Ikuti Blog ini

Mansuh ISA, SUHAKAM diberi maklum



GMI menjemput wakil SUHAKAM turun memantau himpunan




Perhimpunan Sokong SPRM. 60 orang je ke?




Kira-kira 60 penyokong Umno dan parti komponen BN menyertai demonstrasi di hadapan pusat membeli-belah Ampang Point untuk menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk meneruskan siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock dan tidak mahu ia dipolitikkan oleh parti pembangkang.

Perhimpunan selama kira-kira 15 minit diketuai oleh ketua Umno bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Ia disertai ahli Umno bahagian-bahagian Ampang, Gombak dan Pandan. Manakala ahli-ahli MCA, MIC, PPP dan Gerakan pula semuanya dari Ampang.

Dalam perhimpunan ringkas itu, mereka membawa kain rentang yang bertulis 'Umno bahagian Ampang yakin kredibiliti SPRM dan polis untuk teruskan siasatan' dan 'Umno bahagian Ampang menyokong tindakan SPRM dan polis".

Mereka juga membawa poster yang antaranya bertulis 'Jangan ganggu tugas SPRM dan polis, teruskan siasatan' dan 'Pembangkang jangan alihkan isu!!!'.

Mereka turut melaungkan 'Hidup Umno' dan 'Hidup BN'.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail menegaskan sokongan kepada SPRM yang menurutnya mempunyai kekebalan sewajarnya dalam menjalankan siasatan.

Katanya, mereka juga memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan secara adil dan profesional.

Polis arah bersurai



Ismail berkata, mereka percaya amanah yang diberikan kepada SPRM dan polis akan dilaksanakan menurut budi bicara dan undang-undang negara sebagai badan bebas yang berkanun.

Beliau juga memberi amaran tegas kepada pihak-pihak yang menurutnya tidak bertanggungjawab supaya jangan menimbulkan isu perkauman daripada kes kematian Teoh tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Ismail menyampaikan simpati mereka kepada keluarga Teoh.

Sambil menggesa supaya isu itu tidak dipolitikkan, beliau sebaliknya berkata, isu sebenarnya ialah rasuah dalam kepimpinan negeri Selangor.

"Kalau isu cuba dieksploitasi (oleh pembangkang), kita beri kata dua, kenyataan yang boleh membuatkan negara huru-hara, kita 'membujur lalu, melintang patah'. Oleh itu, SPRM dan polis, teruskanlah jalankan siasatan," kata Ismail, sambil disambut sorakan peserta demonstrasi itu.

Oleh itu, Ismail meminta rakyat supaya jangan terkeliru dengan isu tersebut dan tidak terpengaruh dengan dakyah dan kenyataan berat sebelah parti pembangkang, sehinggalah selesai siasatan polis.

Ketika sidang akhbar selepas perhimpunan itu, pegawai polis menemui Ismail dan meminta beliau mengarahkan perhimpunan itu bersurai.

Berikutan itu Ismail, dengan menggunakan pembesar suara, meminta mereka bersurai.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hasan memberitahu pemberita bahawa perhimpunan itu diadakan tanpa permit polis.

Oleh itu, katanya, polis akan memanggil pihak penganjur untuk memberi keterangan.

Katanya, pihak polis mengarahkan mereka bersurai kerana perhimpunan itu mengganggu lalulintas di Jalan Ampang.

Suruhanjaya diraja ditubuhkan siasat kematian Teoh


Mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini tunduk kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Keputusan rasmi kabinet itu akan diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya jam 4 petang ini.

Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Media Dilacuri Dengan Hebat

Dalam tempoh beberapa hari lalu, perkembangan berikut berlaku di stesen-stesen televisyen milik Media Prima dan akhbar-akhbar utama:

- TV3, NTV7 dan 8TV diarah untuk tidak melaporkan sebarang komen/pandangan pemimpin Pakatan Rakyat mengenai kematian Teoh Beng Hock dan SPRM. Hanya komen BN dan pihak rasmi dibenar untuk disiarkan.

- Penerbit Berita Inggeris NTV7 diarah untuk memalsukan hasil tinjauan orang ramai ketika siaran berita stesen itu pada 21 Julai. Soalan berbunyi "Adakah Pakatan Rakyat telah mengeksploitasi isu Beng Huat. 88 peratus responden menjawab TIDAK. Hanya 12 peratus yang menjawab YA.

Namun arahan "atas" memaksa penerbit untuk mengumumkan bahawa 56 peratus daripada responden kononnya menjawab YA.

- Penerbit berita Saluran 8 atau 8TV dibidas oleh pihak "atasan" kerana menyiarkan visual polis menggunakan kekerasan ke atas orang ramai yang berkumpul sebagai tanda simpati terhadap Beng Hock depan pejabat SPRM Selangor Jumaat lalu.

Selain itu RTM, TV3, NTV7, 8TV, RTM diarah untuk tidak menyiarkan sebarang berita mengenai istana Khir Toyo atau mengaitkan isu itu kepada pemborosan Barisan Nasional, mahupun keengganan SPRM menyiasat mantan Menteri Besar Selangor itu.

- Semua suratkhabar diarah untuk tidak membesar-besarkan persoalan mengenai peranan SPRM dalam kematian Beng Hock.

- Akhbar Cina khususnya diberi arahan untuk tidak "lebih-lebih' dalam menyiarkan laporan mengenai kematian Beng Hock dan taktik-taktik yang digunakan SPRM. Akibatnya Akhbar Sin Chew terpaksa menarik balik berita pada saat terakhir yang mengupas cubaan Berita Harian untuk menjadikan kontrovesi kematian Beng Hock sebagai isu perkauman.

Minggu lalu, seorang penolong pengarang NTV7 Florence Looi diturunkan pangkat setelah beliau meminta seorang tamu di rancangan yang dikendalikannya untuk menilai prestasi Najib selepas 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri. Tamu berkenaan memberikan markah C atau D kepada Najib, yang jelas tidak menggembirakan pejabat Perdana Menteri.

Semua perkembangan ini adalah lanjutan daripada arahan yang diterima oleh pengarang-pengarang media sebelum ini, sejurus selepas Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara dan berjanji untuk mendokong kebebasan media.

Arahan itu termasuk memastikan semua media memberi keutamaan untuk membuat liputan majlis-majlis Rosmah Mansor, isteri Najib. Arahan istimewa diberi kepada TV3, iaitu berita Rosmah harus disiarkan sebagai antara berita utama dan terawal dalam Buletin Utama 8 malam. "Must cover, Must use,(Mesti diberi liputan, mesti disiarkan)" itulah arahan yang diterima oleh Meja Berita TV3 bersabit majlis-majlis Rosmah.

Jelas, manipulasi berita malah fitnah yang mewarnai media arus perdana sekian lama berterusan, malah bertambah serius di bawah Najib. Beliau memberi kuasa kepada Datuk Ahmad Talib untuk menguruskan semua kandungan berita di stesen-stesen televisyen TV3, NTV7, TV8 dan akhbar NST dan Berita Harian.

Pelantikan itu disusuli dengan rombakan besar-besaran yang menyaksikan pengarang-pengarang kanan seperti Datuk Kamarulzaman Zainal diberhentikan. Begitu juga dengan Pengarang NTV7, Mohsin Abdullah. Pengarah Berita TV3, Wee Your Lee pula dipindahkan ke jabatan lain.

Ahmad Talib membawa masuk konco-konconya seperti Asraf Abdullah, Manja Ismail dan Ahiruddin Atan untuk memastikan berita yang disajikan kepada rakyat setiap malam di televisyen dan menerusi akhbar, adalah mengikut rentak pentadbiran Najib.

Semuanya tentu dibuat atas nama "kebebasan media" yang dicanang oleh Perdana Menteri 1Malaysia Najib. - TVA



I.S.A 'PENYELAMAT' PEMIMPIN PEMERINTAH, BUKAN KESELAMATAN NEGARA - PRESDIEN PAS

ALOR SETAR -Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah.


Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung akta 'tanpa bicara' yang telah mendapat bantahan seluruh masyarakat sekaligus menggesa kerajaan memanmsuhkannya serta-merta.

Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.

"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini semalam.

Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.

"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.

"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.(harakahdaily)




Kelantan berhak terima Royalti - Razaleigh Hamzah



Bekas Menteri Kewangan, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah berkata Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian perkongsian hasil carigali minyak yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri dan justeru itu tidak berhak untuk menahan pembayaran royalti kepada negeri itu.

Dalam temubual khas bersama Suara Keadilan, beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata peruntukan dalam perjanjian itu hendaklah dihormati serta dipatuhi.

“Perkara ini tidak patut menjadi isu kerana kita telah menandatangani persetujuan meletakkan hak minyak kepada Petronas iaitu kerajaan Kelantan dan negeri-negeri lain sudahpun bersetuju sekiranya minyak ditemui dalam kawasan milik negeri berkenaan.

“Tetapi dalam hal ini, minyak ditemui di luar persisiran pantai, yang dimajukan bersama dengan Thailand. Namun begitu sebahagian daripada kawasan terlibat berhampiran dengan negeri Kelantan. Merujuk kepada perjanjian milik minyak tadi, maka Petronas berkewajipan membayar wang kepada negeri berkenaan sebanyak 5 peratus keuntungan minyak,” tegas Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang menggubal perjanjian asal Petronas pada awal 1970an.

Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 menyatakan bahawa perjanjian-perjanjian yang sedia ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai.

Petronas sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memberi hak kepada negeri itu mendapat royalti 5 peratus setahun sama ada onshore (daratan) atau offshore (lautan).

Menurut Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 terdapat peruntukan dalam akta itu untuk membayar kepada mana-mana pihak yang terlibat. Akta itu juga tidak menafikan pembayaran royalti mana-mana pihak termasuk kepada kerajaan negeri Kelantan.

Kerajaan Barisan Nasional berkata Kelantan tidak berhak kepada minyak yang ditemui 150 kilometer dari persisiran pantai negeri itu, walaupun amalan sedia ada menunjukkan Petronas membayar royalti minyak kepada Terengganu dan Sarawak meskipun penyedutan minyak berlaku lebih 200 kilometer di laut luas.

Menteri Penerangan Dr Rais Yatim dengan angkuh berkata royalti minyak kepada negeri-negeri terletak sepenuhnya di bawah sifat ehsan dan belas kasihan Kerajaan Pusat dan bukannya hak rakyat Kelantan atau rakyat mana-mana negeri.

Rais juga berkata kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk menyanggah tuntutan Kelantan itu, namun sehingga ke hari ini Petronas belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu ini.

Tengku Razaleigh berkata semua pihak harus menjurus kepada keikhlasan untuk membela rakyat miskin.

“Saya tidak tahu kenapa ini boleh menjadi isu kerana semasa kita buat perjanjian ini, kita sudahpun fikir kedudukan negeri Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu yang merupakan negeri-negeri miskin, dan sememangnya patut hasil dari keuntungan minyak ini diberi kepada rakyat di negeri-negeri miskin ini untuk mengimbangi pembangunan di negeri-negeri lain yang sudahpun maju.

“Saya telah menandatangani perjanjian bersama kerajaan-kerajaan negeri lain. Kalaulah benar Petronas telah dapat faedah dari minyak yang diusahasama ini, maka berkewajikan Petronas membayar kepada kerajaan negeri Kelantan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Selaku bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh berharap tidak ada pihak yang mempolitikkan isu ini.

“Kita sedar bahawa kawasan-kawasan minyak ini terletak dibawah Kerajaan Pusat namun harus difahamkan juga bahawa perjanjian yang kita buat ini adalah untuk membantu negeri-negeri ini, apatah lagi negeri-negeri miskin. Jadi patut hasil minyak ini diberi kepada mereka.

“Saya telah bincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, untuk merumuskan perjanjian memberi 5 peratus ini, dengan satu matlamat yang jelas iaitu membantu negeri-negeri berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan Pusat juga bertanggungjawab untuk menjana pembangunan di negeri-negeri terbabit selain dari lima peratus itu. Jadi tidak perlu diungkitkan lagi dan tidak patut jadi isu kalau Petronas sendiri mengaut keuntungan dari perjanjian ini, maka berkewajipan untuk memberi royalti kepada negeri terbabit,” tegas Tengku Razaleigh.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .