau kemudian berjanji bahawa sebaramg gerakan rakyat akan dilakukan secara aman. 
11.05pm:
 Pengerusi Badrul Hisham Shaharin meminta lampu di Dataran PJ dipadamkan
 dan meminta hadirin menggunakan telefon dan pemetik api untuk menerangi
 tempat tersebut.

Idea
 ini ialah untuk meraikan pembebasan Adam Adli, seorang aktivis pelajar 
yang berdepan dengan tuduhan menghasut. Adam kini berada di Pulau Pinang
 mengunjungi ibunya yang sakit itu.
Hadirin memenuhi permintaan 
tersebut dengan menjulang telefon mereka dan suasana di situ kelihatan 
seperti sekumpulan kelip-kelip.
Badrul Hisham menganggarkan jumlah hadirin telah meningkatkan kepada 70,000. 
10.45pm: MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengumumkan Pakatan akan mengheret SPR ke mahkamah berhubung isu pilihan raya.

"Mula minggu depan, kita akan saman pimpinan tertinggi SPR berkenaan dakwat kekal.
"Kamu (SPR) tidak akan lepas dari cengkaman undang-undang.
"Kita akan pastikan mereka bayar harga 'jenayah' mereka dan keadilan ditegakkan.
"Ingat, masa yang sukar tidak kekal lama tapi orang yang kuat dan tegar, kekal lama.
"Kita akan tunjukkan kekuatan kita kepada BN," katanya.
10.40pm - Haris Ibrahim menggesa orang ramai supaya memboikot organisasi media yang berat sebelah atau memihak kepada BN.
Berikutan
 itu, beliau mengumumkan bahawa kumpulan ABU (Asalkan Bukan Umno) telah 
menyediakan klip video untuk menunjukkan bagaimana BN telah menipu dalam
 pilihan raya umum.
"Kita memerlukan rakyat membawa video ini ke 
kwasan pedalaman supaya saudara-saudara kita di kampung-kampung tahu 
mereka pun sudah ditipu," kata Haris. 
 10.30pm
10.30pm - Selepas berkongsi lokap di Jinjang, Tian Chua (kiri) dan Haris Ibrahim berkongsi pentas pula malam ini.
"Jangan
 fikir dengan tangkapan ini kita akan takutkan rakyat. Rakyat tidak 
takut. Yang takut, yang panik bukan kami, bukan tokoh Pakatan Rakyat, 
bukan aktivis masyarakat. 
"Yang paling takut adalah orang yang 
pegang kuasa tanpa legitimacy, orang yang pegang kuasa tapi tidak 
didokong oleh rakyat. itulah sebab mereka takut," tegas Tian. 
10.20pm -
 Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga berkata, beliau tidak 
dijadualkan untuk berucap hari ini tetapi penahanan Adam Adli, Tian 
Chua, Haris Ibrahim dan Datuk Tamrin Ghaffar telah mendorongnya untuk 
berucap.
Beliau menggesa mereka yang mempunyai bukti penipuan pilihan raya supaya mengemukakannya kepada tribunal rakyat BERSIH.
Sehubungan
 itu, katanya, seandainya SPR masih mempunyai maruah, maka mereka mesti 
meletakkan jawatan sekarang dan kegagalan penggunaan dakwat kekal 
merupakan alasan yang sudah cukup untuk mereka berbuat demikian.
 9.45pm
9.45pm
 - MP Pandan Rafizi Ramli (kiri) berkata tidak akan ada penjara yang 
mencukupi untuk kerajaan memenjarakan semua orang yang menyuarakan 
bantahan terhadap penipuan pilihan raya.
Rafizi, yang 
mempengerusikan jawatankuasa Pakatan menyiasat penipuan pilihan raya, 
berkata rakyat telah hilang keyakinan terhadap SPR kerana telah 
melanggar janji mereka.
"Jika rakyat berkata terdapat penipuan, bukan tugas mereka untuk menyiasat?" tanya Rafizi.
"Mulai
 minggu depan kita akan failkan 29 petisyen pilihan raya dan kita minta 
semua istiqamah,. Kita akan  berjumpa di Dataran Merdeka selepas ini 
sehinggalah tuntutan kita dipenuhi," katanya.
Rafizi membayangkan kemungkinan akan adanya himpunan BERSIH 4.0. 
 9.30pm:
9.30pm: Orang ramai membanjiri padang Dataran PJ dan CheguBard mengumumkan himpunan malam ini mencatat kehadiran 50,000 orang. 
9.20pm: Penyanyi blues, Ito menyanyikan lagu 'Ubah Sekarang' dan orang ramai berdiri melambaikan tangan mengiringi nyanyiannya.
9.20pm
 - MP Kuantan, Fuziah Salleh sedang bercakap sekarang dan katanya, gaji 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri  Abdul Aziz Yusoff tidak 
akan menjadi "halal" jika SPR terus mengabaikan pendapat orang ramai. 
 9.15pm:
9.15pm: Penyanyi Dayangku Intan (
kanan) yang bertanding di Parlimen Pengerang berkata Pakatan Rakyat memenangi hati rakyat selepas pilihan raya umum.
Beliau turut mengambil kesempatan menyanyikan serangkap lirik lagu popularnya. 
"Aku berpaut di dahan cinta, Masih mengharap kehadirannya,
 Aku berpaut didahan cinta, Masih mengharap kehadirannya," disambut tepukan hadirin.
9.10pm: Badrul Hisham Shaharin mengambil tugas pengerusi majlis dan memperkenalkan pemimpin Ronnie Liu naik ke pentas.
Beliau menegaskan perlunya reformasi sistem pilihan raya "jika tidak, kita tidak akan sampai ke Putrajaya".
"Saya percaya sudah tiba masanya kita melancarkan BERSIH 4.0!" katanya sambil mendapat tepukan gumuruh hadirin. 
9.00pm: Perhimpunan diteruskan, jumlah hadirin telah meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 20,000 orang. 
 8.00pm:
8.00pm: Hujan renyai-renyai tetapi orang ramai masih tidak berganjak, dan ada yang membuka payung. 
7.30pm: Jumlah hadirin meningkat kepada 10,000 orang dan jumlah itu kurang daripada yang dijangkakan oleh pihak penganjur.  
7.15pm:
 Ketua NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, 
yang lebih dikenali sebagai Chegubard, berucap menggesa peserta mengajak
 rakan-rakan mereka menyertai perhimpunan tersebut.
"Malam ini 
kita akan bersama 'kereta perisai' Reformasi, Tian Chua dan belum sempat
 kita telefon untuk jemput dia, dia dah kata nak datang - pejuang rakyat
 Haris Ibrahim!" umum Chegubard.

Badrul
 Hisham, yang dipercayai dikehendaki pihak polis kerana didakwa membuat 
"ucapan berunsur hasutan", berkata penganjur perhimpunan itu berkempen 
untuk tiga isu:
1. Bahawa semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya meletakkan jawatan;
2. Pilihan raya diadakan semula di kawasan di mana berlaku penipuan; dan,
3. Menubuhkan tribunal rakyat untuk membolehkan orang ramai melaporkan penipuan pilihan raya.
Selepas Badrul Shaharin bercakap, majlis itu ditangguhkan seketika untuk solat maghrib. 
6.45pm
 - Aktivis pelajar KS Bawani, yang menjadi terkenal kerana ungkapan 
"Listen, listen, listen" yang turut berucap, menggesa hadirin supaya 
mengajak rakan-rakan dan saudara-mara mereka supaya menyertai 
perhimpunan untuk menegakkan hak rakyat. 
6.40pm: Pengacara
 majlis, aktivis mahasiswa Ekhsan Bukharee menggesa peserta yang berada 
di kawasan tengah padang agar tidak merokok demi keselesaan peserta 
wanita dan golongan lain yang tidak merokok.
6.27pm: Seorang pelawak Leman Raja Lawak dan artis Abby Abadi turut muncul di pentas pidato petang ini.

Leman dalam ucapannya mengambil peluang untuk menyindir gaya rambut isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
"Tanya
 sama Rosmah, kenapa rambut kembang, nanti jawab Rosmah, tupai buat 
sarang," kata Leman yang menyanyikan lagu 'Tanya Sama Pokok' dengan 
lirik diubah suai.
6.20pm: Timbalan
 ketua menteri Pulau PInang Rashid Hasnor ketika berucap mendakwa 
Pakatan telahpun memenangi pilihan raya umum ke-13 apabila meraih 51 
peratus undi popular.
"Walaupun kita tewas, tapi sebenarnya kita menang," katanya.
Beliau juga meminta orang ramai agar terus menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Satu undi untuk Pakatan adalah satu undi bagi Anwar menjadi PM,katanya.
 6.10pm:
6.10pm: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali antara pemimpin Pakatan Rakyat yang paling awal muncul di Dataran Petaling Jaya.
Menurut
 Azmin, beliau hadir ke himpunan ini pada sebelah petang kerana akan 
menghadiri majlis di Batu Caves anjuran ADUN Batu Caves, Amir Shari pada
 sebelah malam.
5.45pm: Seorang wakil dari NGO 
menuntut bayaran Royalti minyak kepada Kelantan dalam ucapannya menggesa
 agar SPR diletakkan di bawah tanggungjawab parlimen dan bukannya di 
bawah jabatan perdana menteri.
"Kami, anak muda Malaysia, mahu pilihan raya umum diadakan semula," katanya.
5.40pm: Imam
 masjid yang pernah dipenjarakan kerana membaling selipar kepada hakim, 
Imam Hoslan dalam ucapannya memberitahu orang ramai isterinya melahirkan
 anak ke-11 mereka sewaktu beliau dipenjarakan.

"Jangan
 takut untuk beranak ramai-ramai tuan-tuan dan puan-puan kerana 
anak-anak kita yang ramai ini akan menumbangkan semua mereka yang 
zalim," laung Imam Hoslan disambut sorakan orang ramai.
5.30pm: Hanya
 beberapa orang anggota polis dilihat berkawal di perhimpunan hari ini. 
Sebilangan anggota tersebut dilihat mengawal lalulintas.
5.27pm: Aktivis siswa Safwan Anang menjadi individu pertama berucap.
“Ada
 sesetengah orang tak faham bahasa, mereka kata jika orang yang tidak 
puas hati dengan keputusan pilihan raya, boleh keluar dari Malaysia. Ini
 kenyataan bodoh, betul atau tidak?," katanya yang disambut dengan 
laungan "Ya" oleh para peserta.
 5.24pm:
5.24pm: Orang ramai berdiri tegak apabila acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku.Malah,
 individu yang dilihat sedang menyeberang jalan dari kompleks Amcorp 
Mall juga berhenti di tengah jalan dan berdiri tegak sewaktu lagu 
kebangsaan dinyanyikan.
5.15pm: Pengerusi majlis memulakan acara dengan mengumumkan tiga tujuan utama untuk mengadakan perhimpunan hari ini:
- menuntut pemimpin SPR meletak jawatan.
- menuntut pilihan raya diadakan semula di kawasan yang disyaki berlaku penipuan
- menyokong tribunal BERSIH untuk menyiasat dakwaan kes penipuan pilihan raya.
Sementara itu, jumlah peserta semakin meningkat - kini dianggarkan 5,000 orang di kawasan padang.
4.45pm: Jumlah peserta meningkat kepada kira-kira 500 orang dalam suasana yang semakin meriah.Salah
 seorang peserta, Yusri Mohd Yusof berkata perhimpunan ini bagi 
menyatakan kemaharan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya atas dakwaan 
penipuan yang berlaku dalam pilihan raya.

Pensyarah
 berusia 41 tahun itu yang turut hadir di perhimpunan di Kelana Jaya 
berkata beliau berharap perhimpunan kali ini sebagai perhimpunan paling 
besar.
Ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri 
Ahmad Zahid Hamidi bahawa perhimpunan hari ini tidak menepati keperluan 
Akta Perhimpunan Aman 2012, Yusri berpendapat sebaliknya.
Katanya, para peserta tidak menyebabkan kekacauan atau mengadakan perhimpunan jalanan.
"Kita hanya berhimpun di sini secara aman," katanya.
4.42pm:
 Salah satu gerai yang dibuka di kawasan perhimpunan ini didapati cuba 
mengumpul 100,000 tandatangan individu yang menuntut demokrasi.

Individu
 yang mengusahakan projek tersebut, yang enggan dinamakan berkata beliau
 akan menyerahkan nama berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi 
menekan kerajaan agar mendengar tuntutan rakyat.
4.30pm: Kelihatan beberapa trak FRU yang melalui jalan dekat padang Dataran PJ.
Bagaimanapun, tidak ada anggota polis dilihat berhampiran padang.
 4.15pm:
4.15pm:
 Jumlah orang berpakaian hitam semakin meningkat kepada ratusan orang, 
tetapi padang masih kosong. Sebaliknya, orang ramai berkumpul di sekitar
 gerai makanan di luar padang.
Kira-kira 50 peserta protes berbaris Persiaran Barat, melaungkan "Reformasi", "Hidup Rakyat" dan beberapa slogan lain.
Mereka menggesa kereta yang melalui jalan utama untuk membunyikan hon tanpa sokongan.
Pemimpin
 DAP, Hew Kuan Yau aka 'Superman' menjual baju-T yang memaparkan foto 
wajahnya bersama logo Superman. Dari masa ke semasa, penceramah popular 
itu diminta peminatnya untuk bergambar.
3.01pm: 
Kira-kira 100 orang kini berada di sekitar dataran tersebut, 
kebanyakannya berpakaian hitam dan mencari perlindungan dari pancaran 
panas matahari yang sekitar 33 darjah Celsius dengan yang terang.
Ada
 yang memilih untuk membeli-belah di Amcorp Mall yang berhawa dingin di 
seberang jalan, dengan berpakaian baju hitam perhimpunan Blackout 505.

Setakat
 ini tidak kelihatan kehadiran kehadiran polis dan penganjur masih sibuk
 menyediakan pentas, tetapi laluan kaki lima di padang itu dan 
berhampiran stesen LRT Taman Jaya sudah dipenuhi gerai menjual makanan 
dan barangan.
Walaupun notis mempromosi perhimpunan itu - yang 
diedarkan melalui media sosial - termasuk amaran "Vuvuzelas diharamkan",
 tetapi ia masih dapat didengar.

Beberapa
 penyokong juga telah berbaris di sepanjang jalan untuk melaungkan 
slogan politik, manakala pemandu yang lalu di situ turut membunyikan 
hon.
Lalulintas masih lancar di kawasan itu, tetapi jalan empat 
lorong di luar padang semakin sesak apabila lebih banyak kereta diletak 
di tepi jalan, memaksa trafik menggunakan hanya satu lorong di setiap 
arah. 
-M'kini