Ikuti Blog ini

TGNA: Tiada Keutamaan Bangsa Dalam Islam


KOTA BAHARU, 17 Nov - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.
Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t."Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.

"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Nik Abdul Aziz berkata beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.

"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun."Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam," katanya.


Apa penyakit Pak Lah?


Semenjak dua menjak ni…cerita-cerita tentang Pak Lah makin kurang kedengaran. Orang dah tak minat dengan Pak Lah…tapi seronok mengumpat tentang Najib. Biasa la…dalam Umno..sapa yang ada kuasa…semua orang hurung. Macam langau hurung tahi.

Pagi tadi..nasi lemak kat kedai janda Bakaq dah habih. Jadi..aku beli nasi lemak yang dah siap dibungkus. Empat kali suap…licin. Sementara makan nasi lemak..aku sempat baca kertas surat khabar lama yang digunakan untuk membungkus nasi lemak tu…tentang seorang hakim yang tertidur ketika perbicaraan sedang berjalan di Australia.

Nampaknya…Pak Lah ada geng yang suka tidor masa bekerja.

Tapi bila aku baca surat pembaca dalam NST hari ini…aku jatuh kesian pulak kat Pak Lah. Rupa-rupanya tertidur ni satu penyakit…bukan pasai bini dia kacau malam-malam.

Dr. A. Soorian dari Seremban bagi tau…ini mungkin diluar kawalan beliau. Pak Lah mungkin mengalami satu penyakit yang dinamakan narcolepsy…dimana menyebabkan seseorang itu tertidur.

Orang yang mengalami penyakit ini akan tertidur tanpa amaran…ada yang tertidur semasa makan ataupun macam hakim di Australia tu. Mereka yang mengalami narcolepsy menghadapi masalah tidur diwaktu malam. Para saintis perubatan berpendapat…mereka yang mengalami penyakit ini mempunyai kadar hypocretin, iaiut sejenis kimia yang terdapat didalam otak, yang rendah.

Hypocretin mengawal tahap kesedaran seseorang itu , dan tidak diketahui mengapa sesetengah orang mempunyai kadar hypocretin yang rendah.

Sesetengah doktor berpendapat, ini mungkin disebabkan oleh keturunan ataupun terkena bahan-bahan toksik seperti racun serangga. Apa pun…narcolepsy memang susah untuk diubati.

Jadi… sekarang aku paham…mengapa Pak Lah selalu tidor. Kesiaaaan dia.




Nik Aziz: Negeri berkat, rakyat dapat cari rezeki siang malam


KOTA BHARU - Bandar Kota Bharu sentiasa hidup dengan aktiviti perniagaan siang dan malam kerana keberkatan kehidupan rakyat yang menjadikan agama sebagai panduan utama.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pelbagai aktiviti perniagaan berjalan siang dan malam tanpa sebarang gangguan.

"Bandar Kota Bharu terutama Wakaf Che Yeh tidak mati kerana pelbagai lapisan masyarakat berurusniaga untuk mencari rezeki.

"Malah kawasan itu kini menjadi sebahagian tumpuan pelancong yang datang ke Kelantan," katanya ketika merasmikan Seminar Pemurnian Aqidah Peringkat Negeri di Balai Islam, di sini semalam.Image

Hampir 1,000 peserta yang terdiri di kalangan kakitangan kerajaan negeri hadir. Program itu dianjur bersama Jabatan Usuluddin, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menteri Besar juga mengingatkan umat Islam sentiasa berhati-hati dengan kufar yang sentiasa mengancam umat Islam melalui pelbagai cara.

Katanya, walaupun negara ini telah merdeka lebih 50 tahun, namun pihak kufar sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan umat Islam.

"Kita hendaklah berhati-hati dan jangan sekali-kali hanyut dengan fahaman kebendaan yang cuba diterapkan dalam kehidupan kita," ujarnya.

Beliau melahirkan rasa syukur memandangkan sistem perbankan di negara ini banyak telah beralih kepada kaedah Islam termasuk Hong Leong Bank untuk menarik umat Islam berurusan.


Keluar Negara Pada Masa Yang Sama, Pak Lah Dan Najib Sengaja Langgar Peraturan !!

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam negara pada dua hari yang sama dalam minggu ini kerana menghadiri lawatan rasmi di luar negara. Lim berkata, mengikut kedudukan peraturan sejak 30 tahun lalu, Perdana Menteri dan timbalannya tidak boleh meninggalkan negara pada masa yang sama. Beliau berkata demikian berikutan Abdullah kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi empat hari yang turut disertai oleh dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Abdullah hanya akan kembali bertugas pada Jumaat ini.

Sementara itu, Najib pula akan ke Lima, Peru untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC ke-16 esok dan seterusnya ke New York dan dilaporkan hanya akan pulang pada awal bulan depan. Lim berkata, ini bermakna, pada Rabu dan Khamis ini, kedua-dua mereka tidak ada di dalam negara. Justeru beliau mempersoalkan siapa yang akan menjadi pemangku Perdana Menteri pada dua hari tersebut. “Tidak boleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mendahului dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno kerana beliau juga bersama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar akan ke luar negara bersama (Datuk Seri) Najib esok.

“Bolehkah menteri yang paling senior di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok atau Presiden MCA yang baru dipilih, Datuk Seri Ong Tee Keat?,” katanya kepada media di luar Parlimen, di sini. Lim berkata, ini merupakan satu kritikan terhadap Ahli Parlimen Umno yang tidak menerima kedudukan yang termaktub dalam perlembagaan bahawa jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua warganegara Malaysia tidak mengira bangsa, agama atau wilayah. Dalam perkembangan yang sama, Lim juga meminta Najib menyerahkan isu ‘ketidakpastian’ peruntukan tambahan RM7 bilion dalam Bajet 2009 kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bagi mendapatkan kelulusan Parlimen sepanjang ketiadaannya.

Sesuatu yang janggal dan tidak masuk akal bila kedua-dua pemimpin tertinggi ke luar negara. Apalah gunanya ada timbalan, jika tidak bertanggungjawab seperti ini. Bukankah beliau boleh mewakilkan orang lain untuk ke persidangan berkenaan. Namun kenapa memilih untuk pergi juga, walhal beliau tahu Perdana Menteri sedang rangka lawatan ke negara Balkan pada masa ini. Kita pun naik hairan dengan senario yang berlaku. Apakah ini petanda yang mereka cuba untuk melarikan diri daripada tanggungjawab?. Bagaimanakah dengan keputusan besar yang akan berlaku semasa ketiadaan mereka nanti. Apakah mungkin Khairy Jamaluddin akan memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Bapa Mertuanya itu


Tok Guru Nik Aziz: Jangan lawan Allah pertikai fatwa haram "pengkid"

Jangan lawan Allah pertikai fatwa haram "pengkid"

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan peringatan keras kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan perlakuan wanita menyamai lelaki atau "pengkid".

Menteri Besar Kelantan itu turut menyifatkan pihak terbabit cuba melawan perintah Tuhan dan mencabuli asas syariat Islam.

"Majlis Fatwa ni keluarkan hukum berlandaskan Al-Quran dan Hadis dan Al-Quran itu datang daripada Allah. Allah yang cipta manusia dan alam dan dia tentukan hukum untuk manusia.

"Siapa kita ni sampai nak lawan dia (Allah). Handal sangat kita nak lawan Allah?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan restoran London Fish Tales di sini hari ini.

Beliau mengulas NGO bukan Islam mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan perlakuan wanita menyamai lelaki atau "pengkid".

Baru-baru ini, NGO tersebut, Katagender dan FoodnotBombs mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bagi membantah keputusan majlis itu mengharamkan perlakuan 'pengkid'.

Pada 23 Oktober lalu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki atau "pengkid" kerana gejala tersebut di kalangan remaja perempuan Islam di negara ini semakin membimbangkan.

Nik Abdul Aziz berkata beliau meminta mana-mana pihak tanpa mengira NGO Islam atau bukan Islam agar tidak campur tangan mengenai fatwa yang telah dikeluarkan. Malahan beliau kesal dengan orang perempuan Islam yang tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka sehingga terlibat dalam gejala pengkid itu. "Mereka merupakan benih. Apabila orang Islam tidak hidup mengikut cara Islam jadi orang bukan Islam mula berani kata depan kita," katanya.


Dato' Noh Gadut kini bukan lagi Mufti Negeri Johor?

 Pada petang Khamis 13 November 2008, Sultan Johor secara mengejut telah melantik Dato Tahrir bin Dato Kiyai Hj. Shamsudin (sebelum ini Timbalan Mufti) sebagai Mufti Johor menggantikan Dato Noh Gadut.

Perkara ini amat mengejutkan kerana waktu perlantikan dibuat oleh Sultan Johor, Dato Noh berada di Indonesia atas urusan kerajaan. Ini merupakan kejatuhan mengejut Dato Noh Gadut yang dikenali di seluruh negara.


Sampai sekarang berita ini tidak dihebahkan oleh mana-mana pihak. Hakikatnya Sultan sudah melantik mufti baru pada petang Khamis lalu. Dato Noh Gadut yang baru pulang dari Indonesia sudah mula mengosongkan biliknya pada Isnin 17 Nov 2008.

(Sekiranya tuan ragu-ragu dengan berita ini, sila telefon ke Pejabat Mufti Johor 07-2282900 atau 07-2282901)




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .