Ikuti Blog ini

Kedah pula kaji ambil pekerja patuh solat


Selepas kerajaan Kelantan mensyaratkan setiap calon yang akan diambil bekerja perlu lengkap menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat, kerajaan Kedah akan mengkaji pendekatan yang serupa untuk dipraktikkan di negeri ini.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak menetapkan syarat seumpama itu, tetapi akan melihat keperluan pelaksanaannya mengikut kesesuaian di negeri ini.

“Kita akan kaji dahulu sama ada perlu atau tidak. Sebagai orang Islam, sembahyang itu wajib walaupun dia kerja kerajaan atau tidak. Mengenai syarat nak kerja dengan kerajaan tu, kita akan kaji tengok macam mana nak buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Perkembangan Islam yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan Pas Kelantan yang bakal memperkenalkan syarat baru dalam proses pengambilan pekerja dengan mewajibkan setiap calon perlu lengkap menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, cadangan memilih kalangan mereka yang tidak meninggalkan solat itu bakal melibatkan semua peringkat bermula daripada peringkat paling bawah hingga paling atas.

Azizan berkata, langkah kerajaan Kelantan itu tidak ada salahnya kerana setiap kerajaan mahu cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyatnya yang beragama Islam menunaikan solat.

Justeru, menurut beliau, adalah menjadi hak kerajaan negeri tersebut untuk mengenakan syarat berkenaan dalam proses pengambilan pekerja di negeri itu.

Sementara itu, mengenai ura-ura tambang feri ke Langkawi dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah akan dinaikkan, Azizan berkata, ia bergantung kepada kuasa kerajaan Pusat untuk menentukannya.

Dalam hal ini, beliau meminta kedua-dua pihak supaya berlaku adil agar tiada yang ditindas dalam isu tersebut, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos bahan api baru-baru ini.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .