
KUALA LUMPUR : Friends of Pakatan, sebuah  persatuan penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat telah ditubuhkan di  kota raya London, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
 Beliau yang baru sahaja pulang dari London berkata, persatuan  tersebut adalah gabungan profesional rakyat Malaysia yang menginap dan  bekerja di United Kingdom yang mewakili semua kaum Melayu , Cina dan  India.
Menurutnya, satu pertemuan bersama  jawatankuasa penaja persatuan tersebut telah diadakan di kotaraya  London baru-baru ini sempena dengan lawatan beliau ke United Kingdom  (UK).
 Katanya, majlis pelancaran Friends of Pakatan akan dilakukan pada  awal Julai depan dengan dihadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
 Menurutnya, Friends of Pakatan adalah satu lagi perkembangan positif  tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.
 “Ini adalah kerana persatuan ini menggabungkan rakyat Malaysia yang  berbilang bangsa di luar negara,” katanya kepada Harakahdaily.
 Tambahnya, dalam pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan  tersebut, mereka telah memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk  bersama Pakatan bagi menyumbangkan kepakaran mereka membangunkan negara  bersama dengan Pakatan.
 “Selepas dari UK, mereka bercadang untuk melebarkan lagi Friends of  Pakatan ke negara-negara lain seperti di Eropah dan juga di Amerika  Syarikat,” ujarnya lagi.
 
Menurutnya lagi, pengerusi  jawatankusa penaja persatuan tersebut, seorang juruterbang sebuah  syarikat penerbangan di UK memaklumkan bahawa setakat ini mereka telah  berjaya menghimpunkan seramai tiga ratus penyokong dan yakin lebih ramai  akan menyertainya selepas majlis pelancaran nanti.
 Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok baru kembali dari lawatan  selama seminggu ke UK bagi menghadiri beberapa siri jemputan organisasi  Islam di sana.
 Beliau telah dijemput berucap pada seminar The Future of The  Muslim Ummah; Hopes and Challenges anjuran Islamic Unity Forum di  London.
 Nasharudin juga dijemput sebagai tetamu di Muslim Council of Britain  di London.
 Timbalan Presiden PAS itu kemudiannya ke bandar Nottingham sebagai  tetamu kepada sebuah badan kebajikan Islam yang dikenali sebagai Muslim  Hands International.
 Di Nottingham, beliau turut diminta berucap di Masjid University of  Nottingham.
 Ustaz Nasharudin juga turut ditemubual selama satu jam oleh TV  Al-Hiwar, sebuah rancangan TV berbahasa Arab yang berpusat di London. -Hrkh