LAHAD DATU: Polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata Muhammad Ridzwan 
Sulaiman,dengan alamat terakhir di Georgetown, Pulau Pinang amat 
dikehendaki bagi membantu siasatan dan diminta segera menyerah diri di 
mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata Muhammad Ridzwan, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan 
Kebajikan Al-Ehsan, berpangkalan di Pulau Pinang dikatakan tidak 
terlibat dengan pengganas tetapi boleh membantu dalam kes berkaitan 
Operasi Daulat.
"Penama ini amat diperlukan. Orang ramai yang mengenali beliau diminta 
menghubungi Rakan Cop atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Penama ini boleh membantu polis dalam satu aspek Operasi Daulat, dan 
polis percaya beliau kini berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan 
mungkin juga di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di 
Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.
Sementara itu, Hamza berkata 180 penduduk yang menghuni pusat penempatan
 telah dibenar pulang ke rumah masing-masing iaitu 101 orang dari 
Kampung Tanjung Labian dan masing-masing 25 dan 54 orang dari Kampung 
Tanjung Batu dan Kampung Sungai Merah.
Beliau berkata, tiada pertempuran berlaku sepanjang 24 jam yang lepas 
dan operasi penggeledahan serta pembersihan masih dijalankan di kawasan 
Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani.
Berhubung keselamatan di laut, Hamza berkata selain melakukan 
penggeledahan dan pembersihan kawasan pertempuran, kawalan di kawasan 
perairan dilakukan setiap masa membabitkan pasukan polis Marin, Agensi 
Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. 
- 
mStar