Ikuti Blog ini

Rombongan Istana Darul Aman Kedah guna jet kerana masa suntuk



Rombongan Istana Darul Aman Kedah terpaksa menyewa jet eksekutif untuk menghadap Sultan Brunei semalam kerana masa telah suntuk dan itulah sahaja masa yang diberikan oleh Istana Brunei untuk menghadap baginda.

Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid berkata, rombongan itu menyewa jet itu bukan untuk bermewah-mewah tetapi itu sahaja cara yang ada untuk memenuhi masa yang ditetapkan bagi membolehkan rombongan istana Kedah menghadap Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah.

Rombongan Istana Kedah itu diketuai Ketua Istiadat istana Kedah. Ia turut disertai Tengku Bendahara iaitu adinda Sultan dan MB Kedah, Azizan Abdul Razak serta isteri masing-masing.

Mereka ke Brunei untuk menjemput baginda Sultan Brunei secara rasmi ke majlis perayaan Jubli Emas Sultan Kedah yang akan diadakan di Alor Setar tidak lama lagi.

Mereka menaiki sebuah jet yang disewa khas untuk membawa mereka pergi dan balik dari Alor Setar ke Brunei semalam dan pulang malam ini.

"Perkara ini telah dipersetujui oleh mesyuarat Exco," kata Helmi kepada Siasah.

Buletin Utama TV3 (jam 8.15 malam) menyiarkan rakaman penggunaan jet itu semasa mereka bertolak ke Brunei dan mempertikaikan langkah Istana Kedah itu yang dianggap TV3 sebagai membazir.

Kedah pula kaji ambil pekerja patuh solat


Selepas kerajaan Kelantan mensyaratkan setiap calon yang akan diambil bekerja perlu lengkap menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat, kerajaan Kedah akan mengkaji pendekatan yang serupa untuk dipraktikkan di negeri ini.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak menetapkan syarat seumpama itu, tetapi akan melihat keperluan pelaksanaannya mengikut kesesuaian di negeri ini.

“Kita akan kaji dahulu sama ada perlu atau tidak. Sebagai orang Islam, sembahyang itu wajib walaupun dia kerja kerajaan atau tidak. Mengenai syarat nak kerja dengan kerajaan tu, kita akan kaji tengok macam mana nak buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Perkembangan Islam yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan Pas Kelantan yang bakal memperkenalkan syarat baru dalam proses pengambilan pekerja dengan mewajibkan setiap calon perlu lengkap menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, cadangan memilih kalangan mereka yang tidak meninggalkan solat itu bakal melibatkan semua peringkat bermula daripada peringkat paling bawah hingga paling atas.

Azizan berkata, langkah kerajaan Kelantan itu tidak ada salahnya kerana setiap kerajaan mahu cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyatnya yang beragama Islam menunaikan solat.

Justeru, menurut beliau, adalah menjadi hak kerajaan negeri tersebut untuk mengenakan syarat berkenaan dalam proses pengambilan pekerja di negeri itu.

Sementara itu, mengenai ura-ura tambang feri ke Langkawi dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah akan dinaikkan, Azizan berkata, ia bergantung kepada kuasa kerajaan Pusat untuk menentukannya.

Dalam hal ini, beliau meminta kedua-dua pihak supaya berlaku adil agar tiada yang ditindas dalam isu tersebut, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos bahan api baru-baru ini.

BPR siasat Musa, Gani hari ini


Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memanggil Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk disoalsiasat pagi ini.

BPR dipercayai menyoalsiasat mereka berhubung dakwaan yang mereka terbabit dalam mereka bukti terhadap mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung insiden mata lebam.

Musa tiba di ibupejabat BPR di Putrajaya pada jam 8.20 pagi. Beliau tersenyum ke arah wartawan sebelum masuk ke pejabat tersebut.

Gani pula tiba pada jam 9.50 pagi.

Selasa lalu, Anwar yang juga ketua umum PKR membuat laporan polis terhadap Musa dan Abdul Gani yang didakwanya mereka bukti dalam perbicaraannya 10 tahun yang lalu.

Pada masa itu, Musa adalah pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaraya kes terhadap Anwar.

Apabila Anwar ditahan pada 20 September 1999, beliau dibawa ke ibupejabat di Bukit Aman di mana mantan timbalan perdana menteri itu dipukul oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan matanya lebam dan mengalami kecederaan lain di badannya.

Anwar berkata, laporan asal perubatan yang disediakan oleh beberapa orang doktor telah diketepikan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata, laporan perubatan menyimpulkan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat dipukul.

Bagaimanapun, Anwar berkata, laporan tersebut tidak diterima dan mereka yang memukulnya tidak didakwa, sebaliknya Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mokhtar Abdullah - yang didakwanya berpakat dengan Abdul Gani - meminta doktor lain, Dr Abdul Rahman Yusof, mereka laporan perubatan kedua.

Anwar berkata, beliau percaya, Musa dan Abdul Gani berada di Bukit Aman pada malam beliau dipukul oleh Abdul Rahim dan kedua-duanya "merahsiakan" kejadian tersebut.

Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya satu siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan mereka bukti, yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.

BPR menjalankan tugas menyiasat dakwaan tersebut memandangkan ia membabitkan pihak polis dan pejabat peguam negara.

Ku Li: Keputusan PM satu langkah silap





Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai presiden Umno merupakan satu langkah yang silap.

Katanya jawatan presiden Umno itu ditentukan oleh ahli Umno dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

"Banyak pihak tidak menyedari bahawa perdana menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutamanya dari Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua-ketua cawangan Umno di jajahan Bachok malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau berkata selama ini Abdullah merupakan "caretaker" (penjaga) kepada Umno kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lepas namun ianya ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh berkata keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Peralihan kuasa-Najib dipermainkan oleh Dollah


Najib kini terpaksa gigit jari kerana peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri selepas perhimpunan agung Umno pada penghujung tahun ini sudah tiada lagi. Pengumuman Dollah petang tadi mengakhiri spekulasi dan membuatkan Najib kini dalam keadaan gelisah kerana terpaksa menanti 23 bulan lagi untuk menjadi PM.

23 bulan bukanlah masa yang singkat. Pelbagai perkara boleh berlaku. Tempoh itu diambil bukan sahaja kerana Dollah ingin selesaikan RMK9, tapi lebih kepada mencari ruang bagi mendapatkan pengganti yang lebih sesuai dan boleh menyelamatkan kroni Dollah selepas zamannya.

Isu Altantuya pasti menjadi sebab utama dan pendedahan Bala yang kini memberikan bala terbesar buat Najib, pastinya turut mempengaruhi keputusan itu. Najib telah dipermainkan oleh janji-janji manis Dollah.

Siapa tak kenal Dollah. Dulu dia janji tak nak kawin lagi…last-last kawin juga. Kemudian janji tak akan bubar Parlimen bulan Februari. sehari lepas tu dia bubar. Dia juga janji tak naik harga minyak, kemudian naik juga.
Putar belit, putar alam, Najib terputar-putar dengar janji dollah….Jun 2010, Siapakah yang benar-benar jadi PM. Masa itu pastinya, Najib bukanlah pilihan terbaik. Bukan sahaja bahaya untuk Dollah, tapi untuk seluruh rakyat kerana Najib penuh dengan pelbagai skandal peribadi.

Mungkinkah Najib menerima nasib yang sama seperti Anwar. Diperangkap dan akhirnya dihumban ke penjara. Muhyiddin pula dilihat lebih sesuai untuk menggantikan tempat Najib kiranya beliau disingkirkan.

Dalam politik, apa jua boleh berlaku. Siapa mainkan siapa…kita lihat siapa yang kena….
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .