Ikuti Blog ini

Anwar Akan Buktikan Wan Muhammad Azri Itu "Papagomo"



Anwar beri keterangan saman ‘Papa Gomo’ 27 Jan

Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Jan tahun depan untuk mendengar keterangan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman beliau terhadap penulis blog ‘Papa Gomo’ kerana didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks.

Hakim Rosilah Yop turut menetapkan 28 Jan untuk mendengar kes saman itu. Beliau menetapkan tarikh itu hari ini ketika kes berkenaan dikemukakan untuk pengurusan kes.

Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita anak guamnya (plaintif) akan memanggil empat saksi manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris (defendan) dijangka memanggil dua saksi.

Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya Anwar mendakwa defendan turut meletakkan satu pautan web yang memaparkan siri imej dan defendan telah secara nyata dan/atau tersirat menyatakan bahawa individu dalam imej itu ialah plaintif.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos, lain-lain relif yang difikirkan wajar dan satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej itu.

Wan Muhammad Azri dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei menafikan bahawa beliau pemilik blog ‘Papa Gomo’.

Beliau menegaskan alamat kediaman yang dinyatakan menerusi saman Anwar itu bukan miliknya dan beliau tidak mengenali plaintif secara peribadi.

Anwar dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Wan Muhammad Azri itu berkata beliau boleh membuktikan bahawa defendan adalah pemilik blog ‘Papa Gomo’.

Beliau mendakwa defendan turut melakukan serangan peribadi terhadap parti pembangkang dan pemimpinnya tanpa membuat sebarang justifikasi. - Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .