Kedatangan Aidilfitri pastinya dinanti-nantikan seluruh umat Islam; bagaimanapun bagi PAS Kelantan, manisnya mungkin berganda.
Ini
kerana, sebagai parti pemerintah, mereka lebih berpeluang menganjurkan
pelbagai program sambutan menjelang dan semasa Hari Raya, termasuk
mendekati anak negeri yang berperantauan.
Bagi pemerhati politik,
keadaan ini amat menguntungkan, lebih-lebih lagi jika pilihan raya
berlangsung tidak lama selepas hari raya Aidilfitri.
Dalam pilihan
raya umum lalu, parti Islam itu berjaya bangkit daripada kemenangan
tipis pada 2004 dengan meninggalkan BN hanya enam daripada 45 kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebuah lagi kerusi dimenangi sekutunya PKR.
Kejayaan
itu dianggap pelbagai pihak ekoran kejayaan mereka mendekati golongan
muda dan pengundi luar negeri Cik Siti Wan kembang itu.
"Setelah
belajar daripada 2008, strategi ini mungkin digunakan kembali. Sebabnya,
pengundi dalam negeri, di kampung-kampung dapat dicula dengan mudah.
Siapa memang dan jumlah undinya sudah tahu.
"Tetapi ini tidak
boleh dibuat terhadap pengundi yang baru pertama kali mengundi dan
pengundi luar daripada Kelantan," kata penasihat eksekutif Ilham pusat
tinjauan bebas Ilham Center Hisomuddin Bakar.
Hisomuddin berkata,
golongan itu amat penting didekati kerana mewakili kira-kira 30 peratus
daripada seluruh pengundi negeri itu.
Katanya, walaupun program
sambutan perayaan hanya mampu menambahkan sokongan paling banyak
sehingga 5 peratus, tetapi ia penting bagi PAS untuk mengekalkan
sokongan sedia ada, sekitar 70 peratus daripada pengundi luar.
BN boleh ambil pendekatan samaMalah,
terdapat cakap-cakap bahawa Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat kini
terpaksa bertungkus lumus menemui seramai mungkin pengundi luar
menjelang pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi dengan mengambil
peluang sempena ketibaan Hari Raya.
Bagaimanapun, menurut seorang
aktivis persatuan anak negeri, tindakan yang sama juga mungkin diguna
pakai musuh politiknya daripada BN.
"BN pun mungkin sudah belajar
daripada kesilapan pada 2008. Dulu mereka tak kisah pun dengan
persatuan anak negeri (Kelantan di perantauan)," kata Penasihat
Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), Wan
Johari Wan Omar.
Ditanya tentang isu utama yang boleh
mempengaruhi undi golongan itu, Wan Johari berkata, ia masih berkitar
soal kemudahan akses ke negeri itu, termasuk pembinaan lebuh raya.
"Isu
lapangan terbang, kena banyak penerbangan, jalan nak balik mesti mudah
dan bila dah sampai sana mesti tak sesak. Itu sebab menteri besar
sebelum ini umum projek Lebuh Raya Rakyat baru-baru ini," katanya lagi.
PERSADA
adalah antara NGO yang aktif selain Persatuan Anak Kelantan Perantauan
Malaysia (Perakan) yang dianggap sebagai "badan payung".
PAS Kelantan nafi sokongan merosotPAS Kelantan ketika dihubungi
Malaysiakini bagaimanapun menolak tanggapan bahawa PAS kini lemah sehingga terpaksa menggunakan sambutan hari raya untuk berkempen.
Sebaliknya,
sokongan rakyat termasuk di perantauan kepada kepimpinan Nik Aziz
dikatakan semakin bertambah sejak berjaya menekan kerajaan pusat dalam
isu royalti minyak dan gas yang dituntutnya.
"Itu (sokongan merosot) tidak betul. PAS Kelantan dan Pakatan Rakyat mendapat sokongan daripada rakyat secara menyeluruh.
"Ini
kerana isu-isu tempatan seperti royalti, bukan kerajaan negeri sahaja
yang tuntut, tetapi rakyat sendiri kini juga menuntut," kata ketua
penerangannya Dr Mohd Fadzli Hassan.
Anggota Dewan Undangan
Negeri (DUN) Temangan itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia
"memberi kesan" kepada PAS dan Pakatan Rakyat sekiranya majoriti anak
Kelantan tidak pulang untuk mengundi.
"Mereka ingin mengetahui
suasana politik di Kelantan seperti mereka buat (majlis berbuka puasa)
baru-baru ini di Karangkraf (di Shah Alam).
"Kita buat sekerap mungkin untuk penduduk luar Kelantan mengetahui suasana politik," katanya lagi.
Sementara
itu, seorang pemimpin kanan yang enggan namanya disebut berkata,
kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan anak negeri hanya tanggapan
yang sentiasa ditimbulkan apabila pilihan raya semakin hampir, yang
didakwanya menjadi trend sejak 1990.
"Bagi saya kebimbangan itu
sentiasa wujud disebabkan konfrontasi parti politik sebagai permainan
fikiran untuk menarik sokonga rakyat," katanya.
-M'kini