Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lajim Ukin hari ini mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam parti tersebut.
Walaubagaimanapun, Lajim (gambar) yang juga timbalan menteri perumahan 
dan kerajaan tempatan menyerahkan kepada kepimpinan Umno untuk 
menentukan sama ada dapat mengekalkan atau tidak jawatan timbalan 
menterinya itu, lapor akhbar The Star versi online.
Perkembangan ini memberikan tamparan hebat kepada perdana menteri (PM), 
Najib Altantuya dalam keadaan pilihan raya umum (PRU) yang akan 
berlangsung tidak lama lagi.
Lajim turut berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik 
tetapi akan bekerja dengan parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) demi 
kepentingan negeri Sabah, lapor The Star lagi.
Beliau berkata demikian depan ratusan penyokong, kebanyakannya pemegang 
jawatan penting di peringkat cawangan dan bahagian Umno, di rumahnya di 
Likas di sini, kira-kira jam 6 petang tadi. 
“Mulai sekarang, saya letak semua jawatan dalam Umno kerana tidak lagi yakin parti itu mampu membela rakyat Sabah,” katanya.
Bercakap kepada Keadilan Daily pula, Lajim menyatakan komitmennya 
terhadap Pakatan Rakyat bagi memulihkan Sabah dari belenggu penindasan 
dan ketidakadilan.
Beliau juga menggerakkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) – sebuah gerakan 
yang menolakkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Negeri Di Bawah 
Bayu itu.
Selain PPS yang didominasi golongan Melayu-Islam, wujud juga Angkatan 
Perubahan Sabah (APS) – dominasi Kadasan-Dusun-Murut yang diterajui 
Wilfred Bumburing – Ahli Parlimen Tuaran dari BN.
Pelancaran PPS dan APS dijadual berlangsung esok dengan Ketua Umum 
KEADILAN, Anwar Ibrahim dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.
Sebelum ini, Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai 
Kebatu sehari selepas Najib Altantuya melawat Sabah, Jun lalu.
Beliau juga enggan pertahan jawatan Ketua Bahagian Umno Beaufort 
sebaliknya menghantar surat peletakan kepada Setiausaha Umno Bahagian 
Beaufort.
Lajim pernah menyandang Timbalan Ketua Menteri Sabah dan jawatan penting lain.
Dalam Pilihan Raya Umum 2008 beliau mengalahkan calon KEADILAN Lajim Md Yusof dengan majoriti 10,914 undi.