Beliau juga berkata, wang itu masih ada RM4 juta lagi untuk dibelanjakan untuk jatuhkan PM yang ada sekarang (Datuk Seri Najib Razak) yang juga ditaja oleh orang Umno yang tidak puas hati kerana Pak Lah dijatuhkan.
Husam, ahli politik yang menjadi pusat tumpuan dalam isu ini berkata demikian dalam tulisannya melalui blog beliau, cetusan-hati.blogspot.com.
"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.
"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.
"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulis Husam dalam blognya.
Husam tidak menamakan mana-mana pemimpin Umno tetapi beliau turut mengaitkan serangan Tun Dr Mahathir terhadap Tun Abdullah dalam tulisannya.
Husam dikaitkan dengan penulis blog, Syed Azidi atau nama penanya Kickdefella yang membuat pelbagai jenis tulisan terhadap kerajaan negeri Kelantan. Khamis lepas, akhbar Umno, Utusan Malaysia menjadikan tulisan beliau laporan muka depan akhbar itu.
Tulisan itu mendakwa, beliau diamanahkan wang sebanyak RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Pak Lah.
Ini adalah tulisan pertama Husam mengulas tulisan Kickdefella selepas sekian lama menyepi dari mengulasnya. Kickdefella yang dikaitkan dengan Husam dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ekoran pertelagahan beliau dengan CEOnya, Ariffahmi, yang juga menantu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.
Ulasan Husam yang berkata RM4 juta itu dari orang Umno serentak dengan tulisan Tun Dr Mahathir dalam blognya yang mempertikaikan tindakan kerajaan di bawah Tun Abdullah yang menyerahkan dua telaga minyak bernilai RM340 bilion kepada Brunei. Ia dibuat untuk memujuk Brunei melepaskan tuntutannya ke atas Limbang.
Serangan yang dibuat oleh Mahathir terhadap Abdullah bukan sekarang tetapi sejak beliau menjadi PM lagi sehinggalah beliau jatuh.
Dalam tulisan kali ini juga Husam menulis, betapa mudahnya untuk menjatuhkan seorang PM jika hanya memerlukan RM4 juta sahaja untuk berbuat demikian sebagaimana yang didakwa Kickdefella, beliau diamanahkan RM4 juta untuk jatuhkan Pak Lah dan terbukti lepas itu Pak Lah jatuh dan digantikan denga Najib.
"Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.
"Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah," tulis Husam dalam memulakan tulisannya ini.
Beliau berkata, ada orang berkata RM4 juta itu mahal dan ada pula berkata, RM4 juta untuk menjatuhkan seorang PM itu murah.
"PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.
"Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.
"Seorang petugas tegar Umno seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.
"Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu," tulis Husam.
Beliau juga memberikan hint dalam tulisannya dengan mengaitkan serangan Mahathir terhadap Pak Lah.
"Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.
"Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.
"Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.
"Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?" tulis Husam.
Menurut beliau, Umno Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan Umno Kelantan. Empat juta.
"Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja Umno belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan Umno satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.
"Rupanya tak susah sangat nak tewaskan Umno Kelantan dan kalau dengan empat juta Umno satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki Umno seluruh Malaysia. Rasanya Umno akan kecut," tulis beliau lagi.
Bagi beliau, cerita yang dibuat akhbar Umno itu umpama cerita kek dan gandum. Gandumnya hanya sedikit tetapi selepas dimasukkan serbuk penaik ia meenjadi besar dan indah dilihat.
"Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja," tulis beliau.
Kickdefella (gambar) dalam tulisan terbarunya telah mengulas tulisan Husam ini dengan bertanya, "Adakah penulis cuba memberitahu bahawa RM4 juta itu adalah untuk membeli gandum, serbuk penaik, majerin dan telor? Kalau benar bererti penulis tahulah pasal RM4 juta itu. Adakah penulis tahu dari mana RM4 juta itu datang? Terserahlah kepada beliau untuk menjawabnya. "Saya berhasrat untuk menulis berhubung dengan sumber datangnya separuh dari jumlah duit itu dengan tujuan memberi ruang pernafasan kepada penulis, terutama setelah saya dipanggil oleh SPRM, tetapi nampaknya penulis telah terlebih dahulu tercerut saraf lawannya dalam kancah politik Kelantan."
Husam dalam tulisannya juga juga mengulas, setahu beliau, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. "Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita," katanya. Di sinilah, beliau mendakwa, Umno yang bayar RM4 juta itu dengan kenyataan:
"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.
"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.
"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulisnya.
Bagi beliau, cerita RM4 juta ini bertujuan untuk menutup kehilangan wang dari penyerahan dua telaga minya kepada Brunei itu.
"Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...
"Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat," katanya lagi.-Hrkh