Ikuti Blog ini

Dun Perak: Adun PR hadir atas notis Sivakumar

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak akan menghadiri sidang Dun pada 3 Ogos ini setelah mendapat notis panggilan daripada speaker yang sah, V. Sivakumar.

Demikian dimaklumkan Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.

"Kami telah menerima surat daripada speaker yang sah V. Sivakumar untuk kami hadir bersidang pada 3 Ogos jam 10 pagi. Jadi kami akan hadirlah oleh kerana kami dapat surat daripada Speaker V. Sivakumar," katanya.

Menurut Nizar, Speaker BN, R. Ganesan juga telah menghantar notis panggilan ke sidang Dun berkenaan kepada mereka.

Namun beliau menegaskan, keputusan untuk hadir ke sidang Dun berkenaan adalah kerana menerima suart daripada V. Sivakumar, bukan kerana panggilan daripada R. Ganesan.

"Kami akan hadir kerana surat daripada V. Sivakumar, bukan kerana notis daripada speaker haram itu," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga berharap agar persidangan kali ini akan berjalan lancar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kami telah bagitahu kami mahukan persidangan ini berjalan lancar, licin dan mengikut peraturan biasa dan diberikan senaskhah agenda dan peraturan mesyuarat.

"Sehingga hari ini kami tidak menerima apa-apa agenda daripada speaker haram. Jadi kami tidak tahu apa yang akan terjadi dan yang akan dibahaskan dalam persidangan.

"Dia (R. Ganesan) tidak sebutkan dalam surat agenda-agenda seperti agenda soal jawab lisan dan sebagainya jadi kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada 3 haribulan itu," katanya.

Kali terakhir, Dun Perak bersidang adalah pada 30 dan 31 Mac lalu dengan mencatatkan sejarah sidang Dun paling singkat setakat ini. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .