![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh_6ZcPWaTBeOuWTSCy3QmtaemuoxtWUX7eLBfgRFwIj5bZHqbAhAD4HJA0zQsPXGtgZX0YHFENmQQ8MMgXzRG3rGMZyWHcjDeMJABiQXDTPJqnhTeYnmIT304NKbTzWH0aLCPb58ZaWqA/s400/12345.jpg)
4. Kami akui , pelajar remaja seperti Allahyarham sewajarnya tidak dibiarkan berkeliaran diwaktu lewat malam pula memandu tanpa lesen oleh kedua ibubapanya tetapi apakah kesalahan - kesalahan itu mesti dihukum tembak sampai mati ?
KOTA BHARU, 4 Mei: Kelainan Kelantan yang ditadbir seorang ulama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam turut menarik minat cendikiawan dari dunia luar termasuk bekas hakim dari India.
Hari ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Chennai, Abdul Hadi Miran, 75 mengunjungi hormat Menteri Besar di pejabatnya, di sini.
Turut hadir anak beliau yang juga merupakan seorang peguam di Mahkamah Tinggi Chenai.
Menurut Abdul Hadi, impiannya untuk bersua muka dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah lama dipendamkan dulu kerana ketika itu beliau masih bertugas.
Beliau berkata, peribadi Menteri Besar Kelantan sering menjadi bahan bualan masyarakat Islam di Chennai dan perkembangan di negeri ini turut diketahui masyarakat di sana.
“Saya merakamkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru menerima kunjungan kami. Kenangan ini akan dibawa pulang dan diceritakan kepada masyarakat di Chennai,” kata beliau.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz fasih bercakap dalam bahasa Urdu bersama Abdul Hadi.
Abdul Hadi juga melahirkan rasa kagum di atas kehidupan masyarakat di negeri ini yang berada dalam keadaan aman walaupun pelbagai bangsa dan agama.
Katanya, ia adalah satu cara yang diajar Islam iaitu berbuat baik terhadap sesama manusia. -Hrkh
KUALA LUMPUR, 4 Mei: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata bukan menjadi agenda PAS untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin Umno/BN secara peribadi sebagaimana yang blogger Kickdefella dedah kepada media sejak sebulan yang lalu.
“Untuk jatuhkan seseorang, bukanlah agenda PAS, tapi nak jatuhkan kerajaan (Umno/BN) jelas menjadi agenda PAS dan mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat,” jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Menurut beliau, Islam yang diperjuangkan oleh PAS umumnya menentang dasar perkauman dan kezaliman yang di bawa oleh parti Umno dan BN.
Maka, sekiranya PAS hanya menentang peribadi Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, menurut beliau, pengganti Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap meneruskan agenda parti yang ditinggalkan oleh Abdullah.
“Dalam Islam, kita (PAS) menentang dasar parti pemerintah. Kalau Pak Lah jatuh, yang naik Najib, semacam sahaja kedua-dua mereka sebab dari parti yang sama,” jelasnya.
Disebabkan itu, PAS, menurut beliau, konsisten menggunakan pilihan raya dan sistem demokrasi untuk menggantikan Umno/BN, sejak PAS mula ditubuhkan 1951 lagi.
Tambahnya lagi, konsistensi PAS menyertai pilihan raya yang demokratik inilah yang membezakan politik kepartian PAS dan politik Umno/BN.
“Cara dia (BN) nak jatuhkan kerajaan lain seperti di Perak dan sebagainya, kita kalau nak jatuhkan mereka (BN) dengan cara demokratik,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menafikan bahawa PAS terbabit dalam agenda memburukkan Abdullah menggunakan dana RM4 juta seperti yang didakwa Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz.
“Saya sudah semak di PAS Kelantan, PAS Malaysia, tidak ada RM4 juta yang dikeluarkan dari PAS.
“Jadi, saya menafikan dakwaan Syed Azidi. Syed Azidi kena buat penjelasan,” jelasnya lagi.
Ditanya tentang status Global Media Channel (GMC) yang dipercayai sebagai platform Kickdefella mendapatkan RM4 juta tersebut, Mustafa menegaskan bahawa beliau sendiri mengetahui tentang syarikat penyiaran tersebut dari media massa sejak beberapa hari lalu.
Melihat kepada serangan Kickdefella yangs seakan ditujukan kepada PAS, beliau menyifatkan blogger tersebut sebagai ‘orang upahan politik’ yang tiada integriti diri. -Hrkh
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 4 April: Mahkamah Sesyen Jenayah 3 Jalan Duta di sini membebaskan 10 aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan di pekarangan bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007 lepas.
Hakim Fathiyah Idris semasa membuat keputusan itu kira-kira jam 10.30 pagi tadi menyatakan pihak pendakwa gagal membuktikan wujudnya perhimpunan pada hari itu dan tangkapan terhadap 10 tertuduh adalah tidak sah.
Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim.
Mereka mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.
Bersih dalam satu kenyataan sebelum 11 Disember 2007 itu, membantah usaha kerajaan meminda perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan kakitangan SPR.
Kerajaan dikatakan akan meminda Perlembagaan untuk melanjutkan umur persaraan anggota-anggota SPR dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat.
Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November 2007 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz yang dibacakan untuk kali kedua pada 11 Disember tahun berkenaan.
BN ketika itu dikatakan amat memerlukan khidmat Rashid yang licik bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum 2008. -Hrkh
Tindakan Kerajaan BN menyerahkan dua telaga minyak, blok L dan M kepada Brunei secara percuma adalah satu penderhakaan yang nyata kepada rakyat dan kedaulatan perlembagaan negara.
Ia adalah kerana Keputusan itu hanya dibuat melalui keputusan kabinet tanpa melalui Parlimen dan perkenan Yang DiPertuan Agong.
”Disini rakyat boleh mempersoalkan sikap BN terhadap Yang Dipertuan Agong, kerana Datuk Seri Najib Tun Razak dengan jelas membelakangkan kuasa yang dipertua agong dan hak rakyat melalui wakil mereka di Parlimen,”jelas Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS.
Menurutnya, walaupun Tun Abdullah Ahmad Badawi memulakan perjanjian pada 11 Februari 2009, namun Najib secara rasminya menandatangani MOU itu selepas mengambil alih pada 16 Mac 2009.
Oleh itu, menurut Ustaz Idris lagi, siapa pun yang jadi Perdana Menteri yang jelas, BN jugalah parti yang khianati rakyat dan layak dipanggil penderhaka.
“Ini bukan soal bagi kambing atau lembu kepada negara jiran. Ini soal bagi khazanah bernilai RM 320 bilion.
”Dalam keadaan dunia berebut pemilikan telaga minyak, Kerajaan BN senang-senang memberikannya kepada negara jiran,”tegasnya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pihak media semalam.
Sebaliknya, ulas Ustaz Idris, ketika Kerajaan dan rakyat Kelantan dan Terengganu menuntut royalti, macam-macam alasan yang diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional.
”Ketika Kerajaan dan rakyat di Kelantan dan Terengganu menuntut royalti, macam-macam mereka beri alasan dan akhirnya mereka tawarkan duit ehsan.
”Rakyat dianggap seperti peminta sedekah tetapi negara lain dianggap seperti ‘anak kandung’ yang boleh diberikan mana-mana bahagian tanah atau khazanah dalam negara ini secara percuma,”ulasnya sinis.
Justeru, Ustaz Idris berkata, Pas menyeru agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini. PAS yakin ada sesuatu yang tidak kena bila perkara ini dilakukan secara senyap tanpa melalui Parlimen dan Yang DiPertuan Agong. -BO
Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis
Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar yang menemaninya pada hari kejadian.
Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.
“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.
Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.
Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.
“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.
“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.
“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.
“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.
“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.
“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.
Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.
“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).
“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu, peguam N. Surendran dan juga ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid. -TMI
![]() |
![]() |