Rakyat 5 negeri bangkit bantah lesen judi bola sepak
PETALING JAYA : Tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak  menyebabkan rakyat hari ini bangkit bersuara membantah keputusan itu  selepas solat Jumaat di beberapa kawasan masjid di lima negeri.
Bantahan  yang dianjurkan Pemuda PAS Pusat itu dilakukan di Selangor, Perak,  Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bagi membantah pemberian  lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia Jun ini terhadap Kumpulan  Berjaya.
Di Perak, difahamkan kira-kira 1,000 orang, termasuk  pemimpin Pakatan Rakyat lain, bukan Islam dan NGO berkumpul di  perkarangan Masjid Negeri Sultan Idris Shah 11, Ipoh, selepas solat  Jumaat kira-kira jam 2 petang tadi.
Antara slogan yang dilaungkan  termasuklah "tarik balik lesen judi bola", "Najib bapa judi" dan  "hancur Umno".
Menurut penganjur, himpunan bagaimanapun sedikit  terganggu apabila polis mengarahkan agar himpunan tersebut di hentikan.
Beberapa  pergelutan juga dilaporkan berlaku sewaktu polis cuba menyuraikan  peserta himpunan.
Bantahan secara aman
Bantahan  kemudiannya bersurai secara aman sekitar jam 2.30 petang tadi tanpa  sebarang tangkapan dibuat.
Sementara itu, di masjid di Kuala  Terengganu, perhimpunan difahamkan berjalan lancar selama kira-kira 45  minit selepas solat Jumaat.
Perhimpunan itu juga diisi dengan  ceramah ringkas, antaranya bagi menegaskan bahawa mereka akan terus  memperjuangkan penghapusan lesen judi sukan sehingga pilihan raya umum  yang akan datang.
Keadaan berbeza di Selangor apabila bantahan  Pemuda PAS dijalankan hanya di peringkat kawasan, tetapi diadakan  serentak dan tidak mendapat begitu banyak sambutan seperti yang  disasarkan.
Di Kajang, hanya seramai 100 orang menyertai  demonstrasi di Masjid Jamek selepas solat Jumaat.
Bagaimanapun  menurut Naib Ketuanya, Mohd Sani Hamzan, demonstrasi hari ini hanya  untuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai tindakan kerajaan  meluluskan lesen pertaruhan.
“Sebenarnya hari ini kita hanya  memberikan penerangan kepada masyarakat sahaja sebab itu tidak ramai  yang hadir.
“Lagipun kita hanya menyasarkan kepada jemaah masjid  sahaja,” katanya.
Pemuda PAS hari ini menganjurkan perhimpunan di  lima negeri sebagai ‘pemanas badan’ sebelum perhimpunan besar-besaran  di Kuala Lumpur pada 3 Julai bagi menyerahkan memorandum kepada Yang  di-Pertuan Agong.




IPOH, 21 Mei: Sekurang-kurangnya 1000  Rakyat Perak hari ini melahirkan bantahan terhadap kelulusan lesen judi  bolasepak sempena Piala Dunia Jun ini di Masjid Negeri Sultan Idris  Shah 11, Ipoh selepas solat Jumaat tengahari tadi.
Bagaimanapun pimpinan Pemuda Umno dan yang lain  tidak hadir beiarpun jemputan rasmi oleh Pemuda PAS Perak dibuat  sebelum ini.






