Bismillah walhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala alihi wa man waalah..wa ba’
Assalamu alaikum wbh,,
Semalam tanggal 17 Ramadhan, kita selalu diingatkan dengan peristiwa besar dalam sejarah kegemilangan Islam iaitu peperangan Badar al Kubra. Pagi Jumaat tersebut, di sebuah lembah bernama Badar menjadi saksi kepada pertempuran hebat antara yang mahu tunduk kepada Allah dan yang mahu terus tegar dengan peninggalan nenek moyang yang berbekaskan kufur dan jahiliah. Itulah hari yang Allah namakan Yaumul Furqan [hari yang membezakan antara yang haq dan batil].
Perang yang hanya melibatkan kira-kira 313 orang bala tentera di pihak Islam yang serba kurang kelengkapan peperangan berbanding bala tentera kuffar yang berjumlah kira-kira 1000 orang yang lengkap bersenjata. Pada peringkat awal, Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda keluar dari Madinah bukan dengan tujuan untuk berperang. Mereka hanya mahu memintas rombongan Abu Sufyan yang dalam perjalanan pulan dari Syam. Tindakan itu bagi melumpuhkan bekalan musuh yang berpusat di Makkah. Tetapi, Allah Ta’ala menghendaki yang lebih daripada itu.
Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda bertembung dengan bala tentera musuh yang lebih ramai dan lengkap bersenjata daripada mereka. Malah bala tentera Islam diuji oleh Allah, apabila antara yang terlibat di barisan musuh adalah di kalangan kaum keluarga mereka sendiri.
Ringkasnya, Allah mengurniakan kemenangan pada Islam dengan terbunuhnya 70 tentera musyrikin, dan 70 lagi menjadi tawanan orang Islam. Selebihnya bertempiaran lari kembali ke Makkah.
Betapa hebatnya dan besarnya pertolongan Allah dalam peristiwa ini, sehingga Allah berfirman dalam surah Ali ‘Imran, “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu adalah orang yang lemah. Kerna itu bertaqwa kepada Allah, mudah-mudahan kamu bersyukur”.
Sejarah yang dicatit dengan tinta emas ini kerap kali kita ulangi setiap kali hadirnya Ramadhan. Saya tak akan menulis kisah hebat peperangan ini sebagaimana pengkisahan sejarah dalam kitab-kitab yang ditulis para ulama’. Tulisan ini sedikit pun tidak akan menambah apatah lagi mengurang kehebatan karya-karya sejarah Islam peninggalan para ulama’ kita. Hanya sekadar ingin mengajak semua menghayati beberapa noktah penting dalam peperangan ini.
Antaranya pada jumlah bala tentera Islam yang jelas sekali berbeza berbanding bala tentera musuh. Al Qur’an menjelaskan bahawa bersama-sama bala tentera Islam ialah para malaikat, sebagaimana bala tentera musuh yang disertai sama syaitan sebagai pemberi semangat. Dengan jumlah yang lebih kecil ini, Allah Ta’ala memberi kemenangan pada Islam. Sudah tentu jumlah yang kecil ini, ialah kecil yang berkualiti.
Lihat sahaja apabila Rasulullah meminta pandangan daripada mereka, lantas salah seorang berkata, “Wahai Rasulullah, teruskan dengan apa yang ditunjukkan Allah padamu, nescaya kami akan bersama engkau. Demi Allah, kami tidak akan mengatakan pada engkau sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa a.s, “pergilah engkau bersama Tuhan engkau berperang, kami hanya mahu duduk di sini.” Akan tetapi kami akan berkata, “Pergilah engkau bersama Tuhan engkau berperang, sesungguhnya akan pasti akan menyertai bersama-sama berperang.”
Jawapan yang tegas ini tidak mungkin terpacul dari mulut seorang yang tidak yakin dengan janji kemenangan daripada Allah. Kalau dilihat ke kanan dan ke kiri, mana mungkin boleh menang dengan jumlah yang sedikit begini. Tetapi jumlah yang sedikit ini ialah mereka yang lebih cintakan akhirat daripada dunia, lebih cintakan mati daripada hidup, lebih cintakan Allah, Rasul dan Islam daripada segala-galanya.
Mungkin akan ada yang persoalkan, dalam sistem pilihanraya yang kita sertai kini kemenangan ditentukan dengan kelebihan undi. Seorang calon tetap dianggap menang sekiranya mendahului lawannya walaupun hanya dengan satu undi. Begitulah sebaliknya.
Memang benar kenyataan ini dan saya tak menafikan kebenarannya, tetapi ia sedikit pun tak patut menjejaskan keyakinan kita pada adanya bantuan-bantuan “ghaib” daripada Allah, sebagaimana Rasulullah dan para sahabat dibantu para malaikat dalam perang Badar ini. Saya masih ingat, dalam satu temuramah Tuan Guru Al Mursyidul ‘Am selepas kemenangan di Kelantan dalam satu siri pilihanraya umum, Tok Guru Nik Aziz ditanya tentang sebab kemenangan. Jawab Tok Guru bersahaja, “ada keserasian antara yang di bumi dengan yang di langit.”
Sudah tentu “bantuan-bantuan langit” ini tidak akan turun melainkan apabila kita benar-benar layak untuk menerimanya. Mari kita siapkan diri dengan ikhlas, sabar, pengorbanan, istiqamah, taat dan tawakkal bagi melayakkan kita menerima “bantuan-bantuan” ini. Sudah lama kita bergantung pada “bantuan-bantuan” manusia baik dari segi undi mahupun sokongan. Kita akan buat segala-gala yang mungkin bagi memastikan undi dan sokongan terus memihak kepada kita. Tetapi sejauh manakah dan sebanyak manakah pula munajat, rayuan dan harapan kita pada bantuan Allah Ta’ala agar memihak kepada kita..?
Mengambil kesempatan program Badar al Kubra yang bakal diadakan pada Ahad ini, dan saatnya kita menghampiri 10 hari terakhir Ramadhan, saya dengan rendah diri mengajak diri saya terlebih dulu dan semua ahli-ahli PAS Puchong khususnya untuk melipatgandakan lagi amal ibadah, qiyam, muhasabah dan munajat kita kepada Allah Rabbul Jalil. Tidak ada kekuatan hakiki melainkan kita cuba membina keutuhan hubungan kita dengan Allah s.w.t.
Ya Allah Ya Tuhan-ku, aku bermohon kepada-Mu akan segala kebaikan yang dipohon Nabi-Mu s.a.w, bagi diriku, kedua ibubapaku, keluargaku, sahabat-sahabat seperjuanganku dan kaum muslimin umumnya.
Ya Allah Ya Tuhan-ku, aku berlindung dengan-Mu dari segala kejahatan yang diminta berlindung oleh Nabi-Mu s.a.w, bagi diriku, kedua ibubapaku, keluargaku, sahabat-sahabat seperjuanganku dan kaum muslimin umumnya.
Ya Allah kepada engkaulah aku serahkan segala niat dan perancangan jahat daripada musuh-musuh yang mahu memperok-peranda jama’ah kami ini, sesungguhnya engkaulah sebaik-sebaik yang memberi pertolongan dan pembalasan.
Ya Allah, kepada-Mu kami berserah, kami beriman, kami bertaubat, dengan kerana-Mu kami berbalah, kepada-Mu kami berhukum, maka ampunilah dosa kami samada yang terang mahupun terlindung.
Ya Allah, aku berdoa sebagaimana Nabi-Mu s.a.w berdoa di hari Badar, Ya Allah kurniakanlah kepada kami apa yang telah engkau janjikan…
Ameen ya rabbal ‘alamin.
ISLAM ADIL UNTUK SEMUA
Salam dari Tanah Haram Makkah al Mukarramah,
Muhammad Sufyan bin Ismail
YDP PAS Puchong
18 Ramadhan 1431/ 8.00 pg [waktu Makkah]