AYUH  TERUSKAN - nukilan oleh Rosharizan Mohd Rozlan, Ketua Pemuda Dewan  Pemuda PAS Puchong sempena Mesyuarat Agong Kali ke-8 PAS Puchong.Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Umum  mengetahui bahawa, berkemungkinan PRU 13 akan berlangsung tidak lama  lagi dan bakal menyaksikan pertarungan paling sengit dalam sejarah  Malaysia baru. PRN Sarawak bakal menjadi indikator cepat atau lambat PRU  13, sudah menjadi buah mulut dan dibincangkan didada media hinggalah ke  warung kopi.

Tahun  ini juga adalah tahun pemilihan bagi PAS disemua peringkat iaitu  bermula dengan peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat. Walaupun  beberapa parti politik menangguhkan pemilihan tetapi tidak pada PAS.  Ternyata PAS melalui kepimpinan ulamak bertindak bijak dengan menaruh  kepercayaan yang baik kepada ahli untuk menjalankan mesyuarat agung dan  memilih kepimpinan tanpa mengira suhu dan iklim politik semasa.
Dewan  Pemuda PAS Puchong menyeru dengan semangat ukhuwah agar setiap ahli dan  perwakilan menjalankan amanah yang penting ini dalam memastikan  kepimpinan ulamak sentiasa teguh dan menjadi tulang belakang perjuangan  dimana kita sebagai jundullah tidak kira berlatarbelakang apa, perlu  seiring memperkuatkan kepimpinan ulamak.
Perkembangan terkini  kita lihat bagaimana Presiden PAS diasak dari pelbagai sudut termasuklah  kenyataan seorang Profesor yang keliru dengan mengatakan Presiden  liabiliti kepada PAS serta meletakkan kelemahan Presiden punca  Terengganu jatuh pada PRU yang lepas.
Apa yang Dewan Pemuda PAS  Puchong ingin sentuh ialah, bagaimanakah sikap ahli kita dalam  menterjemahkan pandangan ini adakah kita akan menari bersama dengan  rentak terancang ini.
Tidak dinafikan kebanjiran ahli yang  mempunyai kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan pendidikan telah  membentuk satu evolusi permikiran dan tindakan dalam PAS mutkhir ini.

Menjadi  dasar parti untuk meraikan segala pandangan dalaman dan pandangan  luaran dengan satu disiplin yang ketat agar parti tidak bergoncang dan  bergelora. Terkadang terdapat beberapa pihak termasuk ahli yang keliru  dengan mekanisme yang diguna pakai oleh PAS.
Menyalahkan  kepimpinan adalah satu tindakan yang kini kian subur berlaku dikalangan  pendokong jamaah yang kita cintai. Tidak kira diperingkat mana samada di  cawangan, kawasan, negeri dan pusat sudah ada kempen yang bergerak dan  semakin sukar dikawal. Menjadi satu kesilapan besar meletakkan  segala-segalanya ke atas bahu pimpinan kerana ianya berlawanan dengan  konsep amal jamaie dan qiadah itu sendiri dan bakal menjadikan kita  tenggelam dalam kesesatan apabila thiqah tiada kita letakkan pada  pimpinan dalam menentukan hala tuju gerakan.
Bersangka baiklah  dengan pimpinan,beban yang ditanggung oleh para pimpinan ulamak kita  bukanlah beban yang mampu kita tanggung sebagai ahli.Cerminkan diri kita  diperingkat cawangan adakah kita berjaya dalam menggerakkan cawangan  dengan landasan gerakan Islam yang syumul, bagaimana persediaan kita  menyediakan lapisan pimpinan setelah kita tua, bagaimana anak-anak kita  adakah mereka akan menyambung tugasan kita, bagaimana dengan muslimat  kita dan bagaimana dengan komponen terpenting iaitu manhaj tarbiyah.  Kita perlu menyediakan benih yang baik di cawangan sebelum ianya tumbuh  subur untuk menggalas tugasan dan amanah keperingkat yang lebih tinggi  lagi samada kawasan,negeri dan pusat.
 Mengikut kajian kita, cawangan-cawangan yang tidak mengambil berat  dengan saranan di atas pasti sahaja akan berhadapan dengan masalah  kelopongan pelapis dan fikrah. Janganlah cawangan kita bakal menjadi  seperti sesetengah surau dipedalaman yang didokongi hanya golongan  veteran dan orang mudanya entah kemana kerana ianya tidak akan  menguntungkna jamaah.
Kita selalu ucapkan ulamak pewaris nabi,  sudah tentu kalimat ini punyai kelebihan, keberkatan dan kita sepatutnya  lebih percaya dan bangga kerana ramainya ulamak yang mendokong PAS ini  dan menjadi satu trademark yang baik.
Kita sepatut sedar bahawa  tanggung jawab kita yang berada di saff bawah ini perlu menguatkan  antara satu sama lain bukan bercakaran, berselisih pendapat dan tidak  memberi kerjasama dalam membentuk satu kumpulan saff yang kuat. Setiap  keputusan yang dibuat adalah secara syura dan bukanlah semata-mata  diputuskan oleh Presiden, Pesuruh Jaya, YDP atau Ketua Cawangan.  Berjaya, hebat, lemah gagal sesebuah organisasi adalah menjadi tanggung  jawab kita semua. Oleh itu mengapa tundingan jari sering kita lakukan  melainkan tundingan itulah yang bakal menyeronakkan syaitan dan  pendokong kumpulan penghalang gerakan Islam.

               Mengkoreksi  kelemahan kepimpinan juga seiring dengan tundingan jari, sikap yang  menjerat setiap ahli kekancah syaitan dan dosa ini perlu kita tangani  dengan tegas kerana ianya kian membarah dalam jamaah pada semua  peringkat. Perkara ini berlaku tidak kira masa dan semakin hebat jika  musim itu musim pemilihan. Setiap kelemahan sepatutnya kita tutupi dan  bukan kita menjadi penghukum setiap kelemahan dan aib pimpinan dengan  menjadi kumpulan penyebar sana sini. Sebarlah kebaikan pimpinan  tutupilah kelemahan mereka.
Adab ikhtilaf perlu difahami agar  ianya menjadi rahmat dan bukannya menjadi sebab keruntuhan jamaah. Dewan  pemuda PAS Puchong ingin mengingatkan tentang kisah bagaimana Saidina  Abu Bakar bertegas mahu memerangi kumpulan yang enggan menunaikan zakat  selepas kewafatan nabi saw. Umar pada ketika itu berpendapat berbeza  dengan Abu Bakar termasuk ramai sahabat besar nabi saw.
Tetapi  dengan penuh adab akhirnya Umar bersetuju dengan Abu Bakar walaupun Umar  pernah mendengar nabi saw bersabda “Sesungguhnya Allah menjadikan  kebenaran itu pada lidah dan hati Umar”
Pada ketika itu jugalah  timbangan kethiqahan dan ketaatan difikirkan oleh Umar, beliau tidak  terpedaya dengan dirinya sendiri sambil mengucapkan “Demi Allah aku  melihat Allah Tuhan telah membuka pintu hati Abu Bakar untuk memerangi  mereka”
Pokoknya bagaimana kita hari ini, adakah kita seperti  Umar yang mempunyai kelebihan seperti disabdakan oleh nabi saw? Mengapa  kita pada hari ini semberono sahaja mencurigai setiap keputusan yang  telah disyurakan diperingkat pimpinan. Mengapa setiap penjelasan tidak  boleh diterima dengan hati yang terbuka. Jika perkara ini ada dalam  sifat sesebuah organisasi,terbukti bahawa musuh telah berjaya memperdaya  kita dan terbukti syaitan bersama dengan kita.

Dewan  pemuda PAS Puchong juga ingin berkongsi mengenai kisah yang mahsyur  iaitu apabila dua sahabat Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar pernah  untuk berebut menerima baiah antara satu sama lain selepas kewafatan  nabi saw. Umar berkata kepada Abu Bakar “Hulurkanlah tangan mu untuk aku  nyatakan baiah” Maka Abu Bakar berkata “Bahkan aku berbaiah pada mu”  Umar berkata “Kamulah utama dari ku” Abu Bakar menjawab “Kamu lebih kuat  daripad ku” Lalu Umar berkata “Kekuatan ku adalah untuk bersama dengan  kelebihan mu” Akhirnya Umar berbaiah kepada Abu Bakar yang menjadi  khalifah pertama selepas kewafatan baginda saw.
Pemilihan  pimpinan sudah menjadi perkara yang lumrah dalam setiap parti begitu  juga dengan PAS yang kita cintai ini. Pemimpin datang dan pergi serta  perlu disediakan pelapis yang yang baik dan telah melalui  marhalah-marhalah tarbiyah serta faham dengan tuntutan bahawa PAS ini  adalah satu gerakan Islam yang menjadikan politik sebagai wasilah  perjuangan.
Keterbukaan PAS dalam menerima pencalonan untuk  mencabar pimpinan sepatutnya hanya dilihat dari sudut tuntutan  organisasi dan akta pertubuhan di Malaysia sahaja.Tetapi bukanlah Dewan  Pemuda tidak bersetuju dengan perkara di atas. Kenyataan Presiden dan  Mursyidul Am di media perdana baru-baru ini jangan disalah tafsirkan  dengan penafsiran setiap orang layak bertanding untuk jawatan-jawatan  peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat. Cuba kita fikirkan apa  akan jadi dengan PAS jika proses tapisan tak dilakukan oleh kita semua.  Kita bertanggungjawab atas pencalonan yang dibuat dan timbangan tapisan  hanyalah berkisar dengan tarbiyah kerana inilah ciri-ciri yang  membezakan kita dengan parti sekular yang lain. Kita harus berbeza dan  perbezaan itu tidak semestinya mengundang kegoncangan jamaah.
Kita  semua maklum bahawa dewan-dewan menjadi sayap kepada kekuatan kawasan  di mana Dewan Pemuda sebagai sayap kanan dan Dewan Muslimat sebagai  sayap kiri. Sifat sebagai sayap biasanya kena bergerak lebih cepat dan  bekerja keras dalam memenuhi tuntutan pelbagai gerak kerja dan amanah.  Dewan Pemuda akan meneruskan kerjasama pintar dengan Dewan Muslimat  walaupun Ketua Muslimat telah bertukar kerana kami mempunyai “mimpi yang  sama” InsyaAllah.
Akhirnya harapan Dewan Pemuda PAS Puchong  adalah untuk melihat PAS Puchong bergerak dengan lebih teliti, efisyen  dan berdaya saing mengikut tuntutan zaman dengan tidak menggadai prinsip  dan akar perjuangan yang kita warisi selama ini. Maafkan Dewan Pemuda  jika ada perkataan dan tindakan yang menghiris para perwakilan. Moga  Allah memberkati kita semua.
Lagi Gambar dalam FB Pas Puchong di 
sini dan di 
sini