Ikuti Blog ini

'Bantah Pembaziran, Selamatkan Rakyat' dilancar 9 Ogos

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) hari ini mengumumkan enam langkah yang akan diambil bagi membantah kenaikan harga barangan keperluan asas yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Bantahan tersebut dibuat ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) yang didakwa boleh dielakkan jika kerajaan tidak membazir, tidak rasuah dan mengelak ketirisan dalam penggunaan wang negara.

Demikian diumumkan penyelaras Protes, Dr. Hatta Ramli selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program bantahan terhadap kenaikan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor(KLSCAH),dekat sini hari ini.

"Pada hari ini seperti yang diwarwarkan kita membincangkan respon rakyat terhadap kenaikan harga barang yang di pihak kerajaan tiada kenaikan.semuanya turun. Kita percaya ini merupakan langkah awal kerajaan. Kita tidak boleh diam sahaja, nanti satu persatu harga barang dinaikkan," katanya.

Dengan slogan 'Bantah Pembaziran, Selamatkan Rakyat', pelancarannya akan diadakan pada 9 Ogos ini di Kampung Kerinchi jam 6 petang.

Kampung Kerinchi dipilih untuk pelancaran kempen berkenaan kerana majoriti penduduk di kawasan itu terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah dan sederhana, yang begitu terjejas dengan kenaikan harga barang.

Gabungan terdiri daripada parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga akan menyediakan sebanyak mungkin bahan makluman dan bacaan dalam bentuk risalah dan buku kecil untuk diedarkan kepada rakyat sepanjang tempoh kempen, sehingga kerajaan menurunkan kembali harga barang.

Selain itu juga, Protes akan mengadakan beberapa siri protes di peringkat negeri di seluruh negara.

"Kita akan selaraskan dan masa, tempat, aktiviti kita akan umumkan dari semasa ke semasa di seluruh negara," katanya.

Protes juga memutuskan untuk mengadakan jelajah ke negeri-negri dalam bulan Syawal ini dengan menaiki bas.

Pimpinan parti politik diajak bersama dalam siri jelajah itu bagi turun bertemu rakyat melalui aktiviti himpunan ringkas dan ceramah.

Protes juga jelasnya akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pada 14 Oktober bersempena persidangan Dewan Rakyat.

Sekiranya kesemua langkah ini tidak dipedulikan kerajaan, Dr. Hatta menegaskan, Protes tidak teragak-agak untuk mengadakan satu lagi demonstrasi besar-besaran.

Beliau yang juag bendahari PAS bagaimanapun berkata, demonstrasi merupakan jalan terakhir setelah ruang yang panjang diberikan kepada kerajaan untuk mengubah tindakan mereka.

"Dan yang terakhir, setelah usaha-usaha ini dilakukan, tapi tidak jalan juga, barulah kita buat demonstrasi yang besar. Jadi sangat bergantung kepada respon kerajaan terhadap tuntutan kita.

"Kalau mereka masih tidak mahu mendengar suara rakyat, kita akan berdemo. Tapi kita tunggu sehingga hari akhir sidang Parlimen. Kalau mereka masih berdiam diri, kita akan umumkan masa dan tempat untuk kita berdemo dalam bula Disember ini," tegasnya.

Protes dalam sidang media sama turut menyenaraikan lima tuntutan mereka kepada kerajaan iaitu mahu kerajaan menghapuskan pembaziran dan ketirisan dalam projek-projek pembangunan, melakukan penstrukturan semula subsidi sebelum menurunkannya dan mendesak kerajaan melaksanakan akta gaji minima.

Selain itu, Protes menuntut kerajaan mengembalikan harga barangan yang dinaikkan ke harga asal dan yang terakhir menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai subsidi RM4.6 bilion yang didakwa berjaya diselamatkan apabila harga bahan bakar diturukan pada Februari 2006.

"Dikatakan wang ini akan digunakan untuk menaik taraf pengangkutan awam di negara ini tapi sekarang apa yang dilakukan dan ke mana wang itu?" soalnya.

Turut bersama pada sidang media berkenaan ahli Parlimen Lembah Pantai mewakili PKR, Nurul Izzah Anwar, pengerusi lajnah penerangan Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al Jundi, setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan, bendahari Jemaah Islah Malaysia, Naha Mohd Nor, serta wakil-wakil dari Gabungan Persatuan Islam Malaysia (Gamis), Kelab Mahasiswa Independent (KAMI) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Dun Perak: Adun PR hadir atas notis Sivakumar

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak akan menghadiri sidang Dun pada 3 Ogos ini setelah mendapat notis panggilan daripada speaker yang sah, V. Sivakumar.

Demikian dimaklumkan Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.

"Kami telah menerima surat daripada speaker yang sah V. Sivakumar untuk kami hadir bersidang pada 3 Ogos jam 10 pagi. Jadi kami akan hadirlah oleh kerana kami dapat surat daripada Speaker V. Sivakumar," katanya.

Menurut Nizar, Speaker BN, R. Ganesan juga telah menghantar notis panggilan ke sidang Dun berkenaan kepada mereka.

Namun beliau menegaskan, keputusan untuk hadir ke sidang Dun berkenaan adalah kerana menerima suart daripada V. Sivakumar, bukan kerana panggilan daripada R. Ganesan.

"Kami akan hadir kerana surat daripada V. Sivakumar, bukan kerana notis daripada speaker haram itu," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga berharap agar persidangan kali ini akan berjalan lancar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kami telah bagitahu kami mahukan persidangan ini berjalan lancar, licin dan mengikut peraturan biasa dan diberikan senaskhah agenda dan peraturan mesyuarat.

"Sehingga hari ini kami tidak menerima apa-apa agenda daripada speaker haram. Jadi kami tidak tahu apa yang akan terjadi dan yang akan dibahaskan dalam persidangan.

"Dia (R. Ganesan) tidak sebutkan dalam surat agenda-agenda seperti agenda soal jawab lisan dan sebagainya jadi kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada 3 haribulan itu," katanya.

Kali terakhir, Dun Perak bersidang adalah pada 30 dan 31 Mac lalu dengan mencatatkan sejarah sidang Dun paling singkat setakat ini. -Hrkh

Kredibiliti Saiful Tercampak Ke Tong Najis, Gugurkan Segera Kes Liwat!

DPP Farah didakwa ‘bercinta’ Saiful digugur dari pasukan pendakwa

Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif sebagai anggota pasukan pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan hubungan romantik dengan saksi utama dan pengadu.

Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan tindakan itu ekoran dakwaan bahawa Farah Azlina menjalin hubungan romantik dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes itu.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan saksi utama kes tersebut.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

“Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius,” katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

“Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

Semalam peguam Anwar mendesak Peguam Negara memberi respons kepada dakwaan Raja Petra Kamarudin dalam blognya minggu lalu.

Raja Petra mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwa, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider minggu lalu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof.

Pasukan pendakwa terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina sendiri.

Kata Mohd Yusof, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

Selain itu menurut beliau, anggota berkenaan juga pendakwa raya yang turut mengendalikan kes-kes lain.

“Jika kami memutuskan untuk tidak menyertakan dia dalam pasukan kami, ia adalah kerana kami boleh mengendalikan kes ini tanpa dia... ini kerana dia juga ada kes lain untuk dikendalikan,” kata Mohd Yusof lagi.

Mohd Yusof sambil berkata beliau tiada maklumat mengenai tuduhan terbaru ini, apa yang dilakukan oleh anggota pasukannya adalah urusan peribadi.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes liwat Anwar, Ketua Pembangkang, ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. -TMI


Ternyata bahawa kredibiliti Saiful sebagai pengadu dan saksi utama kes liwat 2 hancur berderai dan Saiful adalah seorang manusia yang tidak berkahlak, tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti untuk berdiri sebagai seorang saksi di mahkamah.

Kali pertama dulu ialah pengakuan Saiful sendiri di mana seluar dalam LEVI'S warna biru gelap yang dipakai pada hari kejadian, telah diserahkan di rumah tunangnya yang diambil di mesin basuh. Menjelaskan kepada kita bahawa beliau bukan muslim yang baik apabila ada hubungan semacam itu dengan tunangnya.

Kini kali kedua - yang pasti lebih hebat - perlakuan yang lansung jauh dari akhlak Islamiah apabila beliau didakwa ada mengadakan hubungan sulit dengan anggota perempuan pasukan pendakwa.

Jika mahkamah meneruskan juga kes liwat tersebut, amat nyata bahawa sistem kehakiman kita sebenarnya bersubahat dengan pihak yang sengaja mahu menganiaya Anwar Ibrahim, tidak kira hebat mana sekalipun hakim berkenaan.

Ternyata juga bahawa Peguam Negara nampaknya seolah-olah seperti mahu meneruskan juga kes tersebut sekalipun tampak jelas kewibawaan Saiful kini tercampak ke tong najis selaku pengadu dan saksi utama, dan masyarakat tidak akan lagi mempercayai sistem kehakiman negara yang selama ini penuh dengan korupsi dan amat berat sebelah.

Ia akibat perbuatan dari Peguam Negara dan para hakim durjana yang menjadikan diri mereka lembu-lembu politikus UMNO BN.

Nak putar apa lagi? -GB

Guru Berpolitik; BN Menagih Sokongan Guru

http://buletinonline.net/images/stories/berita30/ksn.jpgKUALA LUMPUR, — Penganalisis-penganalisis politik melihat keputusan terbaru kerajaan membenarkan guru — antaranya guru besar dan pengetua — terlibat aktif dalam politik hanya semata-mata untuk mendapatkan semula sokongan golongan tersebut dan juga masyarakat menjelang pilihanraya umum ke-13.

Ini kerana menurut beberapa penganalisis, guru mempunyai pengaruh besar, jadi penglibatan mereka dalam politik boleh digunakan untuk mempengaruhi masyarakat terutamanya ketika pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan kerajaan membenarkan guru aktif berpolitik mungkin kerana ingin mendapatkan semula sokongan yang terhakis saban tahun.

“Saya lihat keputusan itu ada kaitan dengan pilihan raya umum kerana apabila guru aktif berpolitik mereka boleh memainkan peranan untuk mempengaruhi masyarakat,” katanya.

“Boleh dikatakan kerajaan (mahu) menggunakan pengaruh guru untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat.

“Ini kerana bagi saya guru mempunyai pengaruh yang besar memandangkan mereka adalah pemimpin dalam sekolah, jadi apabila terlibat dalam politik ia boleh mempengaruhi masyarakat,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dengan adanya pengaruh guru ini, jelas beliau, secara tidak langsung generasi muda akan mengikut mendokong sama perjuangan guru.

“Sebelum ini pun guru merupakan pejuang asal cuma pada tahun 1990 golongan ini diketepikan selepas golongan korporat terlibat dalan Umno,” ujar beliau.

Pun begitu katanya, apabila kerajaan membenarkan semula guru terlibat dalam politik saya melihat ia satu perkara yang bagus memandangkan selama ini guru memang mendokong perjuangan kerajaan.

“Apabila guru terlibat dalam politik sama ada menyokong kerajaan ataupun pembangkang kerajaan, masyarakat akan melihat perkara ini dan ia boleh mempengaruhi mereka nanti,” katanya.

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan (Gambar) hari ini.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” kata beliau hari ini.

Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman juga berkata, penglibatan guru dalam politik boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi masyarakat.

“Pengaruh guru ini besar, jadi bila dibenarkan semula terlibat dalam politik ia boleh mempengarui masyarakat tempatan.

Langkah benar guru siswazah aktif berpolitik agenda BN hadapi PRU-13?

“Apabila kita benarkan guru bercakap di kampung mereka boleh mempengaruhi masyarakat, jadi bagi saya guru mempunyai pengaruh yang amat besar.

“Walaupun saya tidak tahu apa agenda sebenarnya kerajaan membenarkan guru aktif berpolitik semula tapi ia merupakan satu langkah yang bagus,” katanya.

Selain itu, Nidzamuddin berkata kerajaan juga perlu membenarkan kakitangan kerajaan lain untuk sama-sama aktif dalam politik memandangkan mereka juga sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam.

“Jadi timbul persoalan, mengapa mesti guru sahaja? Adakah guru lebih layak?

“Perlu ada satu penjelasan akan perkara ini oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata guru yang ingin terlibat secara aktif perlu mengimbangi soal politik dan juga kerja.

“Secara dekat kita lihat guru ini mempunyai kecenderungan yang berbeza, ada yang sokong kerajaan dan ada pembangkang.

“Jadi adakah guru boleh membezakan soal politik dan kerja? Kita tidak mahu melihat hanya kerana berbeza politik guru berselisih pendapat, bergaduh dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, keputusan itu dibuat mungkin disebabkan peredaran masa yang memerlukan penglibatan guru dalam politik.

“Penglibatan guru akan membolehkan peningkatan sosial, malah ia selari dengan peredaran suasana politik sekarang.

“Saya tidak melihat ia ada kaitan dengan pilihan raya umum kerana ia lebih kepada keperluan pemimpin dari kalangan guru.

“Ini barangkali guru boleh memainkan peranan sebagai pemimpin sebuah parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyarankan agar guru yang terlibat dalam politik perlu tahu membezakan antara politik dan juga pekerjaan.

“Ini kerana apabila guru terlibat dalam politik ada positif dan negatif. Yang positifnya guru boleh memainkan peranan besar dalam parti politik.

“Sementara itu, yang negatifnya pula jika guru tidak dapat membezakan antara politik dan kerja ia akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat.

“Jadi bila terlibat dalam politik, setiap guru perlu mengimbangi antara soal politik dan kerja. Jangan sesekali mencampurkannya kerana nanti yang akan menerima kesan adalah sekolah dan juga masyarakat,” katanya.

Justeru Sivamurugam mencadangkan agar ada satu badan pemantauan untuk memantau pergerakan guru yang terlibat dalam politik.

“Pengaruh guru ini amat besar dan ia boleh mempengaruhi anak-anak, pelajar, rakan sebaya dan juga sekolah.

“Jadi kalau tidak ada pemantauan bimbang guru akan menjadikan sekolah sebagai tempat berpolitik dan kita tidak mahu kejadian guru bergaduh sesama sendiri hanya kerana mempunyai idealogi politik berbeza,” katanya.-MalaysianInsider

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .