Ikuti Blog ini

BPR siasat Musa, Gani hari ini


Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memanggil Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk disoalsiasat pagi ini.

BPR dipercayai menyoalsiasat mereka berhubung dakwaan yang mereka terbabit dalam mereka bukti terhadap mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung insiden mata lebam.

Musa tiba di ibupejabat BPR di Putrajaya pada jam 8.20 pagi. Beliau tersenyum ke arah wartawan sebelum masuk ke pejabat tersebut.

Gani pula tiba pada jam 9.50 pagi.

Selasa lalu, Anwar yang juga ketua umum PKR membuat laporan polis terhadap Musa dan Abdul Gani yang didakwanya mereka bukti dalam perbicaraannya 10 tahun yang lalu.

Pada masa itu, Musa adalah pegawai penyiasat manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaraya kes terhadap Anwar.

Apabila Anwar ditahan pada 20 September 1999, beliau dibawa ke ibupejabat di Bukit Aman di mana mantan timbalan perdana menteri itu dipukul oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan matanya lebam dan mengalami kecederaan lain di badannya.

Anwar berkata, laporan asal perubatan yang disediakan oleh beberapa orang doktor telah diketepikan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata, laporan perubatan menyimpulkan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat dipukul.

Bagaimanapun, Anwar berkata, laporan tersebut tidak diterima dan mereka yang memukulnya tidak didakwa, sebaliknya Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mokhtar Abdullah - yang didakwanya berpakat dengan Abdul Gani - meminta doktor lain, Dr Abdul Rahman Yusof, mereka laporan perubatan kedua.

Anwar berkata, beliau percaya, Musa dan Abdul Gani berada di Bukit Aman pada malam beliau dipukul oleh Abdul Rahim dan kedua-duanya "merahsiakan" kejadian tersebut.

Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya satu siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan mereka bukti, yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.

BPR menjalankan tugas menyiasat dakwaan tersebut memandangkan ia membabitkan pihak polis dan pejabat peguam negara.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .