
   Buletin Online - Kepimpinan Umno Cawangan Banggol Donas termasuk sayap  puterinya  mendakwa Umno dan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN)  Terengganu  khianat dan zalim.
Pengkhianatan dan kezaliman yang dilakukan itu  tanpa mempedulikan hak  serta nasib rakyat yang terlibat dengan  pengambilan balik tanah bagi  Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol  Tuan Muda melalui Kampung  Banggol Donas.
Ketua Puteri Umno  cawangan Banggol Donas, Puan Rosni Hassan, 37,  melahirkan rasa dukacita  terhadap sikap wakil rakyat Barisan Nasional  dan kerajaan negeri.
Katanya,  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Abdul  Rahin Mohd  Said langsung tidak mahu berbincang dengan penduduk  terbabit.
“Saya  ini Ketua Puteri Umno cawangan (Banggol Donas), kita buat  bantahan  kepada semua pihak termasuk pihak Suhakam, jabatan-jabatan,  menteri  besar, kementerian hingga kepada Perdana Menteri.
“Saya cukup  kecewa dan ‘meluat’ dengan Umno dan Barisan Nasional  sekarang. Apa lagi  untuk sebut Puteri Umno…‘meluat’ sungguh kepada kami  sekarang,” ujarnya  dengan gimik muka yang jengkel.
Beliau berkata demikian ketika  ditemui selepas menyerahkan laporan  kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat  10, Wisma Persekutuan, dekat sini,  hari ini.
Menurutnya, demi kepentingan projek pihak tertentu  nasib rakyat  termasuk di kalangan ahli dan penyokong Umno-BN sendiri  diabaikan.
Hari ini (12 Jun), sekumpulan wakil penduduk Kampung  Banggol Donas yang  tanah warisan mereka ‘dirampas’ secara terhormat atas  nama pembangunan  datang beramai-ramai ke pejabat SPRM di Wisma Darul  Iman.
Malah, kedatangan kumpulan tersebut turut membawa warga  emas serta  kanak-kanak sebagai ‘protes’ terhadap pengambilan balik tanah  yang  tidak mengikut peraturan serta disyaki berlaku unsur  penyelewengan.
Memorandum diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa  Bertindak Penduduk  Kampung Banggol Donas, Salleh Embong kepada Timbalan  Pengarah SPRM  Terengganu, Encik Azmi Yusuf pada jam10.30 pagi setelah  pertemuan  selama satu jam.

Pada   11 Mei lalu, kumpulan yang sama telah menyerahkan memorandum berkenaan   kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Lobi U2  Dewan  Undangan Negeri (Dun) Wisma Darul Iman.
Ahmad Said ketika  menerima serahan memorandum tersebut menjelaskan  kerajaan negeri  Terengganu tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana  projek jalan tersebut  sedang berjalan.
[Gambar - Rosni paling kiri, bergambar di Wisma Persekutuan selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM]
Katanya,  kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menyediakan kos  projek dan  berkaitan jajaran adalah dibawah pengurusan Jabatan Kerja  Raya (JKR).
“Kita  (kerajaan) sudah tidak boleh buat apa-apa lagi kerana projek ini  telah  berjalan dengan kerja-kerja menambung tanah dan sebagainya.
“Jika  awal dulu boleh kita tengok dan itu (jajaran) tugas JKR yang  tentukan  dan kita hanya keluarkan kos projek, sekarang tak boleh buat  apa-apa  lagi,” ujarnya kepada wakil penduduk tersebut.
Buletinonline  dimaklumkan, aduan pernah dibuat kepada pihak SUHAKAM  yang turut  mendapat ‘respons’ agar dihentikan sementara projek  tersebut.
Pada bulan April 2010, penduduk pernah menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanannya.
Manakala,  bulan April 2011 lepas, sekali lagi mereka (jawatankuasa)  menulis surat  kepada Perdana Menteri dan dijawab surat itu serta  dihantar kepada  Kementerian Luar Bandar, salinan kepada Jawatankuasa  Bertindak tetapi  tidak kepada MB (Terengganu).
Menurut sumber, Projek Jalan dari  Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda  melalui Kampung Banggol Dona itu  dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno  Terengganu, Saiful Bahari Baharudin.
Projek  “OKU” (Orang Kuat Umno) itu hanya sepanjang 5.6 kilometer tetapi   menelan belanja RM226 juta yang dianggap tidak manasabah.
Hadir  sama mengiringi penyerahan memorandum tersebut Adun Bukit  Tunggal, Dr  Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Ridhuan  Hashim, Ketua  Cawangan PAS Paya Datu, Ustaz Awang Embong, Ahli Majlis  Pimpinan Pusat  (MPP) PKR, Fariz Musa, Ketua Cabang PKR Kuala Nerus,  Muzafeq   Affyulzaifuzan Muhammad serta beberapa orang penduduk kampung  berkenaan.