Ikuti Blog ini

PAS mesti terus maju ke depan - Husam

GOMBAK, 25 April: Pendekatan lunak PAS dengan semua organisasi masyarakat sebelum ini telah membawa PAS ke satu era baru di mana semua pihak menerima PAS dengan baik, kata Datuk Husam Musa.

Justeru itu tegasnya, pimpinan dan ahli PAS jangan mengambil sikap mundur ke belakang setelah berjaya menawan hati sebahagian besar rakyat dan pengundi mutakhir yang memberikan sokongan dan dokongan mereka.

(Gambar kanan: Husam berucap merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Batu)

Bagi beliau, pendekatan ini adalah kesinambungan warisan perjuangan yang pernah dibawa Baginda Nabi Muhammad SAW.

Husam yang juga AJK PAS Pusat berkata, dengan menggunakan pendekatan itu, terdapat ramai dalam kalangan anggota organisasi masyarakat dapat menerima Nabi dan begitu juga dengan gerak kerja dakwah dan politik PAS.

Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, hasil awal sudah dapat dikecapi sehingga kini dengan pembentukan Pakatan Rakyat (Pakatan), perjuangan untuk menegakkan keadilan telah diterima oleh masyarakat terbanyak.

Menurutnya, paling jelas di dalam keputusan pilihan raya ke 12 (PRU12) lalu memperlihatkan kecenderungan nyata dan jelas dengan memberikan sokongan dan undi mereka kepada parti-parti teras yang hari ini berada dalam Pakatan.

"Jika PAS mundur kembali, sudah pasti tindakan itu bakal mengelirukan rakyat dan pengundi," tegasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu kali 26, di sini pagi tadi.

YDP kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin mengkisahkan semula sedikit sebanyak bagaimana perjuangan rakyat yang disertainya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara dahulu.

PAS Batu telah membuat satu pembaharuan di mana dalam acara pra-perasmian, diadakan slot pidato khas yang disampaikan oleh pimpinan NGO dan bukan PAS dalam usaha mendekatkan hubungan sesama aktivis masyarakat.

Sesi pidato itu melibatkan tetamu khas Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden Keadilan yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong, Setiausaha Agung PSM, Arutcelvan dan tokoh NGO Jerit, Kohila.

Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah, Ustaz Dr Mohd Ali Jamil pula melancarkan tujuh cawangan baru PAS dalam kawasan Batu dan menyerahkan bendera lambang perjuangan bergerak terus kepada mereka.

Tetamu lain yang hadir adalah bekas Menteri Tanah dan Wilayah, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Setiausaha GMP, Hasni Abbas, YDP Jim Batu, Hassan Unir, wakil Gerakan Mansuhkan ISA, Aliza Jaafar, wakil Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan, Zakaria Aziz dan Penulis Terkenal Negara, Haji Subky Latif.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pusat yang juga bekas calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Tenang, Cikgu Normala Sudirman turut hadir dan berucap mengenai isu penindasan minda dan perasaan terhadap golongan pendidik di negara ini.

Dalam mesyuarat itu, tiada sebarang pencalonan jawatan untuk pimpinan Pusat kerana diserahkan kepada kebijaksanaan Jawatankuasa PAS Kawasan Batu yang baharu dipilih.

Sementara itu, Haji Subky telah diberikan Anugerah Jasa Baktimu Dikenang (gambar atas) memandangkan penglibatan besar, kuat dan mendalam beliau sejak PAS belum dikenali hingga kini terus menulis dalam usaha mengambangkan pengaruh perjuangan Islam dalam negara ini. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .